Monday, November 26, 2012

Melawat Mangsa Rempuhan Treler Di Gopeng

Umurnya panjang. Meskipun berada di kalangan lima orang yang sibuk mempersiapkan kerja pagi itu, Shafudin Abdul Jalil, 31, merupakan satu-satunya yang terselamat. 

Empat lagi yang berada dalam kelompok lima orang yang berada di antara lori 1 tan dan van, dua dari 4 kenderaan yang diletakkan di bahu jalan itu, maut. Malah ada yang putus anggota badan, pecah kepala dan terburai isi perut.

Shafudin terlantar di wad 4B Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh dan lawatan teman pada hari Sabtu kelmarin disambut ahli keluarganya. Mangsa juga sudah boleh bersembang.

Dua lagi mangsa tercedera telah dibawa ke Kuala Lumpur dan menerima rawatan di Hospital Pantai dan ditanggung oleh syarikat telekomunikasi tempat mereka bekerja.

Kejadian rempuhan treler itu menjadi cerita mengejutkan. Tiga lagi yang turut cedera tidak seteruk Shafudin. Shafudin yang juga merupakan seorang askar Wataniah dan pemain bolasepak, kini berhadapan dengan kecacatan kekal.

Meskipun telah patah kedua-dua kaki dan tangan kiri, namun tulang tiga keratnya itu belum dapat disimen kerana luka yang sangat parah perlu disembuhkan dahulu. Betisnya terbelah dari belakang lutut hingga ke buku lali dan terkulai akibat kejadian.

Malah, tindakan pemandu treler yang bertegas menyebut dia tidak nampak kon yang diletakkan sendiri oleh Shafudin pada pagi malang itu, bakal mengundang proses undang-undang yang rumit.

Yang menjadi persoalan, bagaimana ambulans hanya tiba 1 jam selepas kejadian? Sudahlah lambat, hanya satu yang sampai. 



Juga, tiada maklumat awal PLUS di Twitter yang menyebut terdapat kerja-kerja penyelenggaraan di laluan tersebut sebelum berlakunya kejadian ini, seperti diberitahu untuk kerja-kerja penyelenggaraan lain.


No comments:

Post a Comment

Komen anda, tanggungjawab anda. You should be held responsible for your comment(s).