Wednesday, July 11, 2012

Adakah FELDA Perlu Ambil Peneroka Baru?

Diketahui sejak 1991, kerajaan telah mengarahkan FELDA menghentikan pengambilan peneroka  kerana  FELDA dikatakan mula mengguna tanah yang diwartakan sebagai kawasan pertanian berkelompok yang diperuntukkan oleh kerajaan negeri untuk peneroka baru yang sepatutnya diberikan kepada peneroka, dengan menubuhkan satu entiti korporat yang bernama FELDA PLANTATION SDN BHD. 

Tetapi agak hairanlah mengapa pengambilan peneroka baru yang dihentikan. Bukannya pengambilan tanah oleh FELDA Plantation Sdn. Bhd. yang dihentikan.

Tetapi hari ini, FELDA yang semakin membesar dan gah seharusnya mengkaji semula sebab-sebab yang menyebabkan hasrat peladang muda terbantut. Kaedah-kaedah baru untuk memberi manfaat dengan lebih luas lagi kepada rakyat dengan kemakmuran hasil sawit di persada dunia hari ini perlu dicari. 

Di Ipoh, kedapatan mereka-mereka yang berpendidikan rendah hari ini terpaksa mengusahakan tanah kerajaan dengan selamba dan menanam sawit dengan penuh kepasrahan pada anggapan jika andai satu hari nanti tanaman mereka ditolak jentera untuk lain-lain projek, mereka terpaksa merelakan dan melihat tanah yang menyerap titik peluh mereka itu dibongkar punggah. 

Untunglah sebahagian mereka telah memulakan penerokaan ke atas tanah kerajaan yang hanya dibolehkan ditanam dengan tanaman bersifat sementara ini dengan menanam sawit lebih 5 tahun lalu dan telah membuahkan hasil. 

Namun, jauh di lubuk hati, mereka bimbang jika mereka tidak dapat memiliki tanah yang telah mereka usahakan, terlepas pula kepada pihak lain yang berkepentingan contohnya kepada perbadanan kemajuan ekonomi negeri yang akan menghuraikan sebab-sebab mereka tidak dibolehkan untuk terus mengusahakan 'ladang keringat tanpa bantuan kerajaan' milik mereka. 

Sememangnya kemakmuran hasil ekonomi dari tanaman sawit adalah usaha kerajaan yang berterusan dalam memastikan komoditi tersebut mempunyai nilai di pasaran dunia. 

Sebab itulah hari ini, semakin ramai anak muda yang berumur bawah 30 tahun semakin berminat meneroka tanah yang telah dikeluarkan dari rizab hutan simpan bagi tujuan pertanian. Bahkan, para pekerja awam gred bawah juga ramai yang berminat mengisi borang andai pengambilan peneroka baru FELDA dimulakan semula.

Ini adalah natijah dari penguatan harga sawit di pasaran yang telah diusahakan kerajaan selama ini.

Ironiknya, FELDA yang terkenal di seluruh dunia kini tidak lagi dilihat mampu membantu golongan muda yang bukan keturunan peneroka FELDA , yang benar-benar ingin memiliki perkebunan kelapa sawit dengan hasil yang besar. 

Adalah tidak sesuai untuk mengharapkan generasi kedua dan ketiga FELDA yang kebanyakannya lari untuk hidup dengan gaya bandar di kota-kota besar, kesan dari perubahan hidup semasa keluar menuntut ilmu di IPT. 

Tanah rancangan FELDA kini dikerjakan oleh pekerja asing pula walaupun keluarga peneroka asal tidaklah mempunyai generasi kedua yang hanya satu dua orang.

Seharusnyalah, FELDA memulakan kembali pengambilan peneroka baru dengan mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan oleh kerajaan pusat dan ini membuka ruang kepada merealisasikan hala tuju negara berpendapatan tinggi dengan membuka lebih banyak ruang untuk rakyat marhaen menyertai pembukaan tanah rancangan.

Jika itu tidak mampu dilakukan, diharapkan agar pihak kerajaan menerusi FELDA dapat membantu peneroka-peneroka baru yang atas inisiatif mereka sendiri menyewa 'backhoe' meneroka tanah-tanah kerajaan di ceruk bukit yang terangkum atau tidak terangkum  dalam tanah yang diplotkan dengan label "confirmed plan" di pejabat tanah.

1 comment:

IPOH MALAY said...

baiklah.. sedang dipautkan