Wednesday, March 24, 2010

Caca Marba Bas Ipoh Terus Diabaikan?


Sistem pengangkutan bas awam di Ipoh masih lagi hodoh dan bertaraf negara mundur walaupun Perak kini diperintah oleh kerajaan yang bersifat apologetik.

Sejak pemerintahan BN lama, telah ada ura-ura untuk membangunkan Terminal Bas Bersepadu di Meru Raya, lokasi baru yang mula diangunkan di Jelapang, kira-kira 8km di luar pusat bandaraya Ipoh.

Namun kedapatan ura-ura menaiktaraf pengangkutan awam di bandaraya ini ketika pemerintahan DAP dan lokasi masih kekal di Meru Raya. Pada saat DAP membuat peraduan merekacipta bas baru untuk Ipoh, mereka hilang kelayakan memerintah negeri.

Secara bahasanya, istilah 'kemudahan' untuk rakyat tidak wajar menjadi 'kesusahan'. Selain itu, pelan pembangunan wajar dijadikan sesuatu yang efisien dan memberi manfaat kepada penduduk setempat mahupun para pelawat dan pelancong.

Jika dikaji, tapak paling sesuai untuk dijadikan Terminal Pengangkutan Bersepadu di Ipoh telah tersedia di belakang Stesen Keretapi Ipoh. Tanah milik KTMB yang menempatkan kuarters pekerja usang dan menjadi tempat pembiakan nyamuk ini wajar diubah menjadi kawasan Terminal Pengangkutan Bersepadu Ipoh, atau Ipoh Sentral seperti yang pernah diwar-warkan.

Pihak KTMB seharusnya tidak mengenakan pampasan yang tidak masuk akal kerana KTMB sendiri adalah GLC dan seharusnya mereka memenuhi aspirasi kerajaan untuk mendahulukan rakyat. Rugi KTMB tetap menjadi liabiliti kerajaan pusat. Manakala untung KTMB tidak pula membawa apa-apa perubahan dalam sistem keretapi negara ini melainkan dengan campurtangan kerajaan pusat juga.

Isu tanah KTMB di Kuala Sepetang menjadi contoh bahawa ada GLC yang tidak bekerjasama dalam usaha kerajaan memenuhi kehendak rakyat.

Justeru, dalam perancangan untuk membangunkan Ipoh sebagai hab pengangkutan, KTMB perlu melepaskan tanah pembiakan nyamuk mereka di belakang Stesen keretapi Ipoh kepada kerajaan negeri untuk dijadikan Terminal Pengangkutan Bersepadu Ipoh.

Keuntungan bagi pihak KTMB semestinya berlipat ganda apabila pelancong yang mahu ke Cameron Highlands atau Pangkor, dapat menggunakan perkhidmatan keretapi untuk turun di Ipoh dan mendapatkan sambungan perjalanan mereka di IPOH SENTRAL yang seharusnya dibina di tanah tapak kuarters tersebut.

Pihak kerajaan negeri juga harus sedar bahawa kemelesetan ekonomi negeri akibat pemerintahan Pakatan Rakyat yang buta ekonomi, tidak memungkinkan syarikat bas yang beralamat di 88 jalan Sultan Idris Shah itu akan digantikan dengan sebuah konsortium bas awam yang menggunakan bas yang canggih atas inisiatif negeri semata-mata. Justeru, bantuan kerajaan pusat seperti di Pulau Pinang perlu diperoleh!

Sukar sangatkah untuk mendapatkan bas baru di zaman bas dipasang di Rawang? kalau dulu mungkin susah kerana bas bukan dibina di sini. Hari ini, tiada alasan lagi. Untung rugi adalah di atas bahu kerajaan negeri. Ianya adalah khidmat untuk rakyat.

Atau sukar sangatkah untuk Ipoh mendapat bantuan dari Kementerian Kewangan Diperbadankan, pembiaya utama RapidKL dan RapidPenang untuk menzahirkan RapidIpoh sedangkan Menteri Kewangan Kedua adalah seorang Melayu Ipoh?