Sunday, August 25, 2013

DBKL Tawar RM1 Bagi Setiap Seekor Tikus



KUALA LUMPUR: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menawarkan upah RM1 kepada setiap ekor tikus yang berjaya ditangkap orang ramai dalam usaha membasmi penyakit leptospirosis atau kencing tikus, di ibu negara.

Ketua Pengarahnya Datuk Salleh Yusup berkata DBKL menyediakan peruntukan RM50,000 setahun khusus untuk tujuan itu, termasuk memberi perangkap tikus percuma kepada orang ramai.

"DBKL menetapkan sasaran untuk menangkap dan menghapuskan tidak kurang 50,000 ekor tikus setahun," katanya ketika berucap merasmikan gotong-royong Perdana 'Kempen Pembasmian Tikus WPKL' 2013" pada Sabtu.

Beliau berkata, tahun lepas DBKL menghapuskan 51,110 ekor tikus sementara sebanyak 32,769 ekor berjaya dihapuskan dalam tempoh tujuh bulan pertama tahun ini.

Beliau berkata walaupun usaha menangkap tikus dijalankan DBKL secara rutin, namun aktiviti menangkap dan mengawal haiwan perosak itu perlu kerjasama dan sokongan masyarakat.