Harga rumah di Ipoh melambung
Saya ingin meluahkan rasa hati berdasarkan keadaan semasa projek perumahan di Bandaraya Ipoh yang semakin melambung harganya.
Saya lahir di Ipoh, membesar dan akhirnya menetap di Ipoh. Ipoh adalah antara bandar yang dahulunya saya ingati sebagai bandar yang tenang, kos hidup yang rendah, harga tanah dan rumah yang rendah serta mempunyai nisbah kaum yang setara menambahkan lagi keharmonian penduduk di Ipoh.
Namun, baru-baru ini keadaan ini berubah. Mengikut statistik, Ipoh adalah bandar yang kedua tertinggi menerima pembangunan dan permohonan pembinaan kawasan perumahan baru daripada syarikat pembinaan perumahan yang berdaftar di Malaysia.
Kepesatan penduduk di samping pertambahan tumpuan daripada pihak kerajaan di Ipoh menambahkan lagi pembinaan perumahan di Ipoh.
Namun, apa yang dikesalkan, perumahan yang dirancang tidak mampu dimiliki oleh golongan pertengahan dan rendah. Dengan harga rumah yang melambung pesat dalam beberapa tahun, mustahil golongan ini dapat memiliki rumah mampu milik di sekitar bandar Ipoh.
Contoh terbaik adalah Meru Raya di kawasan Chepor. Asalnya ia berkepadatan penduduk Melayu yang tinggi. Namun, kepesatan pembinaan perumahan dan pembangunan kawasan ini oleh kerajaan negeri menyebabkan syarikat perumahan menjadikannya sebagai proses mengaut keuntungan. Mereka membina rumah yang hanya mampu dimiliki oleh golongan kaya, bukannya golongan sederhana dan rendah.
Bayangkan, untuk memiliki rumah baharu di kawasan ini, seseorang perlu membeli rumah berharga RM400,000 walaupun hanya rumah teres dua tingkat. Rumah teres setingkat seakan akan dipandang sepi oleh syarikat perumahan kerana ia tidak menguntungkan mereka.
Kebanyakan yang mampu membeli rumah mahal begini adalah daripada suatu kaum sahaja, yang akhirnya menjadikan bandar Meru Raya yang dirancang untuk menjadi Mini Putrajaya ini kekurangan penduduk kaum Melayu.
Inilah punca kurangnya orang Melayu tinggal di bandar. Akibatnya, apabila tiba pilihan raya umum, tiap kawasan bandar yang dikuasai sesuatu kaum itu sahaja tidak dapat ditawan oleh pihak kerajaan.
Bukan bersikap perkauman, namun inilah hakikatnya orang Melayu yang tinggal di Ipoh. Saya adalah seorang doktor gigi, namun masih mempunyai masalah untuk membeli rumah di sini. Saya tidak dapat bayangkan bagaimana orang yang mempunyai pendapatan yang lebih rendah daripada saya mampu membuat sedemikian.
Saya merayu agar kerajaan negeri membantu mengawal harga rumah kos sederhana yang melambung tinggi ini. Ini sahaja harapan kami agar majoriti penduduk Melayu di Ipoh ini tidak hanya tinggal di kawasan pinggir bandar sahaja.
Assalamualaikum
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Forum/20130729/fo_01/Harga-rumah-di-Ipoh-melambung#ixzz2aOJItHd6
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment
Komen anda, tanggungjawab anda. You should be held responsible for your comment(s).