Monday, December 31, 2012

Rintihan Penduduk Kg. Kolam, Tg Rambutan



Siapa boleh bantu kami?

DARI pekan kecil Tanjung Rambutan menghala ke Chemor, Perak kita akan sampai ke Kampung Kolam bersebelahan Sekolah Menengah Tanjung Rambutan.
Kampung Kolam ialah sebuah kampung tradisional yang dihuni 100 peratus orang Melayu dan dibuka 60 tahun lalu oleh kakitangan Hospital Bahagia, Ulu Kinta.
Peringkat awal, mereka membuat kerja-kerja sampingan seperti menanam padi, bercucuk tanam pokok buah-buahan. Apabila mereka bersara dengan wang KWSP dan ganjaran maka ramai yang mempunyai tanah di situ telah mendirikan rumah.
Hari ini Kampung Kolam Tanjung Rambutan telah mendapat semua keperluan sebagai sebuah kampung yang setanding dengan kampung- kampung tradisional yang lain di Malaysia seperti bekalan air bersih, elektrik, lampu jalan, jalan kampung berturap, surau dan dewan orang ramai.
Kampung Kolam ini, tiga perempat dikelilingi oleh bukit. Di atas sebuah bukit terdapat sebuah kolam simpanan air terawat (reservoir) untuk dibekalkan kepada penduduk sekitar Tanjung Rambutan dan Hospital Bahagia, Ulu Kinta. Apabila hujan lebat air dari bukit-bukit ini akan turun dengan banyak dan deras masuk ke dalam kampung. Rumah yang paling bawah bukit akan mengalami banjir hingga masuk ke dalam rumah.
Jika hujan tidak lebat memadai laman rumah sahaja yang banjir. Keadaan begini telah berlarutan selama hampir 20 tahun.
Saya terpanggil untuk menulis di ruangan Forum Utusan Malaysia setelah sekian lama masalah banjir yang dialami oleh dua keluarga adik-beradik (pesara kerajaan, warga emas) ini tidak dapat diatasi oleh pihak berwajib.
Semasa YB Mazidah Zakaria menjadi ADUN Ulu Kinta lagi masalah ini telah dibangkitkan tetapi kerja mengatasi banjir tidak dibuat dengan sempurna.
Paip longkang yang dipasang terlalu kecil dan tidak dapat menampung air hujan yang turun dengan banyaknya dari atas bukit.
Yang lebih memburukkan keadaan ialah sungai lama yang melalui Kampung Kolam telah tersumbat akibat hakisan yang berlaku setiap kali hujan dan juga pembuangan sampah oleh pihak tidak bertanggungjawab.
Sungai Kampung Kolam telah dilencongkan dan tidak lagi melalui Kampung Kolam tetapi sungai lama itu telah menjadi separas dengan laman rumah. Air hujan dari bukit telah melimpah hingga masuk ke dalam rumah.
Mengapa sungai yang terbiar itu tidak diselenggara dan dipasang longkang/parit besar/paip besar supaya air boleh mengalir masuk semula ke hilir sungai apabila hujan lebat?
Setiap kali banjir Hamba Allah itu akan membuat aduan kepada pihak berwajib tetapi tiada tindakan diambil dan seterusnya membawa perkara ini kepada pengetahuan ADUN Ulu Kinta untuk mengatasi masalah banjir ini, tetapi masalah tetap seperti biasa.
Untuk pengetahuan, Kampung Kolam ini terletak dalam DUN Ulu Kinta dan Parlimen Tambun.
Hari ini dengan slogan 'Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan' masih gagal menyelesaikan penderitaan yang dihadapi oleh sebuah keluarga ini selama hampir 20 tahun.
Harap-harap sangat YB Rosnah Kasim dan YB Datuk Ahmad Husni Hanadzlah dapat menghantar orang untuk meneliti kerja-kerja yang pernah dibuat untuk mengatasi masalah ini.
Tolonglah angkat penderitaan keluarga ini. Janganlah perkara sekecil ini pun hendak menunggu arahan tangan keramat YAB Perdana Menteri baru boleh diselesaikan.
Kami masing-masing ada kerja dan tanggungjawab, maka buatlah kerja dan tanggungjawab dengan telus dan ikhlas supaya rakyat dapat hidup dengan penuh kebahagiaan.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Forum/20121227/fo_01/Siapa-boleh-bantu-kami#ixzz2GbEhUxbO
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment

Komen anda, tanggungjawab anda. You should be held responsible for your comment(s).