Friday, April 11, 2008

Komunis Melayu Moden ?

Ramai yang tidak sedar bahawa pemimpin Komunis berbangsa Melayu kebanyakannya berasal dari negeri Perak. Mereka menentang penjajah British dan akhirnya mereka merasakan mereka diketepikan dan kemudiannya mereka dipergunakan oleh Parti Komunis Malaya untuk dijadikan pejuang-pejuang versi Melayu yang akhirnya membuatkan nasionalis-nasionalis ini terhumban ke kancah komunisme.

Mereka akhirnya terusir ke hutan belantara, mengumpul kekuatan bersama pejuang-pejuang Cina bekas gerakan penentang Jepun dan bersatu menentang kerajaan Persekutuan Tanah Melayu yang tertubuh atas restu British.

Walaupun mereka berbangsa Melayu dan mengakui masih beragama Islam, mereka telah bersekongkol dengan pengganas-pengganas komunis berbangsa Cina yang bertindak kejam ke atas orang Melayu dengan membunuh guru-guru agama, penghulu dan ketua kampung serta wakil-wakil kerajaan pernah dikekalkan jawatan mereka semasa pemerintahan Jepun.

Mereka merelakan rakan seperjuangan mereka membunuh, merogol dan menyiksa bangsa mereka sendiri dengan kejam. Lelaki dan wanita juga anak kecil. Restu mereka memberikan badi dan dosa yang cukup besar kerana sekongkol dengan pembunuh dan pemusnah yang mengganasi manusia sebangsa dan seagama dengan mereka atas nama perjuangan komunisme.

Atas sebab itu, mereka lari ke negara komunis China sebelum pulang mendiami tanah Melayu yang terletak di kawasan Thailand. Kemurkaan tanah tumpah darah mereka sendiri tidak dapat mereka hadapi. Ideologi mereka telah mereka tinggalkan. Tetapi keterlanjuran mereka tetap tertanam di fikiran generasi demi generasi Melayu di negeri ini.

Apa pula bezanya dengan pimpinan kerajaan negeri hari ini? Oleh kerana mahu menjatuhkan pemerintahan yang diterajui bangsa sendiri, para cerdik pandai agama yang memenangi kerusi DUN atas nama PAS dengan bangganya mendokong cita-cita kesepakatan parti pembangkang untuk memerintah negeri dan mengaburi rakyat dengan menduduki kerusi Menteri Besar yang khusus untuk orang Melayu. Padahal, kerajaan negeri Perak dipimpin oleh Ngeh Koo Ham, Pengerusi DAP Perak.

DAP merupakan parti serpihan PAP di Singapura yang melompat masuk ke Malaysia setelah Singapura dikeluarkan dari Malaysia. Ideologi mereka adalah untuk kesamarataan semua kaum di Malaysia tanpa mengambilkira taraf bekas tenaga kerja asing yang dipegang mereka. Tanpa mengira bahawa hak istimewa Melayu merupakan jaminan untuk taraf kerakyatan pendatang di negara ini.

Hari ini, segelintir orang Melayu, demi untuk menentang pemerintahan bangsa sendiri, menegakkan prinsip matlamat menghalalkan cara dan menjilat ludahan mereka kepada UMNO satu ketika dahulu kerana memimpin kesatuan parti berbilang kaum. Tetapi bagaimana pula dengan kesatuan parti yang dianggotai PAS yang dipimpin oleh orang bukan Islam? Maka tidak hairanlah Menteri Besar Perak kini digelar Rashid Maidin moden.

Dengan mengaburi mata rakyat Perak atas jawatan yang disandang wakil PAS, DAP yang buat pertama kalinya dalam sejarah mempunyai kuasa ke atas pemerintahan negeri Perak dipercayai akan meluluskan projek-projek kontroversi dengan cara menekan Menteri Besar melalui pengaruh majoriti mereka di dalam kerajaan negeri.

No comments: