Patani merupakan sebahagian dari alam Melayu yang kini berada di dalam wilayah Thailand. Tulisan mengenai Sejarah Patani oleh Nik Anuar Nik Mahmud sepatutnya menjadi bacaan kita kerana pemahaman seluruh umat Melayu terhadap sejarah Patani adalah dituntut bagi memastikan kita mengetahui bagaimana sejarahlah merupakan guru paling berguna untuk kita merancang masa depan. Untuk bacaan seluruh buku tersebut dalam paparan internet, sila klik Sejarah Perjuangan Melayu Patani 1785 - 1954
Berikut adalah petikan dari buku tersebut :
Berikut adalah petikan dari buku tersebut :
Justeru, pada pagi Jumaat 21 Februari 1902, Phya Sri Sahadhed, Timbalan Menteri Dalam Negeri, telah menghantar telegram kepada Tengku Abdul Kadir memberitahu bahawa beliau akan sampai ke Patani pada petang itu.34 Lebih kurang pada pukul 3 petang seorang pegawai Siam telah datang ke istana raja Patani di Cabang Tiga dan meminta baginda datang ke kediaman Timbalan Menteri Siam itu. Sesudah menunaikan fardhu Asar Tengku Abdul Kadir dengan diiringi oleh 20 orang pengiringnya telah berangkat ke kediaman Timbalan Menteri itu yang dikawal rapi oleh 100 orang askar Siam (Straits Times 12 Mac 1902).
Phya Sri meminta Tengku Abdul Kadir masuk ke biliknya. Selepas itu beliau mengeluarkan satu dokumen mengenai peraturan pentadbiran untuk mentadbir Tujuh Wilayah bagi Tahun 1902, membacanya dan kemudiannya meminta Tengku Abdul Kadir menurunkan tandatangan. Tengku Abdul Kadir enggan menurunkan tandatangannya sebelum beliau berunding dengan Menteri Besarnya yang ketika itu berada di Bangkok. Baginda tidak mahu lagi mengulangi kesilapan seperti yang dilakukan oleh beliau pada masa lalu. Phya Sri terus memaksa Tengku Abdul Kadir menurunkan tandatangan dengan memberikan tempoh selama 5 minit. Sekiranya baginda gagal untuk menandatangani dokumen itu, beliau akan memecat baginda dan melantik Kooday atau Raja Pitay, salah seorang anggota majlis negeri Patani yang pro-Siam, sebagai Raja Patani. Perlu diingatkan bahawa Raja Pitay adalah salah seorang pembesar tempatan yang telah menandatangani dokumen yang dikemukakan oleh Phya Sri dalam majlis perjumpaan Raja-Raja Melayu di Nongchik dahulu (Davies 1902, 26).
Bagaimanapun Tengku Abdul Kadir masih enggan mengikut arahan Timbalan Meneri Siam itu. Dengan berbuat demikian bererti bukan saja baginda telah menyerahkan Patani kepada kerajaan Siam tetapi juga membiarkan rakyatnya terus ditindas oleh pihak berkuasa Siam. Akibatnya,Tengku Abdul Kadir telah ditangkap (Straits Times, 12 Mac 1902).
Melihat keadaan ini, pengiring-pengiring baginda cuba membebaskan Tengku Abdul Kadir dari tahanan pihak Siam, tetapi atas nasihat baginda mereka tidak melakukannya. Tengku Abdul Kadir berpendapat tidak ada gunanya membiarkan rakyatnya bertumpah darah kerana telah diketahuinya kekuatan orang-orang Patani pada masa itu terlampau kecil. Tengku Abdul Kadir telah dibawa ke Songkhla untuk ditahan.
Beberapa hari kemudian, Phya Sukhum, Pesuruhjaya Siam, telahmenangkap pula Tengku Samsuddin, Raja Rangae dan Tengku Mutalib, Raja Teluban. Mereka juga telah dibawa ke Songkhla (Tej Bunnag 1977, 153). Selepas dibawa ke Songkhla, Tengku Abdul Kadir dan Raja-raja Melayu lain di bawa ke Pitsanulok. Baginda telah dijatuhi hukuman penjara selama tiga tahun di atas kesalahan ‘mengingkari perintah’ Raja Siam. Pada 6 Mac 1902, Tengku Abdul Kadir dengan rasminya telah dilucutkan jawatannya sebagai Raja Patani (Davies 1902, 27).35 Pihak Siam telah melantik Raja Pitay atau Kooday, anak sepupu baginda, sebagai Pemangku Raja. Davies, seorang wartawan akhbar Singapore Free Press, mengatakan ‘Raja Pitay is an old man of over sixty years of age and was the nephew of the Tengku Besar’. Di dalam pentadbiran baru itu, kerajaan Siam mula melaksanakan reformasi pentadbiran di Patani.
Dengan itu berakhirlah pemerintahan keluarga Tuan Besar di Patani yang telah memerintah negeri itu selama 60 tahun. Tahun masehi 1902 adalah tahun yang malang sekali di dalam sejarah kejatuhan kerajaan Melayu Patani’. Dengan kejatuhan itu, maka ‘terhapus hak pertuanan orang-orang Melayu atas negeri Patani, tergadai semua hak kebebasan dan kemerdekaan mereka kepada Raja Siam’.
Assalamualaikum,
ReplyDeleteDalam ramalan Saidina Ali,
Penduduk-penduduk Islam di Selatan Thai akan ditindas,
Mereka akan mengangkat Panji-Panji Islam sehinggalah kedatangan Wali Allah kepada mereka
Mereka akan cinta kepada kebenaran dan kebenaran cinta kepada mereka