Saturday, August 24, 2013

Ketegasan Zahid Hamidi Tempelak Waytha Moorthy Dipuji

Zahid for PM ! Tahniah kerana bertegas walaupun dengan sesama ahli kabinet.


Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (gambar) hari ini mengeluarkan kenyataan keras kepada bekas pemimpin badan bukan kerajaan (NGO) Hindraf P Waytha Moorthy  berhubung tindakan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) menembak mati lima suspek penjenayah di Pulau Pinang.

Ahmad Zahid dalam ucapan perasmian semasa "Forum Pencegahan Jenayah: Undang-undang semasa dan langkah-langkah untuk mencegah jenayah kekerasan secara berkesan" di Petaling Jaya menegaskan, pemimpin berkenaan harus melepaskan jawatan kerajaan jika kenyataan yang dikeluarkannya masih "bersifat seperti NGO."

Tegasnya lagi, dalam usaha memerangi jenayah, penjenayah seharusnya tidak menerima simpati umum.

"Jika ada seorang tokoh yang pernah ketuai NGO, dan jadi anggota pentadbiran memberi komen negatif, berhenti dari kerajaan, duduk dalam NGO semula," kata ahli Parlimen Bagan Datoh itu.

"Dalam perkara ini jangan kita ada simpati kepada penjenayah," tegasnya.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri  Waytha Moorthy, yang juga merupakan bekas pemimpin Hindraf dilaporkan media berkata beliau tidak percaya berlaku tembak menembak antara pasukan polis dengan suspek, sebaliknya mencadangkan mereka ditembak pada jarak dekat.

Ahmad Zahid, yang juga Naib Presiden Umno itu bagaimanapun ketika ditanya pada sidang media adakah kenyataan itu dikeluarkan merujuk kepada Waytha Moorthy hanya berkata: "awak faham-faham sendirilah."

Beliau juga sebelum ini dilaporkan menasihati Waytha Moorthy supaya tidak mengeluarkan kenyataan bercanggah dengan dasar yang ditentukan kerajaan.

"Beliau jangan ingat yang beliau masih pemimpin badan bukan kerajaan, beliau bukan pemimpin Hindraf lagi, jangan campur tangan kerja polis," kata Ahmad Zahid dipetik laporan media. -24 Ogos, 2013.

Pedulikan Dong Zong, teruskan pelaksanaan PPPM


TIMBALAN Perdana, Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin telah memberikan isyarat yang jelas bahawa kerajaan sama sekali tidak akan tunduk dengan tekanan yang dibuat oleh Persatuan-persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) berhubung Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM).

Sememangnya ketegasan itu wajar kerana rakyat semakin muak dengan mainan Dong Zong yang tidak sudah-sudah dengan pemikiran sempit mereka.

Biar pun sudah berkali-kali diperjelaskan bahawa tiada agenda dalam PPPM untuk menghapuskan bahasa Cina dan sekolah jenis kebangsaan Cina tetapi persatuan itu terus juga buat-buat tidak faham.

Sebab itulah, bukan kata Muhyiddin malahan kita juga mempersoalkan apakah sebenarnya yang Dong Zong mahukan.

PPPM turut digubal dengan penyertaan persatuan itu dan mereka sudah pasti faham apa yang akan dilaksanakan melalui pelan berkenaan tetapi malangnya mereka terus melakukan penentangan berterusan.
Sepatutnya, Dong Zong perlu berjiwa besar dan berterima kasih dengan sikap kerajaan yang turut menjemput mereka dalam merangka pelan tersebut.

Kerajaan ikhlas berbuat demikian bagi memastikan semua pihak berpuas hati dan tidak timbul sebarang isu apabila ia dilancarkan bulan depan.

Tetapi malangnya, Dong Zong seolah-olah mahu terus memainkan sentimen dalam soal memperjuangkan bahasa Cina dan sekolah jenis kebangsaan Cina. Ada sahaja bantahan mereka sehingga kita berasa mual untuk mendengarnya.

Jika Dong Zong ikhlas mereka sepatutnya memberi cadangan seperti mana sikap kelompok masyarakat Cina yang waras dan tidak melihat PPPM sebagai satu ancaman.

Bagaimanapun Dong Zong memilih pendekatan yang menyebabkan timbul tanggapan bahawa persatuan itu ingin terus berkonfrantasi dengan kerajaan serta meracuni pemikiran masyarakat Cina.

Oleh itu, rakyat Malaysia khususnya masyarakat Cina tidak terus terpengaruh dengan ‘wayang’ yang dimainkan oleh Dong Zong. Seperti mana kata Muhyiddin, kita juga tertanya-tanya apakah tujuan persatuan itu.

PPPM harus dilancar dan dilaksanakan kerana ia melibatkan usaha bagi meningkatkan sistem pendidikan negara.

Kalaulah kerenah puak seperti Dong Zong ini dilayan sampai ke bila pun kita tidak dapat menyaksikan peningkatan dalam sistem berkenaan.

Biarlah Dong Zong dengan protes mereka kerana mereka bukanlah kelompok yang mewakili keseluruhan masyarakat Cina kerana bak kata Muhyiddin, ‘‘...kita tidak akan layan lagipun mereka (mewakili) kelompok kecil sahaja.’’

Apa yang penting ialah segala kebimbangan Dong Zong berhubung sekolah jenis kebangsaan Cina dan bahasa Cina adalah tidak betul.

Dari semasa ke semasa, kita yakin rakyat akan mengetahui juga siapa yang betul dan siapa yang terus mahu ‘berpolitik’.

Kalau Dong Zong berhasrat untuk berpolitik maka masuklah ke gelanggang politik, jangan mendabik dada menyatakan mereka pejuang pendidikan Cina tetapi tindak tanduk seperti parti politik.

Kerajaan mengamalkan sikap terbuka, sentiasa bersedia menerima kritikan dan teguran. Malahan dalam apa juga perkara melibatkan rakyat, kerajaan sentiasa membuka pintu kepada rakyat untuk memberi pandangan tetapi janganlah melampau.

Apa yang penting, sesuatu cadangan itu mesti berteraskan kepada kepentingan seluruh rakyat Malaysia dan bukannya menjuruskan kepada sesuatu kaum sahaja.

Begitulah juga PPPM, sementara sekolah jenis kebangsaan terus dipertahankan dan bahasa ibunda masing-masing dikekalkan, keupayaan sekolah-sekolah lain pula dipertingkatkan.

Justeru tidak perlulah lagi kita berasa khuatir atau bimbang dengan mainan yang ditonjolkan oleh Dong Zong.
Jika Dong Zong mahu bercakap soal sesuatu kaum sahaja, maka pertubuhan bukan kerajaan (NGO) daripada kaum lain juga boleh berbuat demikian.

Tetapi malangnya kalaulah NGO seumpama itu khususnya daripada orang Melayu bersuara, mereka akan dituduh rasis atau bersikap perkauman, bagaimanapun setakat ini tidak ada pula mana-mana pihak khususnya parti politik tertentu mahu mengatakan Dong Zong bersikap perkauman.

Berikutan keadaan itu adalah diharapkan Dong Zong akan lebih bersikap terbuka dalam memperkatakan soal PPPM ini. Ikhlaslah kalau betul-betul ingin memperjuangkan soal pendidikan.

Sebenarnya tidak salah untuk Dong Zong memperjuangkan perkara berkenaan tetapi janganlah melihat ia dari sudut sempit dan kepentingan kaum tertentu sahaja.

Hakikatnya, sudah lama Dong Zong bersikap demikian sehinggakan ada pihak melihat persatuan itu seolah-olah sudah melampau.

Dong Zong tidak boleh menganggap mereka begitu istimewa sehingga apa juga desakan dan tuntutan mereka perlu dilayan.

Mereka hanya sebuah persatuan, oleh itu mereka perlu memahami hanya layak untuk dilayan sebagai sebuah persatuan, tidak lebih daripada itu. Kalau Dong Zong mahu semua tuntutan mereka dilayan, susahlah kerajaan.

Namun begitu dengan kenyataan Muhyiddin, kita percaya bahawa kerajaan tidak akan tunduk dengan tekanan Dong Zong lagi.

Sememangnya inilah tindakan paling tepat kerana di negara ini tidak boleh ada mana-mana pun persatuan yang dilihat semakin ‘besar kepala’.

Ini bukanlah bermaksud, kita hendak menyekat kebebasan bersuara dan memberi pendapat atau kerajaan perlu melaksanakan sesuatu dasar mengikut kehendak kerajaan sahaja tetapi salurkanlah sebarang pandangan secara ikhlas dan jujur.

Kerajaan sudah bersikap terbuka dalam soal PPPM ini, kalau betul kerajaan mahu menghapuskan sekolah jenis kebangsaan tidak kira Cina atau Tamil serta menghapuskan bahasa ibunda masing-masing sudah pastilah kerajaan tidak akan menjemput persatuan seperti Dong Zong untuk turut serta.

Tetapi itu tidak berlaku sebaliknya semua pihak diberi peluang memberi pandangan termasuklah Dong Zong.

Apabila perbincangan dijalankan dan keputusan sudah dibuat, maka hormati kesepakatan bersama. Janganlah amalkan sikap ‘rumah siap pahat berbunyi’.

Semoga dalam isu PPPM ini, kerajaan akan terus tegas dan tidak membiarkan tindakan Dong Zong menjadi penghalang kepada agenda perkembangan sistem pendidikan negara.

Tidak kisahlah apa pun Dong Zong hendak buat atau lakukan selepas ini tetapi apa yang pasti PPPM perlu dilancarkan seperti mana dijadualkan kerana itulah hasrat seluruh rakyat Malaysia.



Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20130824/re_02/Pedulikan-Dong-Zong-teruskan-pelaksanaan-PPPM#ixzz2cpEPYMWh
© Utusan Melayu (M) Bhd