Tuesday, October 26, 2010

Tahniah Kerana Mementingkan Sejarah


Tahniah wajar diucapkan buat Kementerian Pelajaran kerana sedar bahawa kepentingan matapelajaran Sejarah terhadap pembinaan bangsa yang tinggi jatidiri akan menjadi nyata.

Malaysia kini mempunyai selapis generasi buta sejarah yang akhirnya akan membentuk negara ini mengikut selera yang tidak berdasarkan realiti serantau.

Jika Indonesia berbangga dengan rakyatnya yang tahu asal usul dan susur galur, Malaysia tidak mampu untuk berada di tahap itu kerana mereka kurang diberi pendedahan tentang sejarah.

Sejarah sebenarnya tidak hanya bergantung kepada pembinaan tamadun semata-mata. Sejarah perlu pergi jauh ke asal usul bangsa hingga ke zaman peralihan masyarakat proto ke masyarakat deutro.

Dalam memanjangkan subjek bagi topik paleolitik mesolitik, segala citra zaman tersebut seerti dataran luas Sunda yang dikatakan beriklim separa tropika dan separa savana yang dingin perlu dihuraikan ketika kemuncak pembelajarannya.

Asas bagi kanak-kanak sekolah rendah perlulah dengan selitan tugasan mengenai salasilah keluarga dan pegangan agama yang juga sebahagian dari sejarah yang membanggakan.

Kita sedar bahawa Malaysia tidak mungkin bermatlamat seperti Singapura yang memansuhkan matapelajaran Sejarah pada peringkat tertentu dalam bidang pendidikan. Ini kerana sejarah rantau ini semakin unik dan menjadi tumpuan setelah buku EDEN IN THE EAST tulisan Profesor Stephen Oppenheimer dari Universiti Oxford, London, mula popular di rantau ini.

Buku tersebut menyimpulkan bahawa kota Atlantis yang tenggelam berada di Asia Tenggara. Cendekiawan Indonesia mula berlumba menambah nilai ke atas jatidiri rakyatnya dengan memperkatakan tentang buku ini dengan serius.

Ini akan memberikan projection yang baik buat membentuk rakyat Malaysia yang mengetahui kemunculan mereka di muka bumi sebelah sini adalah untuk menjadi sebahagian warga rantau ini mengikut aturannya yang sebenar.