Wednesday, January 12, 2011

Sejarah Melayu Ipoh 1

Melayu Ipoh merupakan segmen unik komuniti Melayu di Malaysia. Mereka hidup dalam bandar yang didominasi Cina di bandaraya berpenduduk 600,000 dan juga merupakan pusat pentadbiran Negeri Melayu Perak (Malay State of Perak).

Pada tahun 1528, Sultan Mahmud Shah, pewaris kesultanan Melaka yang mendirikan kerajaannya di Kampar, Sumatera telah dijemput oleh Tun Saban, anak Tun Perak, Bendahara Melaka yang telah terlebih dahulu mengembara menyusur Sungai Perak bersama pengikutnya. Sepanjang pengembaraannya, dia mendapati Perak telah dihuni ramai orang terutamanya orang asli dan perantau Sumatera yang singgah mendulang bijih tetapi tidak mempunyai kerajaan.

Tetapi sejarah pengembaraan seorang nakhoda dari Sumatera yang dipercayai bersalasilah dengan Tun Saban menyusur sebuah sungai yang belum pernah diteroka, kira-kira 100 tahun kemudianlah yang menjadi titik tolak pembukaan Kinta.

Menurut Riwayat Kinta yang ditulis A. Talib, 1959, seorang pengemudi sungai dari Sumatera yang menyusur sungai Perak dan masuk ke sebatang sungai besar yang bercantum dengan Sungai Perak bersama pengikutnya lalu mengalami sesuatu yang aneh di kawasan batukapur di Gunung Cheroh. (Gunung Cheroh dan kuala sungai tersebut hari ini selepas diubahsuai berjarak 100 km)

Dia dan pengikutnya mendengar alunan irama bergenta seperti loceng lalu mereka berhenti. Tiba-tiba seekor cicak kubing melompat ke air untuk menyeberang. Setiap kali cicak tersebut berhenti, irama bergenta itu hilang.

Nakhoda itu seraya berkata " maka dengarlah itu sungai ini dinamakan genta, dek kerana alunan itu." lalu cicak kubing itu hilang bersama alunan bergenta itu.

Malam itu, si nakhoda bermimpi kononnya jin penunggu Gunung Cheroh bernama Genta memberi restu penggunaan nama itu dan memberi gelaran kepada si nakhoda Panglima Genta dan mewariskan gelaran itu kepada anak cucu nakhoda tersebut.
Mengikut adat tradisi, anak Panglima Genta perlu berkahwin dengan anak gadis suku Temiar bagi membolehkan suku tersebut menggelarnya "kepala" atau Kulup yang juga merangkap pelindung mereka dengan darah Temiar mengalir dalam badan keturunannya.

Maka orang asli Temiar memanggil beliau Kulup Genta atau dengan kata lainnya Kulup Kinta.

Pengembaraan itu dikatakan berlaku antara 1650 hingga 1680. Pengaruh penulisan jawi membuatkan Genta hari ini disebut Kinta dan ia dibantu oleh adaptasi Eropah atas nama tersebut sejak 200 tahun lalu.

Anda merasakan ini satu dongeng? Sehingga kini, tiada pembangunan di kawasan ini kecuali jajaran rel keretapi menuju Tasek yang dibina British 110 tahun lalu.

Kawasan rekreasi Gunung Lang baru sahaja dibuka sedekad lalu walaupun ia merupakan kolam air gunung batukapur semulajadi berusia jutaan tahun.

Kawasan ini digeruni orang Melayu Ipoh sekitar Kampung Tembok, Gunung Mahsurat dan Kampung Kepayang kerana didakwa sebagai perkampungan jin.

Dan di kaki gunung Cheroh, berdiri sebuah kuil Hindu penyembah dewa Murugan yang mengadakan majlis Thaipusam terbesar setiap tahun di Ipoh.

Bersambung esok.