Wednesday, January 21, 2009

Seruan Najib Agak Terlewat

Nampaknya, bakal PM Malaysia, Datuk Seri Najib telah terjaga dari lena. Saranan beliau agar UMNO dan BN melakukan perubahan boleh dikatakan tepat walaupun telah terlambat. Sepatutnya saranan ini bergema ketika ahli-ahli akar umbi membuat pemilihan di peringkat cawangan.

Penulis, meletak jawatan sebagai Naib Ketua Pemuda Cawangan beberapa ketika sebelum PRU12 kerana bosan dengan politik melampau dalam parti. Lalu, penulis yang telah menang tanpa bertanding untuk 4 penggal bagi jawatan tersebut tidak dinamakan lagi pada pemilihan yang lalu. Kemudian penulis terdengar ada ura-ura cadangan untuk melantik penulis menjadi Exco Pemuda Bahagian, tetapi penulis keberatan dan faktor jarak jadi penghalang. Buat masa ini, penulis selesa untuk memerhati dari jauh.

Dengan tidak berada di dalam UMNO, penulis tidak pula mengatakan Pakatan Rakyat adalah parti yang betul. Penulis faham tentang politik akhir zaman di mana yang salah akan dipandang betul. Justeru apa yang telah terjadi adalah apa yang dikehendakki untuk terjadi.

UMNO sebagai sebuah parti berusia 63 tahun mempunyai pasang surut relevensinya tersendiri. Seperti pantai, jika berlaku surut melampau, maka bersedialah untuk dihempas tsunami. Kini UMNO telah ternyata surut dengan melampau dan tsunami kebangkitannya hanya menunggu detik bila.

Bila? Ketika UMNO itu sendiri mengalami perubahan drastik yang ramai diantara kita tidak mengetahui bagaimana. Puluhan jika tidak ratusan nama-nama yang berkaliber diperingkat bahagian telah 'terbunuh' dalam pemilihan baru-baru ini. Apakah seruan Datuk Seri Najib itu terlewat?

Mungkin benar, Datuk Seri Najib terlewat. Perubahan hanya boleh berlaku dengan pemilihan yang akan datang.

Perubahan boleh berlaku dengan membawa masuk kembali nasionalis-nasionalis yang sebenar, yang tidak mengintai peluang untuk mengisi tembolok sendiri semahunya.

Ini bukan lagi zaman Azizah dan Si Penarik Beca. Ini zaman di mana anak orang susah, apabila mendapat peluang, akan tegak hidungnya setinggi tiang bendera.

Bukan hendak mengutuk bukan hendak mengata, sekadar renungan buat semua. Walaupun PRU12 ada memberi amaran, pemilihan UMNo peringkat akar umbi yang lalu tetap berjalan tanpa ada langsung kesedaran terhadap usaha untuk memartabatkan parti.

Bergelumanglah mereka dalam acara yang seperti sudah-sudah. Kami di luar akan terus memerhati dan meneliti.