Sunday, October 31, 2010

Geografi & Sejarah Itu Sama Pentingnya

Tahniah buat Kementerian Pelajaran kerana merealisasikan usaha menjadikan masyarakat negara ini di masa depan tidak buta sejarah. Usaha ini amat dialu-alukan malah dihargai. Menjadikan Sejarah sebagai subjek wajib lulus merupakan langkah yang tepat.

Namun, sahabat kembar kepada subjek Sejarah, yakni Geografi tidak harus dikurangkan kepentingannya. Menurut laporan, beberapa sekolah di Negeri Sembilan telah menggugurkan subjek ini dari senarai matapelajaran untuk peperiksaan SPM memandangkan ianya sekadar matapelajaran elektif.

Ketika dalam penerbangan ke Bandung pada bulan Jun lalu, saya terpegun melihat anak perempuan kepada seorang lelaki Cina warganegara Indonesia yang berumur lebih kurang lima tahun, asyik mentelaah peta negara Indonesia sambil bertanyakan bapanya sama ada sekian-sekian tempat yang ditunjukkan olehnya itu merupakan sebahagian Indonesia.

Dalam bahasa Indonesia, kedua-duanya saling berinteraksi walaupun si bapa kelihatan letih, dia tetap melayan karenah anaknya seolah-olah sangat berbangga untuk mempunyai anak yang mengetahui asas geografi kenegaraan paling mudah pada usia sebegitu.

Di negara ini, kita masih mempunyai penduduk yang tandus ilmu geografi. Contohnya, ramai yang tidak mengetahui bahawa ancaman tsunami akibat aktiviti seismologi hampir tiada di pantai barat daya Semenanjung, pantai timur Semenanjung, malah pantai Sarawak oleh kerana perairan yang cetek.

Contoh lain ialah seperti kepanikan yang terjadi ketika jerebu di bulan Oktober lalu akibat corak angin semalaman yang bersifat sementara pada saat konsistensi angin bulan tersebut adalah dari barat laut. Ini kerana mereka tidak mengetahui bahawa wilayah Riau di Indonesia yang sedang mengalami kebakaran tanah gambut terletak di barat daya Semenanjung.

Jika itu juga merupakan sesuatu yang berat untuk difahami, cuba pilih 10 orang yang berada dikalangan kita, bawakan ke kawasan lapang dan tanyakan di mana kedudukan negara China contohnya. Lihat saja jawapan mereka.

Hakikatnya geografi bukan sekadar itu. Geografi meliputi air, udara, tanah, lapisan bumi, seismologi, vulkanologi , corak penempatan, malah zon masa. Kaitannya dengan sejarah adalah pada sejarah latarbelakang kejadian geologi, arkeologi serta pembentukan demografi penduduk hari ini.

Semua ini adalah faktor kunci yang perlu ada bagi pembangunan modal insan sesebuah negara maju di masa depan.

Buta geografi hakikatnya merugikan negara. Seperti contoh cadangan membina pancuran air digaris pantai bagi mengatasi jerebu seperti yang pernah dicadangkan ketika jerebu teruk tahun 1997 sedangkan konsistensi angin yang membawa partikel terampai tidak memungkinkan apa-apa jaminan cadangan itu akan memberikan hasil kejayaan. Bayangkan kerugian yang tertanggung sekiranya idea ini digunapakai.

Kita tidak mahu masyarakat Malaysia yang maju di masa depan lebih buruk pengetahuan mereka tentang geografi jika hendak dibandingkan dengan negara yang belum maju.

Sebab itulah dikatakan subjek Geografi juga wajar dijadikan matapelajaran wajib lulus SPM. Kaedah penilaian dan markah lulus itu terpulanglah kepada ahli akademik di kementerian yang bertanggungjawab.