Ahad, Februari 01, 2009

Dua ADUN PKR Nafi Letak Jawatan

Utusan Online, Ahad, 1 Februari 2009

Dua ADUN PKR nafi letak jawatan

01/02/2009 10:01pm


KUALA LUMPUR 1 Feb. - Dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perak daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) malam ini menafikan meletakkan jawatan mereka, sepertimana yang diumumkan petang tadi.

ADUN Behrang, Jamaluddin Mat Radzi memaklumkan kepada Utusan Malaysia bahawa beliau dan dan ADUN Changkat Jering, Mohd. Osman Jailu tidak pernah menghantar surat berhubung perletakan jawatan itu.

Sebaliknya beliau mengakui pernah menandatangi surat janji taat setia bersama enam lagi ADUN PKR yang sekiranya mereka keluar daripada parti, mereka secara automatik perlu mengosongkan kerusi masing-masing. - Utusan


NAMPAKNYA, ULAR PUTAR BELIT TELAH MENYEBUT BAHAWA DIA "MENERIMA FAKS PERLETAKAN JAWATAN MEREKA PADA 1 FEBRUARI 2009 JAM 5.45 PETANG DAN BERKUATKUASA SERTA MERTA" .
INILAH BAHANA MENYERAH KUASA KEPADA GOLONGAN OPORTUNIS PEMUTAR BELIT.

Kekosongan Serentak 2 Kerusi DUN Di Perak?


Berikut adalah fakta PRU12 bagi dua DUN yang akan dipertandingkan semula kerusi ADUN kawasan tersebut. Kekosongan berlaku setelah kedua-dua ADUN PKR, Osman Jailu (Ckt. Jering) dan Jamaluddin Radzi (Behrang) meletak jawatan pada 1 Februari 2009(?) melalui faks ke V. Sivakumar, Speaker Dewan Undangan Negeri Perak.

N.14 - CHANGKAT JERING
Menang : MOHD OSMAN MOHD JAILU (PKR) 9,411
Kalah : MAT ISA ISMAIL (BN) 8,309
Majoriti : 1,102
Undi Rosak : 334
Jumlah Pemilih : 18,144
Peratus Mengundi : 72.85%
Melayu : 63.88%
Cina : 26.12%
India : 9.76%
Lain-lain : 0.23%

Parlimen : Bukit Gantang
Penyandang : ROSLAN BIN SHAHARUM (PAS)

N.59 - BEHRANG
Menang : JAMALUDDIN MOHD RADZI (PKR) 6,771
Kalah : RAMASAMY MUTHUSAMY (BN) 5,744
Majoriti : 1,027
Undi Rosak : 512
Jumlah Pemilih : 13,067
Peratus Mengundi : 70.43%
Melayu : 56.84%
Cina : 23.83%
India : 13.91%
Lain-lain : 5.41%

Parlimen : Tanjong Malim
Penyandang : ONG KA CHUAN (BN)

Apa yang diharapkan ialah, UMNO Negeri Perak akan mempertimbangkan calon yang benar-benar sesuai, DIKEHENDAKKI khidmatnya oleh rakyat, disenangi semua lapisan masyarakat dan ambil semula DUN Behrang yang sebelum ini diberikan kepada MIC memandangkan MIC sukar lagi untuk menang di kawasan majoriti Melayu.

TAPI, TERDAPAT KHABAR ANGIN BAHAWA KEDUA - DUANYA DIPAKSA MENANDATANGANI SURAT ITU LAMA DAHULU DAN DISIMPAN SPEAKER D.U.N. ADAKAH IANYA SAH? EMPUNYA BADAN BELUM BERSUARA. ULAR AKAN MEMBELIT DIRI SENDIRI ??

Seri Iskandar Mengubah Politik Perak?

Jamaluddin Radzi dan Osman Jailu merupakan dua nama yang sinonim dengan PKR Perak. Dari kes rasuah sampai seks itu sedekah, dua kelibat ini menambah seri kepada kerajaan Perak Pakatan Rakyat yang penuh kontroversi. Tetapi mengapa nama mereka naik untuk agenda lompat parti. Kita mungkin tahu sebab Nasarudin melompat yang ada susur galur dari kejadian :
Ahli Majlis Daerah Perak Tengah (MDPT), Zul Hassan yang kecoh dengan istilah ‘ terima sedekah ’setelah mengaku menerima habuan seks wanita warga China dalam satu skandal rasuah membabitkan sebuah projek membangunkan tanah seluas 36 hektar bernilai RM180 juta di Seri Iskandar baru-baru ini berakhir Ahad dengan pengumuman kerajaan negeri itu memecatnya serta merta. - 28/09/08

Majlis Daerah Perak Tengah hilang satu wakil kerajaan negeri.

Parlimen Parit merangkumi 80% keluasan daerah Perak Tengah termasuk DUN Bota yang di dalamnya terletak bandar satelit Seri Iskandar, sebuah arena 'duit' yang dicipta pemerintah terdahulu. Pekan Parit dahulunya merupakan ibu daerah Perak Tengah. Kini Seri Iskandar mengambil alih. Parit terletak 20km di utara Bota, menghulu sungai Perak. Penduduk Perak Tengah berkongsi bahasa Perak versi Parit dan hampir pasti, berkongsi pertalian nenek moyang.

Sementara Seri Iskandar dibangunkan di zaman Ramli Ngah Talib dan menjadi bandar pendidikan dengan sebuah IPTS terkemuka dan beberapa buah IPTA juga beberapa sekolah berasrama penuh, terletak di Jalan Ipoh - Lumut, 5km dari Bota Kanan.

Nasarudin merupakan Ahli Parlimen Parit mulai penggal 2004 sebelum PRU12. Penggal 1999 - 2004, PAS menguasai Parlimen Parit. Sebelum PRU12, Kerajaan BN banyak mengalih pembangunan Seri Iskandar ke Meru Raya di Ipoh terutamanya bagi projek K-2010 yang menarik pelaburan dalam bidang ICT . Ini membuka peluang untuk Seri Iskandar dijarah ahli politik.

Sementara itu, susulan kes sedekah seks, lihat petikan di bawah:
Zul pula bersama-sama juruteknik Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP), Ruslan Sahat, dan dua anggota exco kerajaan negeri Perak dari PKR, Kapt (B) Mohd Osman Mohd Jailu dan Jamaluddin Mohd Radzi, serta bekas Ahli Dewan Undangan Negeri Perak kawasan Bota juga dari PKR, Kapten (B) Usaili Alias, sedang menghadapi 16 tuduhan rasuah yang akan dibicarakan serentak selama tiga hari bermula 11 Februari depan di Mahkamah Sesyen di sini. - 30/09/08

Nampaknya seperti Osman Jailu dan Jamaluddin Radzi memprotes kemasukan Nasarudin lalu mengintai untuk melompat parti membawa 1001 guni pertanyaan. Seolah ada kebencian susulan drama Sedekah Seks yang pengarahnya samar-samar.

Apakah punca drama Sedekah Seks yang turut menjadi punca angin Politik Bota? Sudah tentulah ada bau-bau kentut dengan pembangunan Seri Iskandar. Siapa yang menguasai pengurusan hartanah bandar satelit itu? Sudah tentu Kerajaan Negeri melalui Pejabat Tanah & Daerah yang akan merujuk kepada MDPT. Siapa ahli MDPT yang prominent sebelum PRU12? Sudah tentu Ahli Parlimen Parit yakni Nasarudin di dalamnya. Siapa lebih besar? Pengerusi Felcra yang duduknya di parlimen, atau Yang Dipertua MDPT yang merupakan penjawat awam yang 'melukut ditepi gantang'.

Nasarudin masuk PKR kerana kepentingan pengundi DUN Bota? Kirim salam. Dia masuk untuk memastikan kepentingannya selamat. Di mana kepentingannya? Di Seri Iskandarkah? Sebab itu dia berani menyebut kesediaan untuk letak jawatan supaya PRK boleh dibuat. Dia tidak perlu menjadi ADUN untuk duduk dalam MDPT. Zul Hassan pun bukan wakil rakyat. Yang penting degup jantung Seri Iskandar berada dalam tangannya.

Ahli Parlimen Parit, Nizar Zakaria dari UMNO yang mengalahkan Nasarudin dalam pemilihan UMNO sememangnya mencabar ugutan Nasarudin untuk lompat parti sekiranya kalah Ketua Bahagian. Tetapi hormat tetap ada walaupun sebagai bekas 'kepala'. Justeru, libang libu Nasarudin diperhatikan dari jauh oleh UMNO Parit yang mengetahui hujung pangkal Drama Bota. Lagipun, menjadi ahli MDPT atas tiket ADUN pembangkang di Perak dikira merbahaya bagi Nasarudin. Apa yang pasti, Nasarudin memasang angan jawatan Menteri Besar sebagai sasaran yang bukanlah sekarang. Yang penting baginya menggerakkan kepentingannya ke zon selamat dengan restu Anwar.

Nasarudin hanya akan frust menonggeng sekiranya tidak mendapat layanan sewajarnya dari Kerajaan Negeri atas kapasitinya sebagai ahli MDPT mewakili Pakatan Rakyat selepas ini. Jika kerajaan Perak itu telus dan ahli PAS berpegang pada kenyataan Nik Aziz bahawa lompat parti itu tidak wajar, Nasarudin akan terkontang kanting. Tapi, cuba fikir, antara Nasarudin dan Nizar, siapa lebih kaya? Dan siapa yang lebih lama memegang wang yang banyak? Nasarudin akan kembali prominent dalam MDPT. Itu pasti. Antara moraliti dan 'moringgit'?

Sekiranya Nasarudin tidak punya kaitan dengan tersangkutnya Osman dan Jamaludin dengan kes rasuah, mereka berdua sepatutnya gembira apabila 'payung besar' dah masuk. Tetapi riuh kononnya mereka mencemik hingga mengadu ke TPM. Mungkinkah mereka mahu mendedahkan angkara murka siapalah yang menggetahnangkakan mereka dengan nada UMNO di mahkamah nanti. Angkara siapalah agaknya.
"Kerajaan Pakatan Rakyat menafikan ada meluluskan manamana projek perumahan bernilai RM180 juta di Seri Iskandar. Projek tak wujud jadi mustahil keduadua exco boleh membantu meluluskan projek." - 21/08/08

Memanglah yop projek tu tak ada sebab belum sempat nak kasi ada dan sogokan tu wujud supaya projek itu ada! Kalau nak putar, spin laju sikit. Barangkali, Zul Hassan, si terlepas cakap yang dipecat, mempunyai berguni-guni kisah yang belum terhambur mengenai politik Bota. Dalam situasi ini, bukan BN yang membuka pintu, Jamaluddin dan Osmanlah yang datang mengetuk.

Apa yang menghairankan, Anwar menunjukkan kepada dunia bahawa dia menghalalkan politik orang berniaga yang kotor. Ala pembaptisan atau penyucian dosa. Nasarudin menjadi watak mula kerana dia akan masuk PKR free jer. Ia membawa mesej "Walaupun skandal berguni, lompatlah masuk PKR, dan guni-guni skandal akan ditereban ke Sungai Perak." Jika ini benar-benar kejadian, Osman dan Jamaluddin sangat bodoh sekiranya mereka tidak terkilan.

Jika Ketua Umum PKR kelihatan tiba-tiba menghalalkan perkara yang bertentangan dengan 'aspirasi sogokan' mereka kepada rakyat atas alasan kepentingan parti, bukan sahaja 2 ,malahan berpuluh-puluh ADUN atau Ahli Parlimen PKR pasti meninggalkan PKR sekiranya mereka mampu berfikir secara logik bahawa bersekongkol dalam hipokrit terhadap matlamat parti seperti yang disogokkan kepada rakyat adalah perbuatan hina yang tidak bermoral dan lambang kegagalan. Mereka menipu rakyat yang mati-mati mempercayai rektorik dusta mereka. Disangkakan telus, tetapi terlebih jerlus.

Bekas ADUN Bota dari PKR 1999 - 2004, Usaili Alias mungkin sedang membuat timbang tara antara emosi dan poket sendiri. Pesan penulis kepada Usaili, tinggalkan PKR kerana ramai bekas anggota KeADILan era reformasi jalanan saat Anwar dihumban keluar UMNO telah pulang ke pangkal jalan tanpa gesaan sesiapa.

Itu hitung tambah tolak politik yang diketahui. Politik rahsia, hanya penyimpan rahsia yang memegang rahsianya. Eh, 11 Februari? Sampai di sini sahaja. Nanti subjudis. Jika mahu melompat parti, berikan keadilan kepada rakyat. Letak jawatan, adakan PRK.

Nanti! Pakatan Rakyat kata tak perlu! Ayuh lompat!

Nasib UMNO Di Tangan UMNO Versi 4.0

Usailah sudah permainan 'dituduh UMNO' ke atas penulis. Penulis yang menyertai UMNO semalam menganggap, itulah apa yang Pakatan Rakyat dapat atas keengganan untuk bersatu. Hilangnya satu nama untuk dijadikan ahli. Sudah tentu UMNO hari ini tidak sama dengan UMNO 1946. Nenek penulis yang mengandungkan ibu penulis sanggup berjalan kaki dari Tasek Gelugor ke Butterworth pada tahun 1946 untuk bersama umat Melayu lain, menentang pemansuhan Melayu Islam sebagai tunggak Malaya tanpa dibayar.

UMNO selepas ini, bermula dengan versi 4.0 mempunyai perisian untuk terpanggang nasionalismanya tanpa dibayar. Ahli UMNO pasca versi 4.0 dibekalkan dengan perisian antivirus politik wang. Ahli UMNO pasca versi 4.0 telah dibekalkan 'patch' yang diaktifkan sebaik saja dimuat turun untuk melontar idea dalam mengekstrak sahsiah alif ba ta dari kesundalan wang ringgit. Ahli UMNO pasca versi 4.0 tidak mencari populariti, tetapi populariti akan datang mencari mereka setelah mereka berani bertindak memilih UMNO ketika UMNO langsung tidak lagi popular.

Ahli UMNO versi 4.0 dan keatas adalah kalangan ahli yang menggunakan ICT untuk berjuang secara bijak dan sabar, bukan sahaja dengan musuh luar yang nyata, tetapi juga musuh dalam selimut. 4.0 diambil sempena pelancaran Daftar Ahli UMNO secara online yang bermula dikalangan nombor pendaftaran atas 4 juta. Pendaftaran ini adalah usaha ulung pemanfaatan ICT sejak ia mula digunapakai 10 tahun lalu. Ada sebab mengapa 'peranti' ini lambat untuk berada di pasaran.

Golongan ini bertindak untuk bersama dengan UMNO di saat UMNO diserang demam 'cikugunya'. Golongan ini berazam untuk menjadi antibiotik yang akan 'menghapus' virus dari dalam. Golongan ini lebih pandai kerana mereka tahu UMNO adalah platform paling sistematik, berpelembagaan, demokratik, dan paling ideal ciptaan rakyat tetapi hari ini dikendalikan oleh tangan-tangan yang salah dengan terikut-ikut pertimbangan yang assabiah kumpulan politik Islam berbaur Syiah yang diilhamkan British melalui Tunku berdasarkan pengalaman British di negara taklukannya di Timur Tengah.

UMNO tertubuh pada 11 Mei 1946 berjaya menyatukan semua ras Melayu. Siam, Kedah, Banjar, Perak, Rawa, Minangkabau, Jawa, Mendeleng, Bugis, Melaka, Johor, Pahang, Terengganu, Kelantan dan melalui masjid-masjid, kaum Cina terasimilasi dan Tamil Muslim. UMNO juga 44 tahun kemudian, menyatukan semua bumiputera Islam dan bukan Islam di Sabah.

PAS tertubuh kerana saranan Tunku Abdul Rahman yang menyokong ulama di dalam UMNO dikeluarkan. Ini membolehkan Tunku menunggang UMNO mengikut haluannya sendiri. Penulis jarang mengagungkan PM Malaysia pertama atas banyak sebab. Tetapi itu jalan yang ditentukan Allah dan orang yang telah tiada, hanya Allah yang menguruskannya.

Hari ini, PAS sangat menganggap keislaman mereka paling menepati kehendak agama sedangkan mereka sendiri sebenarnya masih menduga-duga. Menduga-duga adalah sifat manusia yang ada diterangkan dalam Al-Quran. Mereka juga menuduh, punca orang bukan Islam fobia kepada Islam adalah kerana UMNO.

Tetapi apabila mereka bersekongkol dengan puak sekularis di mana mereka hanya mewakili kurang 30% dari perikatan sekular ini, mereka membuatkan Islam lebih 'vurnerable' untuk dijadikan bahan momokan setelah berjaya meraih undi bukan Islam termasuk golongan atheist. Adakah kali ini, salah UMNO juga sedangkan bukan Islam berada bersama PAS dan logik bagi keadaan ini ialah, Islam akan lebih difahami, bukannya diuji ganggu. Tetapi keadaan berlaku sebaliknya. Penulis tidak menuduh PAS adalah parti gagal. PAS yang meletakkan parti tersebut dalam kegagalan moral dan kredibiliti.

Jangan berbangga jika berjaya memerintah negeri yang diwarisi kerana negeri Sabah pernah diperintah oleh hanya sebuah syarikat perniagaan Amerika yang membina sebuah negara yang belum ada. Maksud penulis ialah, jika seorang individu yang berkelayakan, berpengetahuan, bijak, adil, dan berkarisma diberi mandat memerintah sesebuah negeri, nescaya beliau berjaya mengurus pemerintahannya tanpa memerlukan sebuah kabinet negeri.

Penulis pernah bercita-cita untuk membentuk dan mengepalai KeADILan cawangan Taman Perpaduan pada tahun 1998 walaupun Taman Perpaduan terkenal sebagai antara kubu UMNO Bahagian Tambun. Tetapi ilham kebenaran pantas tiba dan pada tahun 1999, penulis membantu jentera UMNO Cawangan walaupun bukan berstatus ahli dan mempromosi kempen undilah BN di internet.

Sebab utama ialah, penulis perlu menanti kebenaran hakiki, punca dan sebab, jangkamasa pendek dan panjang, mengapakah Anwar disingkir. Hakikatnya, sesuatu konsiprasi dirancang untuk sesebuah kejayaan diluar kesedaran umum. Jika USA faham dan merestui konspirasi Yahudi, USA tentu faham semua bentuk konspirasi dalam dunia ini. Tetapi, konspirasi menyingkirkan Anwar menggegar pelobi Yahudi USA. Mereka kokok bersahut-sahutan. Niat memiliki pemimpin Islam di sebuah rantau penting yakni Selat Melaka yang pro-Yahudi kini tertunda. Selepas 10 tahun, ketika PKR semakin 'kuat' (diperkuatkan oleh Melayu kecewa, yang membelot i.e. antara sifat Melayu dalam mengintai peluang ), penulis dapat melihat natijah dari tari menari di pentas Yahudi yang sedang dipersembahkan oleh Pakatan Rakyat. Islam akan disinggung ke tepi.

Sepanjang 10 tahun, pakatan pembangkang tidak pernah bertindak sebagai pemangkin pembangunan ekonomi yang menjana kemakmuran dan membolehkan seseorang Melayu memandu Honda City baru walaupun dia menyokong PR dan menyebut, kerajaan tidak berikan mereka apa-apa melainkan usaha sendiri belaka.

Tapi Melayu ini lupa bahawa siapa yang berhempas pulas membentuk asas kestabilan ekonomi yang membolehkan perniagaan mereka makmur? Selepas semakin berkuasa, pernahkah Pakatan Rakyat bersidang membincangkan 'strategi boneka' mereka dalam menangani krisis ekonomi mendatang? Bukankah mereka sebelum ini berjaya menghasilkan 'kabinet boneka' dan 'MB boneka'?

Meletakkan Pakatan Rakyat memimpin perbendaharaan negara adalah bencana. Manifesto Camry pengganti V6 tidak pernah ada sebelum PRU12. Mereka mendabik dada dengan pelaburan asing dalam negeri yang dipimpin mereka sedangkan peluang tersebut diintai dari zaman sebelum mereka memerintah lagi. Hanya ketenteraman dan iklim ekonomi negara ini dengan jaminan-jaminan Kerajaan Pusat yang membuatkan mereka singgah.

Jika diikutkan, negeri yang diperintah PR tidaklah sehebat mana. Kemakmuran dan kemajuan hanya datang dari tindakan kerajaan negeri menghabiskan peruntukan yang ada sementara mengintai kenaikan cukai. Andai kata berlaku kemelesetan ekonomi paling buruk, negeri-negeri pentadbiran PR akan hilang momentum terlebih dahulu kerana ianya antara negeri-negeri paling ramai penduduk.

Pada saat ini, kajilah belanja urus mereka yang tidak beserta 'projection' atas ramalan iklim ekonomi dan lihatlah mereka membidas kerajaan Pusat sekiranya kerajaan Pusat tidak 'memohon bantuan Petronas' untuk membantu mereka. Itulah cara yang mereka nampak kerana kerajaan Pusat pastilah ada menjaga pulangan dalam Kumpulan Wang Disatukan kerana ianya hasil dari duit rakyat yang diamanahkan. Tetapi keuntungan pelaburan seperti mana yang diharapkan di saat kegawatan ekonomi yang akan diciptakan Barat selepas ini ke arah tekanan ekonomi ke atas golongan makan gaji dan 'petty traders' seluruh dunia.

Mana moral mereka jika mereka dulu pernah menjadikan pelaburan KWSP sebagai isu sekiranya mereka akan kemudian menyebut, wang rakyat untuk rakyat, kerajaan perlu membantu negeri Pakatan Rakyat yang telah mengkekah perbendaharaan negeri sesama mereka dengan kerelaan rakyatnya sendiri! Pakatan Rakyat hanya menggunakan perkataan rakyat. Bukan perkataan rakyat itu datangnya dari 'pakatan rakyat'. Seekor lembu yang memakai baju kurung tidak akan disebut gadis Melayu.

Satu dekad memerhati, menterjemahkan kepada penulis bahawa politik Pakatan Rakyat ialah mencari keadilan dengan cara provokasi dan menyebar rasa benci. Bukan Islam dalam Pakatan Rakyat pula jelas menganggap orang Islam sama sahaja tanpa melihat Melayu itu PKR, PAS atau UMNO. Kesepakatan mereka bersama orang Islam Pakatan Rakyat hanyalah semata-mata untuk kepentingan sendiri yang mudah diraih dengan izin walaupun dilihat membelakangi prinsip kenegaraan sejagat dalam mengangkat nilai budaya dan agama paling dominan berdasarkan demografi penduduk. USA sekalipun dihuni oleh sebahagian besar rakyat yang mahukan negara tersebut dipimpin oleh nilai-nilai Kristian.

Di Malaysia, nilai-nilai tersebut cuba dibunuh oleh ahli politik pro-sekularisme totok bukan Islam dengan pertolongan tangan-tangan orang Islam PAS dan PKR. Malangnya itu lebih baik pada anggapan mereka dalam PAS dan PKR demi kebencian yang membuak terhadap saudara sebangsa seagama di haluan kanan.

Jelas, dengan menyertai Pakatan Rakyat, penulis akan terikut bersubahat untuk menyamaratakan hak beragama di bumi yang telah lebih 500 tahun dikenali sebagai dunia orang-orang Islam, dan bersama menggalakkan pembesaran kuil-kuil Hindu dan gereja. Kesamarataan atau liberalisasi tanpa mengikut had berdasarkan demografi itu mencela kuasa mengundi orang Islam di negara ini. Ia seumpama meratakan sebuah lembah ciptaan Allah yang berbukit bukau di mana kesan ekologi pasti mengambil tempat.

Pakatan Rakyat tidak mungkin mencipta kemakmuran. Dalam pakatan tersebut, bertolong-tolongan hanyalah untuk perkara kejahatan. Perkara yang berlandaskan benci, riak, ujub dan takbur. Fitnah, celaan, hinaan melalui lukisan, tulisan dan lisan, serta memburu berita sensasi yang tidak diketahui kebenarannya, menyebarkan di rumah-rumah Allah, di kedai-kedai kopi dan bersubahat dalam umpat dan fitnah hanya datang dari orang-orang Islam di Pakatan Rakyat. Inilah 'sifat terpuji' ala akhir zaman.

Tetapi, sudut positif perbuatan menempah neraka ini ialah, mereka mampu membantu ahli UMNO pasca versi 4.0 untuk mengambil posisi apabila pemimpin UMNO sedia ada bakal menyedari bahawa mereka tidak relevan lagi. Ini kerana tiada orang Melayu yang mukanya setebal Samy Vellu.

Apapun perintah Allah untuk ketentuan nasib UMNO akan penulis terima hatta hanya penulis menjadi satu-satunya ahli UMNO yang tersisa di dunia ini. Kekuatan organisasi dan penerimaan umum ke atasnya berpaksi atas sifat anti-korupsi, anti-opresi, akhlak terpuji, kemasyhuran kredibiliti, mempunyai seni menyelami dunia marhaen, menuruti nasihat yang berguna dan mempunyai sifat anti-elitisme. Bukankan sifat itu 'telah mati' dalam UMNO?

UMNO versi 4.0 dan ke atas akan menghidupkannya kembali.