Tuesday, August 15, 2017

UMNO tidak akan hancur semudah sangkaan

Sesetengah kita yang menelusuri sejarah tanah air dan melihat bagaimana survival bangsa sebelum dan selepas kewujudan UMNO, tentu tidak akan peduli jika Presidennya dikecam kiri dan kanan dengan penuh hinaan. Kerana itu adalah politik.

Tetapi tidak jika kecaman dan hinaan itu dibuat ke atas UMNO yang jasanya bukan dari pemimpinnya. Jasanya ialah menjadi tempat orang Melayu Islam mengenal peranan sesebuah penyatuan, mengenal kepentingan kuasa politik, dan mengenal perjuangan dalam memastikan tanah air tidak jatuh ke tangan puak yang membawa ancaman ke atas jati diri dan survival bangsa.

Penubuhan UMNO dan penyatuan orang Melayu merupakan sejarah besar tanah air dan berjaya memadamkan semangat kenegerian dan sikap perkauman dan saling mencurigai sesama suku Melayu.

Semangat penyatuan inilah mengakibatkan Bintang Tiga - yang berjaya mengambil alih Malaya selama dua minggu dan membunuh hampir 5,000 orang Melayu pada bulan Ogos 1945 yang kebanyakannya mangsanya terdiri dari kalangan yang memberi khidmat untuk bangsanya seperti guru, pegawai kerajaan, ustaz, imam, ketua kampung dan penghulu selain orang-orang kampung yang tidak berdosa - tidak lagi mampu merampas tampuk pentadbiran negara Malaya selepas itu.

Inilah detik mula kebencian terhadap UMNO berputik dari sebuah pihak yang berbudaya asing dari adat resam orang Melayu dan kelangsungan atas kebencian tersebut dibawa pula oleh DAP sebaik ditubuhkan sebelum pilihanraya 1969 yang membawa kepada kemuncak rusuhan kaum hasil dari puluhan pergaduhan kaum sepanjang dekad 60an.

Punca pergaduhan kaum 13 Mei 1969 hanyalah kerana kemenangan DAP di kerusi-kerusi utama Kuala Lumpur yang mencetus provokasi jahat DAP ke atas orang Melayu yang terlalu toleran. 

Permuafakatan antara kaum yang dianjur UMNO, MCA dan MIC ternyata telah ditolak oleh pengundi Cina di Selangor pada tahun tersebut ketika UMNO menjadi pilihan hampir kesemua orang Melayu pada ketika itu. 


Menyertai UMNO pada tahun 1946, keluar UMNO pada tahun 2016. Menghabiskan masa 70 tahun dalam UMNO yang hari ini menjadi bahan hinaannya. Bagaimanakah layak seorang yang menghabiskan 76% usia dalam 'kehinaan' harus dijunjung? Bagaimanakah seseorang yang diagungkan jasa dan baktinya yang dicurah ketika dalam 'kehinaan' harus dikagumi? Bagaimanakah seorang yang dijaja sebagai Perdana Menteri terbaik setakat ini, menjadi Perdana Menteri atas kapasiti  memimpin 'parti yang hina' harus disanjung oleh akal yang waras? 


Kebencian terhadap UMNO membawa kepada kebencian ke atas umat Melayu secara langsung dan provokasi dibuat ke atas orang Melayu adalah tidak berdasarkan ideologi politik orang Melayu itu tetapi berdasarkan identiti Melayunya.

Rentetan itu, kebencian DAP tidak pernah pudar malah sehingga ke hari ini dan menjadi satu-satunya parti penentang UMNO yang paling lama sejarahnya.

Hari ini, DAP telah berjaya juga akhirnya memastikan orang Melayu menghina UMNO dengan jelik beserta doa-doa memohon kehancuran yang secara tidak langsung memberi kejayaan kepada DAP dalam misi turun-temurunnya - memastikan perpaduan orang Melayu dipecahkan semula. Mereka semakin berhasil. 

UMNO tertubuh menggantikan perintisnya, sebuah parti kebangsaan Melayu yang pro penyatuan Malaya ke dalam pemerintahan Jakarta, tidak dapat melawan tentangan penjajah Inggeris yang memusuhi Soekarno kerana memihak kepada Blok Komunisme dan mengolahnya bagi disesuaikan untuk diterap sebagai asas negara Indonesia. 

Orang Melayu yang trauma dengan keganasan Parti Komunis Malaya ke atas orang Melayu ketika merampas vakum kuasa selama dua minggu selepas pengunduran Jepun itu pula mula tidak berkenan dengan Parti Kebangsaan Melayu berhaluan kiri tersebut kerana para pemimpinnya adalah proksi Jakarta, yang dipimpin seorang yang pro-komunis,  di Semenanjung Tanah Melayu.

Gerakan jahat para penganut komunisme di Indonesia yang melakukan revolusi sosial di negeri-negeri Melayu sepanjang pantai timur Sumatera yang berseberangan dengan pantai barat Semenanjung adalah kemuncak penolakan orang Melayu ke atas fahaman komunisme di mana pada tengah malam 3 Mac 1946, lima sultan di lima negeri Melayu tersebut dibunuh sekeluarga dan istana mereka dirompak lalu dibakar. Ribuan lagi kerabat raja disembelih dengan kejam dan hal ini dikatakan direstui oleh Soekarno sendiri akibat sikap dingin kesultanan-kesultanan tersebut dalam menyokong negara baru ciptaan Soekarno yang diadaptasi dari fahaman komunis yang diubahsuai bagi kesesuaian masyarakat Indonesia.

Peristiwa ini berlaku ketika rancangan Inggeris yang turut mahu memansuhkan institusi beraja negeri-negeri di Malaya melalui cadangan penubuhan Malayan Union

Akibatnya orang Melayu di Malaya melakukan kebangkitan dengan bersatu menghidupkan UMNO pada 11 Mei 1946 setelah mereka dapati Parti Kebangsaan Melayu Malaya, parti politik yang sebelum itu disangkakan pembela, akhirnya ditolak atas fahaman pro-Indonesianya. 

Dengan penahanan beberapa pemimpinnya sedang selebihnya lari ke hutan dan bergabung dengan Parti Komunis Malaya atas arahan Soekarno, pemuka Parti Kebangsaan Melayu Malaya ini diarah mengangkat senjata bersama Parti Komunis Malaya mengetahui bahawa tidak boleh sesebuah entiti wilayah memiliki dua kumpulan parti pro komunis.

Angin penyatuan bangsa inilah yang menjadi titik keinsafan orang Melayu pada ketika itu yang mulai sedar bahawasanya, hanya dengan penyatuan sebeginilah, mereka akan menjadi kuat dan saling bela membela sesama mereka serta memiliki kuasa politik yang menjamin survival anak cucu mereka.

Bagai mencabar Indonesia yang dilihat melakukan kezaliman ke atas institusi beraja di Sumatera, UMNO memakai bendera Indonesia yang ditempel bulatan kuning berkeris hijau, menjadi petunjuk bahawa institusi beraja tetap dipertahankan. 

Pada penubuhannya, ratusan sumpah setia ikrar membela bangsa dilafaz oleh mungkin sahaja datuk nenek dan moyang mereka-mereka yang hari ini bermatian mahu UMNO dihancurkan. Tidaklah pasti natijahnya andai sumpah tersebut memakan diri mereka kerana para penegak UMNO pada waktu itu mempunyai hanya satu hasrat iaitu memastikan masa depan anak cucu mereka ini tidak ditimpa musibah yang sama akibat pecah belah dan kuasa politik yang rapuh.

Tidaklah sama para belia, orang tua, ibu-ibu, alim ulama  seluruh Malaya berjalan menuju bandar-bandar bagi bergabung menunjukkan solidariti ke atas penubuhan UMNO sambil diancam peluru sesat Bintang Tiga,  dengan mereka-mereka yang menubuhkan parti baru kerana kecewa, iri, dengki, tidak tercapai matlamat peribadi lalu memakai pakaian fitnah pemberian orang-orang yang pada dasarnya, tidak mempunyai rasa persaudaraan pun dengan mereka untuk dijadikan tali pengikat ukhwah.

Apatah lagi dari DAP yang menyambung lidah Parti Komunis Malaya dalam politik negara ini dan menjadi penyebab utama pergeseran bernada perkauman di negara ini tidak pernah pudar.

UMNO sesungguhnya tidak akan mati. Bahkan, mereka yang memaki, menghina, bersekongkol dengan pemecah belah bangsa untuk menghancurkan UMNO, serta pemuka-pemuka yang mengeksploitasi UMNO dengan menyertainya demi kedudukan, peluang kekayaan, melakukan penindasan, melakukan pemerintahan kuku besi dan mengotori nama UMNO inilah yang akan terlebih dahulu mati akibat melanggar sumpah setia datuk nenek mereka yang berjuang menubuhkan UMNO demi kehidupan yang lebih baik anak cucu mereka, yang menjadi para penderhaka ini hari ini.

Darah, keringat, air mata, harta benda yang menjadi tunjang penubuhan UMNO memperlihatkan bahawa ia tidak akan runtuh kerana semua parti yang tertubuh hari ini adalah dijelmakan dari sikap tamak kuasa, kecewa, angkuh dan berkepentingan peribadi semata-mata.

Parti-parti baru ini tiada roh dan asas penubuhan melainkan demi kehendak dan matlamat seseorang individu semata-mata dan tidak mungkin cita-cita penubuhannya menjadikan ia sebuah parti yang mampu dipimpin oleh generasi seterusnya setelah ketiadaan sang pengasasnya nanti.

Maka dengan itu berhati-hatilah. Baik kepada musuh UMNO dan kepada pengemudi UMNO. Jika anda yakin raja-raja mempunyai daulat ketulahnya, bagaimana pula UMNO, lambang penyatuan orang Melayu,  yang telah menyelamatkan raja-raja dari hilang kedaulatannya oleh tangan-tangan dari dua blok yang saling bertentangan ideologi - Barat dan Timur - 71 tahun lalu.

UMNO akan terus wujud dengan dasar-dasar asas penubuhannya ditambahbaik sesuai dengan zaman walaupun pada suatu hari kelak, ia mungkin sahaja menjadi United Malaysian National Organization dan diisi oleh pelbagai bangsa dan agama yang mencintai negara ini lebih dari apa yang anda mampu berikan.

No comments:

Post a Comment

Komen anda, tanggungjawab anda. You should be held responsible for your comment(s).