Thursday, October 04, 2012

Faktor Indonesia dalam Tragedi 13 Mei 1969



Tragedi 13 Mei 1969 banyak dirungkai mengikut perspektif tempatan. Siapa boleh menyangkal kes ini bersangkut dengan konfrontasi Malaysia-Indonesia? Mari kita lihat perjalanan kaitannya.

Sukarno melancarkan kempen Ganyang Malaysia pada tahun 1963 selepas gagal mendapatkan Kalimantan Utara (Sabah, Brunei dan Sarawak) yang menyertai Malaya dan membentuk Malaysia. Sukarno yang pro-komunis pada tahun-tahun tersebut telah menyuburkan kekuatan Partai Komunis Indonesia dalam pemerintahannya melalui kesatuan-kesatuan sekerja yang terbukti anarkis.

Manakala di Malaysia, gerakan menghapus pengganas komunis giat dilakukan oleh kerajaan pimpinan UMNO dan dilihat sebagai musuh oleh Sukarno kerana menentang komunisme.

Konfrontasi tersebut dilihat memutuskan hubungan 'tanah asal' orang Melayu seperti yang didakwa bukan Melayu, iaitu Indonesia dengan Malaysia. Lalu umat Melayu di Semenanjung dilihat telah tidak mungkin dilindungi oleh 'abang besar' mereka seandainya wujud penentangan ke atas mereka.

Tambahan lagi, 'abang besar' orang Melayu pada ketika itu merupakan penyokong kuat blok komunis, kumpulan yang ditentang oleh pihak berkuasa di negara ini.

Buktinya, pergeseran kaum antara Melayu dan Cina di Malaysia semakin ketara selepas Indonesia merdeka tanpa Malaya menyertainya, iaitu selepas tahun 1949. Tambahan pula, Sukarno, merupakan pemimpin  terulung blok komunis ketiga selepas pemimpin Soviet Union dan China. Malaya ketika itu dijarah oleh komunis (90% Cina) habis-habisan. Pergeseran kaum dikatakan tidak sebegitu buruk sebelum Perang Dunia Kedua.

Terjadinya Tragedi Gerakan 30 September 1965 di mana 7 pegawai tertinggi tentera darat Indonesia yang dibunuh oleh konspirasi yang dilabel pro-komunis, menaikkan Suharto mengetuai gerakan menghapus Partai Komunis Indonesia sehinggakan hampir 1 juta rakyat Indonesia sendiri dibunuh oleh angkatan tentera dan rakyat anti-komunis.

Yang dibunuh tidak kurang pula rakyat Indonesia keturunan Cina yang kuat menyokong Partai Komunis Indonesia selain penyokong komunis malah mereka yang tidak ada kena mengena tetapi dibunuh atas kesempatan yang diberikan oleh kerajaan Indonesia pada ketika itu bagi menghapuskan komunis.

Malah, Suharto mengambil langkah berani, menghapuskan budaya Cina, perayaan Cina, tokong Cina, bahasa Cina, tulisan Cina dan segala bentuk pendidikan dan perbahasaan Cina.

Ini sudah semestinya membakar hati ahli politik pro-komunis di negara ini khususnya kalangan chauvinis Cina DAP yang baru hari ini, secara terang-terangan menganggap pengganas komunis sebagai wira.

Rentetan kepanasan hati itulah, kemenangan besar mereka di Selangor pada PRU 1969 telah membuatkan mereka berani untuk mencela, menghina malah membunuh orang Melayu di Kuala Lumpur hingga berlakulah reaksi balas orang Melayu yang cukup memberi kesan kepada mereka hingga hari ini.

Namun, takdir membuahkan hubungan yang sangat baik antara Suharto dan Tun Razak pada awal tahun 1970an dilihat telah menakutkan mereka sehinggalah Parti Gerakan dan Parti PPP bertindak menyertai kerajaan memerintah meninggalkan DAP yang terduduk membisu memasang strategi.

Tetapi hari ini, perlu sangat untuk diperhatikan perbuatan DAP-PKR-PAS yang memburuk-burukkan Angkatan Tentera Malaysia dan menjunjung muliakan komunis. Ini tidak ubah seperti apa yang telah dilakukan oleh Partai Komunis Indonesia sebelum mereka bersubahat melakukan Gerakan 30 September, iaitu memburukkan angkatan tentera. Pada masa yang sama kini, gabungan tiga parti ini berusaha keras menyemai kebencian rakyat Indonesia kepada Malaysia dan itu nampaknya seolah-olah berhasil.

Bendung sejarah gelap Indonesia daripada terjadi di Malaysia atau kita akan saksikan kacau bilau politik yang mungkin akan meragut nyawa orang yang kita sayangi.

Tidak ada tangan luar yang meruntuhkan negara ini melainkan tangan mereka yang mengaku warga negara ini.


No comments:

Post a Comment

Komen anda, tanggungjawab anda. You should be held responsible for your comment(s).