Lelaki Myanmar mengamuk
BATU KAWAN 27 Mei - Balai Polis Taman Chai Leng, Perai di sini gempar selepas seorang lelaki warga Myanmar yang datang untuk membuat laporan tiba-tiba bertindak agresif dan menyerang seorang anggota polis yang bertugas awal pagi ini.
Dalam kejadian pukul 1.30 pagi itu, suspek yang berusia 33 tahun dan pekerja kontrak datang ke balai berkenaan untuk membuat laporan kerana mendakwa ada orang mahu memukulnya.
Selepas menerima laporan itu, seorang anggota polis yang bertugas menghubungi Unit Rondaan Bermotosikal (URB) untuk ke Taman Inderawasih bagi melihat kesahihan aduan, tetapi hasil pemeriksaan mendapati tiada apa-apa berlaku.
Suspek yang memakai baju T, berkain pelekat dan tidak berkasut tiba-tiba bertindak agresif dengan memanjat meja kaunter pertanyaan lalu mencekik leher anggota polis itu sebelum merampas pistol milik anggota terlibat.
Lelaki itu turut mengacukan pistol ke kepala anggota polis terlibat, namun anggota polis itu berjaya menyelamatkan diri dengan berlari keluar dari balai sambil meminta bantuan.
Suspek kemudian melepaskan tiga das tembakan di dalam balai yang mengenai mesin pencetak, meja dan pintu kaca sebelum dia keluar dari balai dan mengacukan pistol di kepalanya sendiri.
Anggota polis terlibat cuba memujuknya meletakkan senjata, namun suspek terus mengacukan pistol ke kepalanya sendiri lalu menarik picu, tetapi senjata itu tidak meletup.
Pada masa sama, dua anggota polis yang baru sahaja pulang selepas selesai bertugas terus menahan suspek.
Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Senior Asisten Komisioner Mazlan Kesah ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan memberitahu, siasatan masih dijalankan bagi mengetahui motif sebenar suspek bertindak sedemikian.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20130528/je_02/Lelaki-Myanmar-mengamuk#ixzz2UXn39qyC
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment
Komen anda, tanggungjawab anda. You should be held responsible for your comment(s).