Wednesday, May 27, 2015

Kekejaman penyeludup manusia seharusnya telah lama dikesan

Beberapa ketika sebelum negara digemparkan dengan kubur besar tempat mangsa pemerdagangan orang dari Bengal ditanam, pihak berkuasa telah beberapa kali menahan rakyat tempatan yang menyeludup mereka masuk. 

Tetapi kita hairan, mengapa hal ini tidak berhujung siasatan lanjut dari mana dan apa ceritanya mereka boleh mula diseludup.

Hanya selepas polis Thailand membongkar kekejaman penyeludup manusia ini, kita pun tergesa-gesa menyiasat kawasan sempadan kita. 

Hal begini amat menakutkan. Apakah sempadan negara kita benar-benar dipantau? Apakah ini asas kepada desakan Tun M agar sempadan negara dikawal dengan drone?

Lihat sahaja berita 13 September tahun lalu.




17 PATI dalam satu MPV

14 September 2014 1:47 AM

PADANG BESAR 13 Sept. - Seramai 17 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Myanmar dan Bangladesh ditahan dalam Op Cantas Khas ketika menaiki sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) di Beseri di sini, malam tadi.


Kesemua PATI tersebut ditahan dalam sekatan jalan raya di hadapan Balai Polis Beseri, kira-kira pukul 10 malam.


Pemangku Ketua Polis Daerah, Deputi Supritendan Md. Rafae Hassan memberitahu, ketika ditahan, PATI tersebut dalam perjalanan dari arah Wang Kelian ke Kangar.


Menurut beliau, kesemua PATI yang ditahan itu berumur dari 19 hingga 26 tahun.


Katanya, turut ditahan pemandu kenderaan tersebut yang merupakan warga tempatan.


"Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 serta Seksyen 6(3) Akta Imigresen 1959/63," ujar beliau.