Tidak beberapa lama selepas Pulau Pinang ditakluk British, Kapten Glass menilai eksport timah tahunan Perak ialah 5,000 pikul yang sebahagian besarnya datang dari Kinta. Setelah perjanjian dengan Belanda tamat pada 1795, pengeluaran timah merosot.
John Anderson dalam laporan mengenai kepentingan ekonomi Perak pada tahun 1824 menyatakan terdapat 20 kampung dengan setiap kampung memiliki 10 hingga 50 rumah terdapat di Kinta, dari atas Kuala Chenderiang termasuk di pinggir Sungai Kampar dan Sungai Raia.
Semasa bangsa Eropah mula memasuki Kinta pada abad ke-19, mereka menemui banyak lombong jenis telaga lama yang memang tentulah berbeza dengan kaedah melombong orang Melayu pada masa itu. Orang Melayu memanggilnya Lombong Siam. A.Hale, Pemeriksa Lombong-Lombong menulis dalam tahun 1885 bahawa :
".. tradisi masyarakat setempat menyebut, pada zaman dahulu, Siam adalah pelombong di kawasan itu dan terdapat bukti kerja melombong dengan intensif telah dilakukan oleh seseorang dengan kaedah yang berbeza dengan yang digunakan oleh orang-orang Melayu tempatan."
Pengkaji kemudiannya menolak bahawa lombong tersebut dikerjakan oleh orang Siam. Tetapi Perak hakikatnya pernah diduduki Ligor pada tahun 1821 dan tidak mustahil Lombong Siam ini diusahakan secara kerahan tenaga bagi memenuhi tuntutan ufti Raja Siam."
Bersambung esok.
Sumber rujukan : Kinta Valley (2005) Khoo Salma Nasution, Abdurrazaq Lubis