Tuesday, October 14, 2014

Melihat sejarah Lee Kuan Yew 'hapuskan' sekolah Cina

Walaupun hubungan rapat Lee Kuan Yew dengan Utusan Melayu di Singapura sejak awal tahun 1950-an berakhir dengan persengketaan dalam tahun 1960-an, tetapi ia telah mencatat sejarah pahit manis politik dan media yang tidak mungkin dilupakan oleh kedua-dua pihak. Hubungan itu bermula apabila Kuan Yew menjadi peguam pertama Utusan Melayu yang memberi peluang kepadanya berinteraksi dengan wartawan-wartawan nasionalis kiri Utusan yang akhirnya digunakannya untuk membina jambatan politik dalam strategi melumpuhkan kekuatan politik barisan depan komunis yang terdiri daripada English Speaking Intelligentia (ESI) dan golongan cauvinis Cina.

Beliau kerap singgah di ibu pejabat Utusan Melayu, 185 Cecil Street untuk berunding dengan A. Samad Ismail, Devan Nayar dan lain-lain dalam usaha untuk menubuhkan Parti PAP. Sasterawan Negara, Usman Awang pernah menulis tentang Utusan menjadi tempat singgah dan pertemuan para pejuang anti-kolonial dan pemimpin-pemimpin kesatuan sekerja. Betapa rapatnya hubungan Kuan Yew dengan Utusan Melayu dan keyakinan kepada kualiti dan integriti kepimpinan di Utusan Melayu terbukti bila beliau melantik penaja dan pengarang akhbar ini, Yusuf Ishak sebagai Presiden Singapura pertama yang gambarnya kekal dalam mata wang Singapura hingga sekarang dan beberapa orang lagi orang Utusan menjadi menteri dalam Kabinetnya.

Antaranya ialah Timbalan Ketua Pengarang Utusan, Othman Wok yang menjadi Menteri Kebajikan Masyarakat dan penulis rencana Pengarang, Rahim Ishak (adik Yusof Ishak) menjadi Menteri Kebudayaan. Dengan restu Kuan Yew, Othman Wok yang ketika itu masih berkerja dengan Utusan telah membawa pekerja-pekerja Utusan dari Singapura untuk mematahkan mogok golongan kiri Utusan Melayu di Kuala Lumpur yang anti Perdana Menteri Tunku Abdul Rahman dan anti UMNO dalam tahun 1961. Pengurus Kilang Utusan Melayu, Yusuf Mahmud memberitahu saya bahawa Kuan Yew sering singgah di pejabat Utusan dan pernah memberitahunya bahawa, "Saya sahaja yang boleh ajar orang Cina." Ketika itu Singapura menghapi ancaman dan tekanan daripada golongan perkauman Cina dan komunis. Saya tidak ada keterangan bertulis dalam perkara ini. Sebagai wartawan saya sedar bahawa cakap-cakap tanpa bukti adalah fakta yang lemah tetapi sesiapa yang membaca buku-buku Kuan Yew terutamanya dua buah memoirnya serta buku, Man In White The Untold Story Of Singapore's Ruling Political Party membuktikan kebenaran kata-kata itu. Selepas kemerdekaan, Kuan Yew bertindak nekad dan berani menutup sekolah-sekolah dan universiti Cina di Singapura dan kemudian menggantikannya dengan sekolah kebangsaan Inggeris di seluruh Singapura. Universiti pula digantikan sebuah Universiti Cina dengan Univesity Nasional Singapura berpengantar bahasa Inggeris.



Walaupun ini dilakukan serentak dengan penutupan sekolah Melayu dan Tamil tetapi menutup sekolah kaumnya sendiri yang merupakan majoriti di Singapura memerlukan keazaman dan keberanian untuk bertindak luar biasa, kemungkinan menghadapi risiko kekacauan dan rusuhan besar.Untuk menghapuskan Universiti Cina dalam tahun 1980, Nanyang University dipaksa bergabung dengan University Singapore bagi mewujudkan National University of Singapore.

Orang India Singapura telah menangis apabila sebuah sekolah menengah Tamil tertua di Singapura ditutup dalam tahun 1982 kerana sekolah ini merupakan benteng terakhir bagi bahasa Tamil di Singapura. Mereka telah membinanya dalam 1946 menerusi darah, keringat dan air mata dan mengadakan tabung sumbangan bulanan bagi penyelengaraannya. Kebanyakan mereka ialah penjual akhbar Tamil yang melihat penutupan itu bererti gelaplah masa depan bahasa Tamil. Apa yang mereka takuti benar benar belaku di Singapura hari ini. Lapan minggu selepas perpisahan dari Malaysia dalam bulan Oktober 1966, Dewan Perniagaan Cina yang disokong oleh kesatuan guru-guru Cina, pengarang-pengarang akhbar Cina dan pemimpin-pemimpin berbagai-bagai persatuan suku kaum Cina meminta kerajaan Singapura memberikan jaminan untuk menjadikan bahasa Cina sebagai salah satu bahasa rasmi di Singapura.

Belum pun kempen ini bermula Kuan Yew telah mencantasnya dengan memberitahu mereka bahawa semua bahasa utama di Singapura mempunyai taraf yang sama walaupun sebenarnya pada masa itu beliau memang telah bercadang untuk menjadikan bahasa Inggeris sebagai bahasa utama.

Sentimen

Lima hari selepas pengumuman itu, dengan tujuan untuk menakutkan pejuang-pejuang bahasa Cina yang mewakili empat dewan Cina, Kuan Yew memanggil dan memberi amaran kepada mereka di bawah suluhan cahaya lampu televisyen bahawa beliau tidak akan membenarkan sesiapa juga mengeksploitasi bahasa Cina sebagai isu politik. Dengan itu tamatlah suatu percubaan untuk mengangkat martabat bahasa Cina. Tetapi beberapa orang pemimpin pelajar yang berasal dari Malaysia telah meneruskan tindakan bantahan dengan mengetuai tunjuk perasaan pelajar-pelajar Nanyang University dan juga Ngee Ann College di hadapan pejabatnya. Kuan Yew mengarahkan mereka ditangkap dan dihantar pulang ke Malaysia.

Dalam tahun 1987 bahasa Inggeris secara rasmi menjadi bahasa pengantar di semua sekolah kebangsaan di Singapura. Tidak ada lagi sekolah Cina, Melayu dan India. Aliran pemikian pendidikan Inggeris telah meruntuhkan sentimen perkauman, merasionalisasikan sikap, mengawal pengucapan dalam masyarakat berbilang kaum dan menjadi benteng pertahanan kepada masyarakat 'Singaporean Singapore.' Maka itu orang Cina Malaysia yang kebanyakannya masih kecinaan dalam cara hidup mereka berasa terasing dan sukar untuk menyesuaikan diri dengan generasi baru Singapura.Selepas merdeka, kerajaan Malaya juga telah memperkenalkan Dasar Pelajaran Kebangsaan dengan meningkatkan taraf sekolah kebangsaan pengantar Melayu ke peringkat menengah dan universiti di samping mengekalkan sekolah aliran Cina dan Tamil diperingkat rendah sahaja.

Dengan itu diharapkan dalam jangka panjang akan berlaku kemerosotan terhadap sekolah aliran Cina dan Tamil seperti pada zaman penjajah kerana taraf pelajarannya sekadar sekolah rendah. Tetapi pemimpin-pemimpin Malaya terlepas pandang terhadap hakikat kekuatan ekonomi orang Cina yang mampu memaju dan meningkatkan pelajaran mereka dengan usaha sendiri ke taraf yang sama. Buktinya ialah kelahiran Kolej Tunku Abdul Rahman. Adalah suatu pembohongan besar untuk mendakwa sekolah Cina tidak melahirkan aliran pemikiran perkauman yang sempit. Mereka sama sahaja dengan pelajar-pelajar Melayu yang hanya mendapat pendidikan agama dan Melayu yang terbatas pembacaan dan pergaulan.

Lebih buruk lagi sekolah-sekolah aliran Cina menolak guru-guru Melayu untuk mengajar bahasa Melayu di sekolah mereka. Dalam pada itu orang bukan Melayu tidak boleh disalahkan sepenuhnya dalam kemerosotan perkembangan sekolah aliran kebangsaan di Malaysia. Nasionalisme melampau dan kepentingan politik dalam pendekatan untuk mengembangkan bahasa Melayu dan meningkatkan sekolah aliran kebangsaan telah tidak membantu untuk kejayaannya. Salah satu contohnya apabila Tunku Abdul Rahman menukarkan istilah bahasa Melayu kepada bahasa Malaysia telah dibantah oleh golongan fanatik bahasa Melayu dan seorang Menteri Pelajaran yang hendak mencari populariti dalam kalangan guru Melayu, orang Melayu dan fanatik bahasa antara tahun 1980-an hingga 1990-an telah menukarkannya kembali kepada bahasa Melayu dan arahan telah diberikan kepada semua akhbar perdana.

Saya sebagai Ketua Pengarang Kumpulan Utusan Melayu pada masa itu tidak mematuhi arahan ini dan terus menggunakan bahasa Malaysia supaya setiap kaum merasakan bahawa bahasa Melayu adalah bahasa mereka. Itulah juga hasrat Tunku. Apabila saya menjadi Menteri Penerangan, menerusi Kabinet saya meminta istilah bahasa Malaysia digunakan semula tetapi walaupun keputusan dibuat tetapi pelaksanaannya tidak berlaku kerana bantahan daripada fanatik bahasa terutama di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Tentang kejayaan Singapura mewujudkan sekolah aliran satu bahasa dicatatkan dalam buku Men In White halaman 613: "Apa yang tidak boleh dilakukan oleh British tanpa menimbulkan rusuhan, Singapura yang merdeka telah dapat melakukannya dan pencapaian yang dramatik tanpa pertumpahan darah dan persetujuan masyarakat berbagai bahasa merupakan suatu kejayaan pengurusan politik yang menakjubkan oleh kepimpinan PAP dan kematangan rakyat Singapura."



Artikel Penuh: UTUSAN 
© Utusan Melayu (M) Bhd