Wednesday, May 07, 2008

Politik Tipu Merosak Kaum

Kira-kira jam 10.00 malam tadi, ketika menikmati hidangan makan malam yang terlewat di Restoran Masha, Bandar Baru Ampang, Selangor, saya terlihat satu kisah yang cukup biasa, tetapi menusuk jiwa hingga terpanggil untuk diterbitkan di dalam blog ini.

Sebelum itu, saya didatangi oleh seorang lelaki tua yang bertongkat putih dan seorang wanita yang memimpinnya. Ya. Peminta sedekah cacat penglihatan yang menjadi trend di Kuala Lumpur. Umum mengetahui mereka ini didalangi sindiket. Tetapi tiada penguatkuasaan atau siasatan terperinci mengenainya dibuat oleh pihak berkuasa. Jadi, tidak perlulah untuk mencari alasan untuk tidak menderma.

Ketika tangan kanan saya sibuk menyuap makanan, saya dihampiri oleh mereka. Ya. Memang agak keterlaluan. Bagaimana saya hendak menyeluk poket yang berisi wang di poket kanan dengan tangan kiri. Namun, saya cuba mengeluarkan sejumlah syiling yang ada lalu menghulur dengan tangan kiri. Agak tidak sempurna rasanya.

Tetapi yang menjadi kisah yang hendak diceritakan ialah, bagaimana datang pula seorang lelaki cacat penglihatan yang dipimpin oleh seorang lelaki muda, kedua-duanya Melayu, dengan modus operandi yang sama, ke restoran tersebut. Mereka menghampiri seorang lelaki muda India berbadan besar yang kelihatan seperti para-para pengamuk HINDRAF di Jalan Ampang tahun lalu.

Pemuda tersebut kelihatan bingkas bangun menuju ke kaunter. Ia tidak sedar kelibatnya diperhatikan oleh saya yang agak jauh dari situ. Ia kelihatan menukar duit di kaunter bayaran, lalu memberi sedekahnya secara tertib di tapak tangan lelaki tua tersebut tanpa mengambil tisu yang dihulur oleh pengemis(?) tersebut. Lelaki tua tersebut tunduk berterima kasih dan lelaki India itu duduk kembali di mejanya.

Terfikir satu persoalan. Mengapa kaum India lebih tinggi budi bicaranya apabila bersoal tentang pahala. Tidak kiralah ia Muslim atau Hindu. Kerana, di sebuah restoran mamak yang majoriti pelanggannya pada malam itu adalah kaum Cina, hanya seorang atau tiada langsung dikalangan mereka yang mahu memberi sedekah. Benar. Kerana seluruh Kuala Lumpur tahu bahawa pengemis-pengemis(?) ini adalah golongan yang didalangi sindiket. Ataupun mereka telah senang-lenang memungut wang di kedai-kedai makan.

Tetapi mengapa lelaki India tersebut tidak berfikir soal itu. Dia juga tidak memikirkan bahawa pengemis(?) tersebut adalah kaum Melayu. Padahal iklim politik telah merosakkan hubungan kaum apabila pembangkang turun menjaguhi isu HINDRAF di jalanan tempoh hari. Banyak sentimen anti Melayu dan Parti Melayu UMNO telah disembur dijalanan dan di pusat-pusat ceramah kempen PRU yang lalu. Setiap rumah kaum India di Malaysia pasti ada bercerita tentang perkara tersebut.

Terdapat dua kebarangkalian yang boleh kita kongsi untuk difikirkan. Pertama, adakah kaum India telah kurang berpolitik di Malaysia? Tambahan pula mereka memusnahkan parti tunggal pewakil bangsa mereka semata-mata. Lalu mereka telah melupakan kisah sebelum PRU12 dan meneruskan kehidupan beragama yang sememangnya menekankan perbuatan-perbuatan baik dengan melupakan garis perkauman setelah mereka berpuas hati bahawa tangan mereka telah menggegar pentadbiran pusat yang dikepalai UMNO?

Kedua, lelaki tersebut adalah dalang kepada sindiket pengemis buta di Kuala Lumpur memandangkan lelaki India tersebut merupakan orang yang pertama didatangi oleh dua lelaki Melayu tersebut.

Kedua-duanya adalah hasil permainan politik. Tetapi di atas platform berbeza. Namun, persamaan pada dua jenis politik ini terletak atas kata " Politik Itu Penipuan Terancang " yang pada hakikatnya telah merosakkan hubungan kaum hari ini dengan semua orang berpura-pura menunjukkan harmoni itu ada.