Antara tahun 1800 hingga 1850, Ipoh masih belum dibuka dan Kampung Kepayang dan Kampung Paloh terus membangun dengan aktiviti tanaman padi dan melombong bijih timah. Pun begitu semakin banyak kawasan pendalaman seperti di Kantan, Chemor, Tanjong Rambutan, Ulu Pinji telah dilombong.
Orang-orang Cina yang dibawa masuk banyak menumpu ke kawasan Gopeng dan Teja. Pembukaan tanah untuk perlombongan oleh orang Melayu dengan skala besar dibuat oleh Kulup Riau.
Kulup Riau berketurunan Mendailing merupakan anak kepada seorang yang telah diberikan tanah untuk melombong di Jelentoh, Gopeng pada tahun 1861. Semasa pemerintahan Sultan Ali dari tahun 1865 - 1871, Haji Sulaiman dari Pulau Pinang membuat perjanjian dengan Kulup Riau untuk membekalkan tenaga kerja Cina. Mereka mengadakan perjanjian dalam urusan komisen jualan bijih.
Apabila Penghulu Kampar, Tok Samah mengenakan cukai lebih tinggi di Kuala Dipang, Kulup Riau enggan membayarnya. Akibatnya, Tok Samah mengadakan sekatan di Sungai Kampar dan ini menyebabkan lombong Kulup Riau terpaksa ditutup.
Mereka kemudiannya membuat keputusan untuk mengangkut hasil timah keluar melalui Sungai Raia, lalu membuat laluan dari Gopeng ke Sungai Raia (Simpang Pulai).
Kulup Riau mempunyai hubungan yang baik dengan Raja Ismail walaupun Raja Ismail adalah menantu Tok Samah. Kulup Riau membantu Raja Ismail mengembangkan aktiviti perlombongan di lombong Raja Ismail di Papan.
Raja Ismail naik menjadi Sultan Perak pada tahun 1871 setelah Raja Abdullah, pewaris takhta, tidak datang pada hari pertabalan. Majlis mesyuarat memilih Raja Ismail yang jawatannya sekadar Bendahara negeri sebelum ini menduduki takhta tanpa mengikut penggiliran sewajarnya.
Kulup Riau kemudiannya meminta bantuan Ah Quee membekal 300 orang pekerja Cina untuk mengusahakan lombong di Gopeng Hilir. Hasilnya yang lumayan membolehkan Kulup Riau membina jalan dari Gopeng ke Simpang Pulai sepanjang 16km untuk memudahkan aktivitinya.
Dia juga membawa masuk lebih 300 pekerja Mendailing untuk bekerja di lombongnya di Gopeng.
Hubungan baik Kulup Riau dengan Sultan Ismail tidak lama. Menurut Frank Sweetenham, Kulup Riau mula tidak senang dengan Sultan Ismail kerana Sultan Ismail mula bertindak merampas hasil bijih timah miliknya.
Bersambung esok.