Rabu, Mac 26, 2008

Bila Kaum Cina Paranoid

Keris adalah lambang senjata orang-orang Melayu. Lambang kepahlawanan dan lambang satupadu semua etnik yang dianggap sebagai orang Melayu. Keris mempunyai nyawa yang pada pandangan orang Melayu sangat mistik dan mempunyai semangat tertentu yang boleh diseru tatkala dipuja melalui ritual tertentu.

Tetapi, hari ini, keris menjadi momok kepada bangsa Cina. Bangsa Cina gerun melihat Ketua Pemuda UMno menghunus keris pada perhimpunan agong UMNO 2006. Polemik ini mencetuskan kegusaran apakah UMNO sebagai tunjang penaung mereka sedang mengugut mereka. Apakah UMNO akan menggunakan keris ke atas mereka. Apakah UMNO akan mencederakan mereka. Lalu mereka berpaling. Kenyataan DAP bahawa mengundi MCA dan Gerakan adalah umpama mengundi UMNO menyebabkan kaum Cina mengalih sokongan kepada DAP. MCA dan Gerakan dalam diam kini mempersalahkan UMNO atas kecundangnya mereka pada Pilihanraya Umum Ke 12.

Sejuta alasan sekalipun, masyarakat Cina yang tidak faham, takut dan paranoid telah menggugat kekuasaan Barisan Nasional. Walaupun hunusan keris ke udara yang melambangkan usaha memperkasakan survival Melayu itu sebenarnya adalah isu orang Melayu semata-mata, masyarakat Cina menganggapnya sebagai isu rakyat Malaysia.

Keris yang dihunus boleh melambangkan ugutan kepada kaum Melayu yang belot dalam memperjuangkan survival orang Melayu. Namun, akibat dari ini, pengundi Cina telah berpaling lalu memberikan kuasa kepada 'pembelot-pembelot' ini. Keris yang dijulang telah menikam UMNO sendiri.

Mengapakah survival Melayu begitu lantang disuarakan pada satu perhimpunan yang menjadi tumpuan bukan sahaja media dalam negara, malahan media luar negara. Apakah survival Melayu yang diperjuangkan itu benar-benar mewakili jerih perit hidup kaum Melayu yang hidup miskin di pendalaman, kaum melayu yang menjadi penghantar cepat bergaji rendah serta kaum Melayu peniaga tepian jalanan di ibu kota. Atau survival Melayu itu adalah survival poket-poket orang Melayu yang tinggal di mansion-mansion gadang dan berkereta besar becermin gelap yang tidak menang tangan menikmati anugerah tender-tender kerajaan?

Majoriti orang Melayu yang menangisi perit hidup di kota tidak bersama UMNO lagi. Mereka rela dipimpin pembelot bangsa. Salah siapa? Adakah salah mereka? Tepuk dada tanya selera. Sedang ramai orang Cina mentertawa, menghina dan mencemik muka pada Sang Saka Bangsa, haruskah para pemimpin UMNO berterus-terusan dalam keadaan penuh penafian? Mungkin formula khusus diperlukan dalam UMNO untuk menilai bagaimanakah bentuk keghairahan menjaguhi isu bangsa pada perhimpunan agong yang mendatang.