Sunday, January 25, 2009

Apa Sebab ADUN Bota Lompat Ke PKR?

Assalamualaikum,

Setelah membuat pertimbangan terutamanya apabila melihat perkembangan suasana politik khasnya arah tuju sokongan rakyat selepas Pilihanraya Umum ke 12 pada bulan Mac 2008, serta keadaan-keadaan yang wujud dalam parti dan kepimpinan Umno, saya dengan ini mengambil keputusan untuk keluar dari Umno dan seterusnya menyertai PKR iaitu salah satu parti dalam Pakatan Rakyat.

Keputusan ini diambil setelah lama meneliti dan mempertimbangkan kepentingan rakyat seluruhnya khususnya buat para penyokong dan pengundi saya di kawasan Dewan Undangan Negeri Bota:-

Saya amat yakin dengan kepimpinan Parti Keadilan Rakyat yang mempunyai iltizam dan idealisme yang kuat untuk memperjuangkan hak-hak dan kepentingan rakyat yang terdiri dari pelbagai kaum di negara ini.

Saya yakin Parti Keadilan Rakyat akan tetap menjunjung dan menghormati hak-hak yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan khususnya dalam kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi kebangsaan, kedaulatan Raja-Raja Melayu dan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan.

Saya percaya Parti Keadilan Rakyat dan rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat mampu untuk menjadi sebuah permuafakatan komponen parti-parti yang lebih baik demi kepentingan rakyat seluruhnya.

Untuk membolehkan saya menjadi ADUN yang lebih berkesan dan memberi khidmat terbaik kepada penduduk setempat memandangkan Pakatan Rakyat sudah pun menubuhkan kerajaan di Negeri Perak.- Dato' Nasarudin Hashim


Ulasan

Istilah keluar parti bersamaan maksud dengan meninggalkan. Meninggalkan terbahagi dua kepada kerana benci atau demi cinta. Walau apapun niat di lubuk hati Nasarudin Hashim dalam tindakan beliau, penulis pasti ada rahsia besar yang tersembunyi di punca pemikirannya. Sama ada demi diri sendiri atau demi agama dan bangsa, itu perkara kedua.

PKR di Perak kini mempunyai 8 kerusi DUN dalam negeri Perak. Dengan kuasa 8 anggota dalam kerajaan negeri, Nasarudin sebagai orang 'lebih pandai' kini dalam barisan PKR di Dewan Negeri yang dulunya TIDAK ADA, juga dengan kapasitinya, mampu menyingkirkan Nizar Jamaluddin yang selama ini dicemuh oleh orang Melayu di Perak yang enggan dimalukan dengan kerajaan berkepalakan pemimpin boneka.

Apapun hasil tindakan beliau ke atas politik negeri Perak merupakan sesuatu yang ditunggu-tunggu. Beliau mungkin menganggap tindakannya mengguris UMNO tetapi beliau pasti tahu apa yang beliau lakukan.

Tiada parti lagi yang relevan apabila agama dan bangsa dipersenda.

Tetapi, satu sudut lain yang pasti ialah, pada PRU10 1999, Bota jatuh ke tangan PKR. Apakah Nasarudin merupakan 'penyampai radio' yang selama ini berkhidmat untuk Anwar?

Itulah politik. Teman tak akan mengubah kawasan penyokong UMNO dalam peta di kolum kanan ini kerana secara teknikalnya, seseorang wakil rakyat yang melompat parti perlu dipertandingkan semula. Suatu hari nanti, satu pindaan pasti perlu berlaku kerana itulah keadilan untuk rakyat.