Assalamualaikum kepada pembaca yang masih tegar menjenguk blog bersawang ini sama ada untuk mengisi ruang waktu dengan membaca, membawa komen tiru tampal berisi kata cerca dan kenyataan-kenyataan yang tak dikepilkan huraian dan hujah yang sihat, jika ada, atau menjenguk untuk menuai untaian isi yang dirasakan boleh menjustifikasi sebab untuk sesebuah ideologi itu dipertahankan.
Dengan mandat pemerintah bagi penggal ini yang akan berakhir kurang setahun lagi, beserta drama politik tungging tebalik, kiss and make up, kisah jerat-jerat makan tuan, ludahan-ludahan yang jatuh ke muka-muka sendiri dan pembahanaan yang bakal tercetus sekiranya pilihan yang bijak tidak dibuat dalam PRU ke 14 yang bakal menghampiri, blog ini berhasrat untuk cuba tampil aktif mengutarakan fakta-fakta untuk dipertimbangkan oleh khalayak dalam mempersiapkan jentera politik peribadi mahupun parti.
Sesungguhnya politik itu kotor. Lihat sahaja "dua musuh" yang masih mengaku musuh, bersepakat untuk menggulingkan parti memerintah pimpinan seorang ahli politik yang telah bersama mereka lebih 40 tahun di Dewan Rakyat.
Apakah lagi, perbuatan aneh oleh seorang pesara Perdana Menteri berusia 92 tahun yang dahulunya dikagumi dan disanjungi ini, adalah sesuatu yang tidak selaras dengan aspirasi dunia baharu yang mula meletakkan pemimpin kerajaan dari kalangan separuh abad.
Rekod 'memalukan' Malaysia yang kononnya berpunca dari pimpinan Perdana Menteri sekarang nampaknya ditutup terus oleh satu rekod yang lebih mengaibkan. Menaikkan seorang yang berusia 92 tahun sebagai ketua pakatan pembangkang.
Masyarakat dunia yang rasional dan terpelajar tentu sekali mengambil masa untuk mengkaji tuduhan ke atas PM sekarang yang dilemparkan dengan leluasa. Tetapi dengan mempunyai ketua pembangkang berusia 92 tahun, mereka boleh ketawa serta merta. Sebuah negara yang mempunyai indeks modal insan yang agak tinggi, tidak mampu menghalang seorang bertaraf moyang dari kembali menyertai gelanggang silat politik sebagai ayam tambatan.
Rujuk isi blog ini pada tahun 2008. Anda menemui fakta betapa penulis sangat tidak berkenan untuk dipimpin oleh PM hari ini.
Tetapi seperti mana drama politik kelakar yang dicetus dengan tema musuh perlu bersatu untuk menentang pihak yang dirasakan tidak betul ini, mungkin mereka tidak sedar bahawa di pihak lawan juga mungkin ada dua tiga empat pihak yang secara dasarnya tidak bersetuju banyak perkara dengan PM hari ini, tetapi memilih untuk bekerjasama di pihak pemerintah dalam memastikan persemendaan aneh yang jelik tersebut ditentang.
Lebih banyak posting akan menyusul dan selamat berbincang sesama kita.
Silalah berkomentar dengan semangat bahawa kita sesama rakyat Malaysia yang mendapat didikan terbaik dari orang tua, mempunyai misi yang sama, mahukan masa depan negara yang lebih baik. Bukan dengan cara langgar lari seperti sondolan babi. Hehehe.
P/S : Penyokong dan simpatisan ketua pembangkang baharu yang membawa modal 'jasa' dilarang komen kerana anda merasakan tanggungjawab seorang yang memerintah selama 22 tahun itu sebagai budi wajib balas atas lambang kasihnya pada anda. Sedangkan Bapa Kemerdekaan tanpa harta pun idola anda 'buang', hentikan bermain dengan perkataan 'jasa'.
No comments:
Post a Comment
Komen anda, tanggungjawab anda. You should be held responsible for your comment(s).