Tuesday, February 18, 2014

TMJ dipanggil polis untuk dirakam keterangan

KUALA LUMPUR 17 Feb. - Polis akan memanggil beberapa individu, termasuk Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim berhubung insiden kekecohan membabitkan pasukan T-Team dan Johor Darul Ta'zim (JDT) di Stadium Tan Sri Haji Hassan Yunos di Larkin, Johor pada 1 Februari lalu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, kesemua mereka akan dipanggil dalam masa terdekat untuk dirakamkan percakapan bagi membantu siasatan berhubung kejadian itu.

"Kita akan rakam percakapan beberapa individu terlebih dahulu sebelum rakam percakapan TMJ," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menghadiri Majlis Penganugerahan Surat Penghargaan kepada Pengguna Jalan Raya Berhemah dan Kontinjen/Daerah Terbaik Op Selamat 4/2014 di Kuala Lumpur Sentral di sini hari ini.

Yang turut hadir Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd. Bakri Zinin dan Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA), Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Salleh Mat Rasid.

Sementara itu, Khalid ketika dihubungi memberitahu, pihaknya membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Kekecohan perlawanan pusingan kedua Piala FA di Larkin, Johor Bahru berlaku apabila pemain import T-Team kelahiran Brazil, Evaldo Rodrigues dan jurulatih kecergasan, Stefano Impagiazzo mendakwa telah dikasari di terowong menuju ke bilik persalinan di stadium tersebut selepas tamat separuh masa pertama.

Laporan polis berhubung kejadian dibuat sehari selepas pasukan T-Team pulang ke Kuala Terengganu, manakala Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) turut membuat laporan yang sama selepas itu.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Jamshah Mustapa pada 10 Februari lalu memberitahu, seramai 17 individu telah diambil keterangan berikutan laporan yang dibuat.

Oleh TERMIZI CHE ANUAR
pengarang@utusan.com.my

No comments: