Sunday, January 23, 2011

Sejarah Melayu Ipoh 11

Sultan Ismail dan Datuk Maharaja Lela telah dijerat oleh Siam di Pattani atas bantuan William Maxwell. Siam merupakan sahabat British. Mereka telah dibawa ke Singapura untuk dibicarakan dan alat kebesaran pertabalan ke negeri Perak telah dikembalikan.

Sultan Ismail dibuang ke Skudai bersama beberapa orang kanannya. Datuk Maharaja Lela dihukum mati. Datuk Sagor yang terlebih dahulu ditangkap di Kuala Kangsar telah pun dihukum mati.

Kekacauan akibat Perang Perak dan kesangsian Melayu Perak atas orang Mendailing yang membantu British memerangi kesultanan Perak. Maka berlakulah keganasan-keganasan akibat perbalahan ini dan ia dipulihkan sedikit setelah Raja Idris menjadi Sultan yang sah pada tahun 1887.

Penduduk Cina di Ipoh pada tahun 1879 adalah seramai 900 orang berbanding Melayu kira-kira 3000 orang. Tetapi dalam masa 3 tahun, penduduk Cina telah mencapai 5000 orang dan tahun 1881 merupakan saat Melayu Ipoh mula menjadi minoriti sehingga ke hari ini.

Sultan Abdullah yang dibuang ke Seychelles bersama pembesar Perak yang lain meninggalkan takhta yang kosong dan dipangku oleh Raja Yusuf. Kemangkatan Raja Yusuf membolehkan Raja Idris menjadi Sultan Idris Shah yang terkenal sebagai sahabat baik British.

Bermulanya era Datuk Panglima Kinta Ke-10, Muhammad Yusuff yang mula bertugas pada tahun 1884, telah menjadi titik tolak pembangunan besar-besaran Ipoh sebagai sebuah bandar. Pada tahun tersebut juga, pemangku residen, Frank Swettenham memindahkan ibu pejabat pentadbiran Kinta dari Kota Baru ke Batu Gajah dan kekal hingga ke hari ini.

Tanda-tanda kemakmuran Kinta semakin jelas apabila bangunan-bangunan batu mula dibina di Papan, Batu Gajah, Ipoh, Lahat, Dipang dan Gopeng. Pada tahun 1889, pengeluaran bijih timah Kinta buat pertama kalinya melepasi pengeluaran di Larut dan semakin ramai pekerja Cina berpusu-pusu masuk ke daerah Kinta.

Menurut Swettenham, para pembesar Melayu di daerah Kinta adalah orang Melayu paling kaya di Tanah Melayu pada ketika itu. Sutera dan songket mahal di Terengganu dan Batubara di Sumatera ditempah oleh mereka. Mereka memiliki rumah besar, dan ladang kuda serta memiliki rumah sendiri di tanah suci Mekah.

Selain dari penduduk Melayu tetap di sekitar Ipoh yang secara tradisinya mengerjakan bendang dan lombong, terdapat juga orang Melayu yang menjadi orang sampan menjual barang dagangan dari hilir sehinggakan menimbulkan rasa tidak puas hati saudagar-saudagar Melayu yang berkedai atas darat di Ipoh.

British menggalakkan orang Melayu Kinta bertani untuk memenuhi keperluan makanan pekerja Cina yang dikerah dilombong-lombong. Tetapi orang Melayu lebih memilih untuk bertani dan menyara hidup mereka sendiri dan membiarkan bendang tidak diusahakan beberapa tahun bagi menyuburkan kembali tanah.

Kesempatan bertani diambil oleh Melayu luar terutamanya Mendailing kepada tanaman-tanaman yang diperkenalkan oleh British seperti kopi, limau, oren, lada hitam dan limau bali. Ini dibantu oleh langkah kerajaan negeri Perak membuka kawasan pertanian dengan mengiklankan tawaran tanah tidak lebih 500 ekar dengan premium sebanyak 30 sen untuk 2 tahun.

Namun keutamaan diberi kepada aktiviti perlombongan dan kerajaan negeri berhak mengambil semula tanah dengan membayar pampasan untuk dilombong dan ini membunuh aktiviti pertanian di Kinta beberapa tahun kemudian.

Orang Melayu Ipoh sebenarnya tidak lagi berminat untuk bertani. Perlombongan bijih timah memberi peluang kepada mereka mengambil upah membersih kawasan, membekal kayu-kayan, menjadi penyedia khidmat perahu, menjadi polis, tukang kayu dan pembina rumah yang menjajikan pulangan lumayan, selagi beras masih mampu dibeli.

Ini kerana, pada tahun 1885, British mendaftar kira-kira 500 lombong di mana 3 diusahakan oleh syarikat Eropah, manakala selebihnya ialah kawasan lombong orang Melayu yang mendakwa lombong itu milik mereka turun temurun. Akibatnya, British menetapkan bahawa lombong turun temurun yang tidak diusahakan selama 2 tahun akan dimansuhkan status milikan. Maka sebab itu, orang Melayu menyewakan tanah mereka kepada pelombong Cina dan Mendailing dan mengutip hasil komisen sahaja.

Bersambung esok.