Tuesday, January 29, 2013

Pra-PRU13 : Imbasan 2009, Keruntuhan Kerajaan PR Perak

Perak dikatakan diambil alih melalui sabotaj BN. Katanya tidak telus kerana tidak diadakan pilihanraya semula. Padahal kesombongan Ngeh, Nga dan Nizar membuatkan tiga wakil rakyat mereka angkat kaki. Bahkan selepas BN ambil alih Perak, ADUN Malim Nawar dari DAP pun angkat kaki.

Mereka lupa bahawa ada yang lebih berkuasa di atas sana. Taksubnya mereka kepada kebenaran diri sendiri membutakan mata mereka bahawa itulah balasan akibat menipu dalam pilihanraya. Kalau ada bukti setiap pengundi PAS, PKR dan DAP tahu bahawa mereka akan bekerjasama atas nama Pakatan Rakyat pada 8 Mac 2008, teman bagi sejuta.

Sudahlah tidak menerima sama sekali balasan akibat menipu, mereka masih berani untuk memanggil pilihanraya umum negeri yang kos mengendalikannya tidak kurang RM40 juta. Harga sebatang jalan  20km  yang perlu dikorbankan kerana kesalahan mereka. Juga semata-mata mempertikaikan ketentuan Allah. 


AHAD, FEBRUARI 08, 2009


Perak : Kembalinya Kuasa Kepada Yang Berhak


Pecahan Perolehan Undi PRU 2008 Negeri Perak

Inilah suara majoriti yang dinafikan selama ini oleh penipuan kesepakatan Pakatan Rakyat di Perak selama 11 bulan yang mana peluang yang diberi oleh suara majoriti untuk gabungan kumpulan yang berpura-pura sepakat ini untuk memerintah telah disia-siakan dengan kontroversi yang pelbagai.

Penulis melintasi kediaman MB Perak pada jam 2.00 pagi tadi. Kelihatan beberapa orang petugas Unit Amal PAS sedang 'berkawal' dipintu masuk.

Kemudian beberapa kereta melintasi hadapan mereka dengan laungan "DAULAT TUANKU". Mereka hanya mampu mengangkat tangan. Ada yang melaung sindiran " DEMI KARPAL SINGH!" dan ada yang menjerit "BALIKLAH JAGA ANAK BINI".

Penulis kasihan melihat mereka berembun mempertahankan MB yang telah dibatalkan jawatannya oleh Sultan. Tiada Cina, tiada India di situ. Semata-mata Melayu Islam berlebai berkopiah.

Bila ditanya seorang apek, jawabnya " Itu sultan sudah sack. Tak boleh cakap apa lor." Tetapi Melayu juga yang beria-ia menyembah derhaka mengutuk sultan di internet.

Selama mana mereka akan bertahan. Selama mana Nizar mahu berkeras kepala? Majoriti yang berhak semakin bersuara. Penduduk Ipoh jemu melihat drama mereka. Adakah mereka menunggu dibaling selipar.

Mereka dibelenggu emosi yang menafikan hakikat. Sedangkan penduduk Ipoh meneruskan aktiviti seperti biasa. Bersiar-siar di pasar Gerbang Malam, menonton wayang dan berjogging di Padang Polo, bersantai di kedai mamak hingga dinihari bergelak ketawa, seperti tidak ada apa yang berlaku.

Mereka seolah-olah menunjukkan luahan hati bahawa "akhirnya, runtuh juga kerajaan eksperimen yang gagal ini.. lebih baik layan mereka seperti tiada."

No comments:

Post a Comment

Komen anda, tanggungjawab anda. You should be held responsible for your comment(s).