Friday, December 10, 2010

Mengharap Parti Pembangkang Baru Yang Pragmatik

Pilihanraya Umum Ke 13 bakal menyaksikan perubahan besar dalam kempen-kempen oleh pihak kerajaan. Blogger mesra-kerajaan bakal diberi tempat dalam ceramah-ceramah kempen. Benarkah demikian? Itulah desas-desus yang teman dengar. Tapi teman sangat skeptikal dengan desas-desus tersebut.

Ini kerana sesetengah ahli politik BN menganggap blogger mesra-kerajaan selama ini dianggap sebagai antibiotik yang tak diperlukan. Kenapa tak diperlukan? Kerana sakit pening sesetengah ahli politik UMNO itu ibarat ulitan mimpi indah. Mereka ketagih akan ulitan mimpi indah ini.

Sama dengan sikap ahli politik PR yang menganaktirikan blogger-blogger yang menyumbang kemenangan mereka dalam PRU 12.

Tetapi, jika benar blogger mesra kerajaan akan diberi ruang, sesungguhnya, ia adalah pilihanraya yang menyeluruh ke seluruh negara. Dan kita hanya ada lebih kurang 100 penulis blog yang aktif. Bagaimanakah penulis-penulis blog yang membela negara ini perlu dikordinasikan?

Apakah kita mengharapkan UMNO mengkordinasikan kita? Sudah tentulah tidak.

Ini kerana kita sendiri mengetahui kita meminjamkan sokongan kita kepada mereka kerana mereka walaupun belum cukup molek, UMNO dan BN masih jauh lebih telus, terbuka, berprinsip dan berperlembagaan yang teratur jauh di atas PKR-PAS-DAP.

Tetapi andai kata kita memiliki pembangkang yang mempunyai sistem dan dasar yang dipraktik jauh mengatasi UMNO - BN, sokongan pastilah diberikan kepada yang terbaik. Ini sudah tentu bukan PKR-PAS-DAP!

Buat masa ini, UMNO - BN masih berlegar di atas zon selesa yang minima. Mereka bersikap demikian kerana umum mengetahui tahap kecekapan Pakatan Rakyat sangat rendah dan sangat buruk jauh di bawah mereka.

Undi yang memenangkan Pakatan Rakyat adalah undi protes ke atas UMNO-BN semata-mata.

Tetapi apa akan jadi jika negara mempunyai pembangkang yang mengutamakan bangsa, tanahair, ekonomi, sehingga mampu mendraf rancangan-rancangan ekonomi, rancangan-rancangan sosial yang siap dengan faedah jangka pendek dan jangka pancang, rancangan kesihatan, rancangan keusahawanan yang mana rakyat boleh menilai dengan mata kepala sebenar?

Bukan itu sahaja, kabinet bayangan yang terbina sangat adil dan memuaskan hati (bukan kabinet pakatan Rakyat yang dipenuhi bukan islam di tampuk tertinggi). Malah pembentangan bajet mengikut belanjawan sebenar dengan nilai-nilai yang masuk akal serta penguasaan bidang perekonomian yang meyakinkan, akan membuatkan pembangkang negara ini akan diundi atas dasar keyakinan. Bukannya dasar protes.

Pastinya blogger mesra kerajaan benar-benar mengalihkan sokongan mereka pada waktu itu.

Untuk itu, sedarlah UMNO.

1 comment:

  1. PKR sekarang ni hanya mengutamakan kroni Anwar Ibrahim yang hanya mendapat tempat di dalam hati Anwar.

    Sebab itulah pemilihan Azmin pun ada lebihan undi dari pengundi hantu.

    ReplyDelete

Komen anda, tanggungjawab anda. You should be held responsible for your comment(s).