Seni binaan rumah merupakan sebuah sanggar ketamadunan yang menjadi buah penghasilan bagi rujukan dalam menelaah nilai-nilai seni budaya sesebuah bangsa.
Kehandalan pertukangan Melayu dahulukala hari ini, dibunuh perlahan-lahan oleh trend pembinaan rumah teres dan mendapat sambutan menggalakkan bagi segmen hartanah bukan strata.
Bimbang dengan implikasi ke atas generasi depan yang timbul dari kemahiran yang hilang ini, kerajaan haruslah mempunyai usaha untuk melakukan satu revolusi ke atas senibina kediaman di negara ini.
Jika pertukangan rumah di Amerika masih berterusan dari 100 tahun lalu hingga ke hari ini dan membentuk identiti mereka tersendiri, mengapa seni kemahiran bangsa yang berusia ratusan tahun seperti dibiar mati.
Kegemilangan pertukangan Melayu dengan ciri keseniannya diakui oleh penjajah sehinggakan rumah-rumah kuarters kerajaan zaman kolonial dibina dengan menerapkan senibina rumah tradisional Melayu.
Hari ini, pembinaan rumah tradisional Melayu sangat jarang untuk ditemui dan diramalkan, menjelang 2020, (entah-entah, hari ini) tiada lagi rumah tradisional Melayu yang baru akan dibangunkan oleh orang Melayu bagi tujuan kediaman.
Maka seharusnyalah kerajaan mula memikirkan untuk mengadakan semula Rancangan Perkampungan Tersusun yang dikhususkan bagi peserta-peserta yang mahu membangunkan kediaman berekabentuk rumah tradisional Melayu, walaupun bahan binaannya tidak lagi menggunakan kayu tetapi konkrit dan batu.
Dengan cara ini juga, industri pembinaan kecil-kecilan akan mendapat manfaatnya dan pertukangan Melayu akan kembali mencorak langkah yang bersesuaian dengan zaman dan mewujudkan elemen-elemen baru kepada senibina Melayu.
Ia juga mampu mengurangkan kebergantungan rakyat kepada pembelian rumah-rumah teres yang harganya kian melambung bagaikan tiada had.
Usaha ini adalah demi memastikan senibina orang Melayu tidak mati, kaku dan stagnan yang akhirnya merugikan peradaban Melayu itu sendiri.
No comments:
Post a Comment
Komen anda, tanggungjawab anda. You should be held responsible for your comment(s).