KELAKAR sungguh Presiden Majlis Peguam Malaysia, Christopher Leong.
Dia meminta PM, Najib Tun Razak jangan menyaman portal berita Malaysiakini (Mkini) kerana perbuatan itu melanggar kebebasan media.
Apabila media arus perdana mengkritik Lim Kit Siang, Lim Guan Eng atau Teresa Kok dan disaman puluhan juta ringgit oleh mereka, itu tidak salah. Itu namanya kebebasan hak asasi manusia. Apa punya lawaklah Presiden Bar Council ini?
Apakah Christopher Leong tidak mengerling ke seberang Tambak Johor bagaimana PM Singapura, Lee Hsien Loong menyaman blogger Roy Ngerng di republik itu baru-baru ini.
Majlis Peguam republik itu tidak pula mempertahankan blogger itu. Lebih mengharukan blogger itu menawarkan untuk meminta maaf, tetapi ditolak oleh PM Lee dan mahu kes itu dibawa juga ke mahkamah.
Lupakah Christopher Leong, itulah juga stail DAP di Malaysia. Jika PAP di Singapura gemar sangat menyaman media-media atau pembangkang yang mengkritiknya sehingga bangkrap, samalah juga DAP di sini.
Apakah bezanya? Oleh itu, apakah salah jika PM Najib menyaman Malaysiakini yang saban hari mengkritik kerajaan Malaysia dan penyokong-penyokongnya.
Semua orang tahu Malaysiakini mempunyai niat dan perancangannya yang tersendiri. Mungkin PM Najib terlalu banyak bersabar selama ini.
Sabar pun ada hadnya. Rakyat menyokong tindakan yang diambil oleh PM Najib itu. Sebaliknya adalah salah jika tindakan tidak diambil ke atas portal itu.
Dalam para terakhir kenyataan Majlis Peguam, Christopher Leong menulis: "Kami menggesa Perdana Menteri dan parti politiknya menarik balik saman fitnah ke atas Mkini dan para editornya. Perdana Menteri sebaliknya harus mengambil kesempatan menjawab atau membantah sebagai komen yang tidak betul yang dibuat oleh orang ramai."
Bunyi kenyataannya seperti Majlis Peguam adalah peguam bela bagi Malaysiakini dan para editornya. Lawak sungguh bunyinya.
Adalah amat malang bagi komuniti guaman negara apabila Majlis Peguam kelihatan terlalu memihak dan memilih dalam kenyataan-kenyataannya. Ia sepatutnya apolitical, bukannya bertindak sebagai jurucakap politik bagi pihak-pihak tertentu.
Artikel Penuh: UTUSAN
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment
Komen anda, tanggungjawab anda. You should be held responsible for your comment(s).