Wednesday, April 10, 2013

Trek Motocross Ulu Kinta Bakal Dimusnahkan Pemaju Perumahan

Penggiat sukan motocross di Ulu Kinta digemparkan dengan kehadiran dua excavator besar pemaju perumahan sebaik sahaja parlimen dibubarkan. Mereka terpinga-pinga. Tanah yang mereka pinjam tanpa izin dari kerajaan negeri Perak selama 7 tahun dengan biaya terkumpul RM10,000 bagi kerja tanah pembinaan trek 'Litar Tanjong Rambutan' sepanjang 500 meter itu bakal disodok.

Tanah yang terletak di Lot 54407 Mukim Ulu Kinta ini jelas merupakan tanah bagi pembinaan kediaman. Trek yang dibina diakui sebagai trek sementara. Menyedari hal ini, upaya memohon perhatian Ahli Parlimen Tambun telah dibuat oleh penggiat sukan lasak ini pada Jun 2012 untuk mendapatkan sokongan bagi membolehkan mereka memperoleh tapak baru dan back-up untuk sedikit biaya 'pampasan' dari pemaju bagi pembangunan trek baru seandainya pemaju memulakan projek. 

Selain itu, upaya tersebut adalah bagi menzahirkan permohonan kumpulan ini untuk diwujudkan sebuah trek motocross kekal di dalam DUN Hulu Kinta terutamanya sekitar Ulu Kinta dan Tanjong Rambutan.

Namun, Ahli Parlimen Tambun ketika ini sudah tamat tugasnya sementara menantikan mandat baru. Hilanglah tempat mengadu. Maka penggiat sukan motocross yang berjumlah 40 orang ini kini tercari-cari tapak yang sesuai, tanpa mendapat perhatian mana-mana pihak. 

Untuk rekod, tiada trek motocross wujud di Ipoh. Paling hampir ialah di Pusing dan di Sayong, Kuala Kangsar. Ketika penggiat sukan lasak ini semakin bertambah, trek motocross di Ulu Kinta ini bakal dimusnahkan. 

Aktiviti riadah lasak ini seperti tidak mendapat tempat di kawasan ini. Kehampaan jelas terlihat diwajah masing-masing. Sampai bila mereka harus berpindah randah dan mengeluarkan biaya ribuan ringgit untuk membentuk trek-trek tanpa jaminan sebuah tapak yang tetap dan selamat dari sodokan pemaju?

Hakikatnya ada pihak sedang mengintai peluang untuk menawarkan bantuan wang ringgit. Bersempena pilihanraya. Boleh diagak dari pihak mana.








No comments:

Post a Comment

Komen anda, tanggungjawab anda. You should be held responsible for your comment(s).