Sunday, September 07, 2008

Reaksi Keterlaluan MCA & Gerakan

Nampaknya Gerakan dan MCA galak menari dengan paluan gendang Datuk Ahmad Ismail. Mereka seolah-olah berada dalam keadaan sawai dengan irama gendang Ketua UMNO Bukit Bendera itu. Mereka menganggap kata-kata Ahmad Ismail sebagai kata-kata orang UMNO atau orang Melayu keseluruhannya. Mengapakah Gerakan dan MCA menjadi kebudak-budakan?

Inilah hasilnya bagi sebuah parti yang dahulunya matang tetapi menjadi busuk akibat hilang sokongan. Mereka berasa terancam. Mendengar kenyataan Ahmad Ismail, mereka gah mahu menjaguhi isu tersebut di mata kaum mereka sendiri. Sedangkan parti Cina yang memerintah Pulau Pinang, yakni DAP terus ketawa terbahak-bahak melihat tarian mereka.

MCA dan Gerakan telah lemah. Sebab itulah mereka seperti gila isim. Sepatutnya mereka hanya perlu mendesak UMNO menyingkirkan Ahmad Ismail. Mereka tidak perlu mempunyai sentimen chauvinistik yang keterlaluan. Mereka hanya perlu katakan kepada Presiden UMNO, orang ini tidak diperlukan. Orang ini perlu disingkirkan. Orang ini perlu dikenakan tindakan tatertib.

Membuat ugutan untuk keluar dari Barisan Nasional hanya menampakkan bahawa mereka merupakan sebuah parti lembik dan tidak bersikap nasionalis. Mereka seolah-olah sasau dan sawai dan membuat pertimbangan yang agak kelakar. Ini menyerlahkan bahawa mereka merupakan sebuah parti yang lemah.

Kenyataan Ahmad Ismail mungkin didorong oleh agenda politik pihak-pihak tertentu yang sememangnya mahukan Barisan Nasional berpecah belah. Gerakan merupakan parti yang paling kuat melatah dalam hal ini. Mungkin penyakit ini datang kerana kekalahan besar mereka tempoh hari dalam Pilihanraya Umum ke 12.