PRU-13: Herman Tino cabar Noh Omar di Tanjong Karang
TANJONG KARANG 20 April - Kerusi Parlimen Tanjong Karang menyaksikan pertembungan tiga penjuru dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) apabila Datuk Seri Noh Omar akan ditentang oleh bekas penyanyi 80-an, Herman Tino yang bertanding sebagai calon Bebas di situ.
Mewakili Barisan Nasional (BN), Noh, 55, yang menang di kerusi Parlimen itu sejak empat penggal lalu, akan ditentang seorang lagi pencabar dari Pas iaitu Timbalan Yang Dipertua PAS Tanjong Karang, yang juga bekas guru, Mohamad Rashdi Deraman, 49.
Herman atau nama sebenarnya, Masrum Tamsi tiba di pusat penamaan calon di Dewan Dato Hormat di sini bersama-sama pencadang, Mohd. Maskuri Mardzuki dan penyokong, Tiong Koo Yong.
Bekas penyanyi dangdut dan Melayu Asli itu menyerahkan borang pencalonannya pada pukul 9.35 pagi.
Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang turut menyaksikan pertandingan tiga penjuru apabila penyandang kerusi itu, Sulaiman Abdul Razak yang mewakili BN menentang calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mohd. Yahya Mat Sahri dan calon Bebas, Low Tan, 58.
Kerusi DUN Sungai Burong pula hanya melibatkan pertandingan satu lawan satu antara Datuk Mohd. Shamsudin Lias daripada BN dengan calon Pas, Mohamad Judi Sarjo.
Suasana penamaan calon di kawasan Tanjong Karang meriah dengan lebih 1,000 penyokong BN hadir manakala penyokong pembangkang dianggarkan seramai 500 orang.
Herman Tino ketika ditemui berkata, tujuan beliau bertanding buat pertama kali dalam PRU-13 adalah untuk menyerikan dan memeriahkan suasana pilihan raya.
Walaupun pada peringkat awal keputusan itu dibantah oleh isterinya, beliau tetap meneruskan hasrat bertanding di kerusi Parlimen berkenaan.
"Saya masuk bertanding tanpa dipengaruhi mana-mana pihak atau pembiayaian daripada parti politik. Saya juga bukan mahu pecah undi dan tidak kisah jika kalah atau menang namun berharap wang pertaruhan tidak akan hangus," katanya.
Kata beliau, setakat ini pihaknya masih tiada perancangan rapi untuk mengadakan kempen.
Dalam pada itu, Noh berkata, kehadiran Herman Tino menunjukkan negara ini mengamalkan sistem demokrasi yang membenarkan semua rakyat menjadi calon pada pilihan raya.
"Saya sudah kenal lama Herman Tino dan dia sering diundang untuk membuat persembahan dalam program yang dianjurkan oleh kami selama ini.
"Sesiapa saja calon Bebas dialu-alukan kerana sesiapa sahaja boleh jadi calon dalam pilihan raya di negara," katanya. - UTUSAN ONLINE
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Pilihan_Raya/20130420/px_152/PRU-13-Herman-Tino-cabar-Noh-Omar-di-Tanjong-Karang#ixzz2Qzx155cP
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment
Komen anda, tanggungjawab anda. You should be held responsible for your comment(s).