Ramai bukan UMNO selalu mencela parti itu sehingga ke setengah abad sejarahnya menjadi tunjang pemerintahan Malaysia. Paling tidak reti berhenti, para chauvinis Cina. Tetapi mereka lupa, Anwar Ibrahim yang mereka sanjung itu sebenarnya hanya bertindak dalam mode mengkarung yang bertukar warna sebelum cita-citanya terlaksana.
Dia pernah menafikan kenaikan pangkat seorang pegawai kanan pendidikan berbangsa Cina atas alasan dia bukan Melayu pada tahun 1997. Tetapi demi meruntuhkan UMNO, chauvinis Cina juga menjadi mengkarung apabila berpura-pura menyukai Anwar Ibrahim hari ini. Kelakar sungguh, sang Napoleon Kechil yang menindas mereka, di angkat sebagai wira setelah Napoleon Kechil ini ditumbangkan.
Tsu Koon dedah tembelang Anwar2012/10/01 - 07:00:40 AM
Kuala Lumpur: Datuk Seri Anwar Ibrahim pernah mengetepikan kenaikan pangkat seorang Timbalan Pengarah Pelajaran negeri berketurunan Cina di Pulau Pinang ketika memegang jawatan Timbalan Perdana Menteri pada 1997. Pendedahan itu dibuat Tan Sri Dr Koh Tsu Koon, semalam. Tsu Koon ketika itu ialah Ketua Menteri Pulau Pinang. Tsu Koon membantah keputusan Anwar melantik pegawai tujuh tahun junior untuk mengisi jawatan itu kerana menyifatkannya sebagai tidak adil. Ketika mengesahkan pendedahan Presiden GERAKAN itu, Datuk Seri Najib Razak berkata, beliau selaku Menteri Pelajaran ketika itu turut sependapat dengan Tsu Koon. “Pegawai itu (Timbalan Pengarah) sudah kanan dan amat kompeten. Dia (Anwar) hendak menahannya daripada menjadi Pengarah Pelajaran Pulau Pinang hanya kerana dia bukan Melayu. Bagi saya itu tidak adil. “Sebab itu apabila saya semak perkara berkenaan, saya ambil risiko. Dia (Anwar) Timbalan Perdana Menteri, saya Menteri Pelajaran. Saya kata, tidak, pegawai itu mesti diberi jawatan Pengarah Pelajaran. “Saya bersedia menghadapi risikonya kerana sehingga hari ini saya percaya kepada prinsip pemimpin mesti sentiasa adil dan saksama,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian Persidangan Perwakilan Nasional GERAKAN 2012 di sini, semalam. Terdahulu, Tsu Koon dalam ucapan berkata, Anwar bersikap angkuh dan enggan mendengar penjelasannya supaya memberi peluang kenaikan pangkat kepada Timbalan Pengarah itu yang hanya berbaki tempoh perkhidmatan satu setengah tahun. “Apabila Anwar tolak, saya tiada pilihan dan merujuk perkara itu kepada Menteri Pelajaran (Najib). “Beliau memberitahu akan menelitinya. Empat hari kemudian, Najib menghubungi saya memberitahu sudah menaikkan pangkat Timbalan Pengarah itu. Ini contoh janji Najib ditepati. “Bagaimanapun, Anwar amat marah dan menghubungi saya. Dia kata: ‘Saya adalah Timbalan Perdana Menteri.’ Saya jawab balik: ‘Tapi anda tidak berlaku adil’ dan dia terus menghempas telefon,” katanya. Sementara itu, Najib ketika menyentuh isu Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang, Datuk Mansor Othman, berdolak-dalih berhubung tindakannya melabel Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, sebagai angkuh, berkata: “Jelas beliau (Mansor) membohongi penduduk Pulau Pinang. Anda tidak boleh ada kerajaan yang menipu rakyat. Anda tidak boleh ada kerajaan yang berjanji tetapi tidak menunaikannya. Di Selangor, 75 peratus janji (kerajaan PKR) tidak ditunaikan.”