Wednesday, May 15, 2013

Benigno Aquino dan sekutu menang, Kiram III gigit jari

Penguasaan pakatan yang diketuai Presiden Benigno Aquino dalam pilihanraya pertengahan penggal di Filipina kelmarin menyaksikan gambaran rakyat Filipina menolak tuntutan Jamalul Kiram ke atas Sabah yang disokong kuat oleh parti pembangkang pimpinan Jejomar Binay dan rakan baik Anwar Ibrahim di Filipina, Joseph Estrada.

Seperti kita ketahui Benigno Aquino sangat menjaga hubungan baik Filipina dengan Malaysia dan sangat memihak kepada Malaysia dalam usaha negara kita menangani insiden Lahad Datu terutamanya dalam menggunakan serangan ketenteraan.

Pakatan Aquino kuasai Kongres Filipina

MANILA 14 Mei - Presiden Filipina, Benigno Aquino III hari ini dilihat bakal menguasai kedua-dua dewan Kongres selepas pilihan raya umum negara ini semalam, meningkatkan harapan untuk melaksanakan perubahan bagi meningkatkan pembangunan, mewujudkan lebih banyak pekerjaan dan membasmi kemiskinan.

Bagaimanapun, kemenangan bekas Presiden dan pemimpin pembangkang, Joseph Estrada sebagai Datuk Bandar Manila dilihat boleh mengganggu momentum perubahan tersebut sebelum penggal pentadbiran Aquino tamat pada 2016.

Keputusan awal pilihan raya semalam menunjukkan Estrada dan sekutunya, Naib Presiden, Jejomar Binay masih berpengaruh dalam politik Filipina dan mampu menghalang kemenangan calon pilihan Aquino dalam Pilihan Raya Presiden pada 2016.

Selepas 75 peratus undi tidak rasmi dikira, sekutu Aquino dilihat bakal menguasai Dewan Senat apabila parti perikatannya memenangi sembilan daripada 12 kerusi yang dipertandingkan.

Aquino juga mempunyai majoriti besar dalam Dewan Rendah Kongres, menjadi satu-satunya Presiden yang mempunyai kuasa majoriti dalam Kongres sejak demokrasi dipulihkan di negara ini pada 1986.

Bekas Wanita Pertama Filipina, Imelda Marcos juga dipilih semula untuk mewakili wilayah Ilocos Norte manakala anak perempuannya, Maria Imelda Josefa Romualdez atau lebih dikenali sebagai Imee berjaya mempertahankan jawatannya sebagai Gabenor Wilayah Ilocos Norte, buat penggal kedua.

Suruhanjaya Pilihan Raya dijangka mengumumkan keputusan rasmi dalam tempoh 24 hingga 48 jam.

Sementara itu, lapan orang dilaporkan maut dalam beberapa kejadian tembakan, serangan dan keganasan lain yang mencemarkan pilihan raya tersebut.

Polis berkata, empat lagi maut sehari sebelum hari pengundian, manakala berpuluh-puluh orang cedera dalam serangan hendap, serangan bom tangan dan pergaduhan antara penyokong calon daripada parti berbeza di pusat-pusat pengundian di seluruh negara ini. - REUTERS/DPA



Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130515/lu_07/Pakatan-Aquino-kuasai-Kongres-Filipina#ixzz2TJblsnrv 
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment

Komen anda, tanggungjawab anda. You should be held responsible for your comment(s).