Tuesday, July 29, 2008

Ke Arah Perpaduan Islam Hakiki




Isu muzakarah PAS-UMNO semakin disensasikan media sejak kebelakangan ini. Karpal Singh sudah mula mempersoalkan kewajaran PAS dalam Pakatan Rakyat. Mungkin dia terlupa bahawa jika PAS disingkirkan dari Pakatan Rakyat, dia boleh membawa Nizar Jamaludin, burung belatuknya untuk memulakan bisnes baru di luar Perak.

Nizar Jamaludin tidak pula diketahui hati sanubarinya. Mulut berkata ' jangan harap ', hati mungkin berkata ' sudah-sudahlah aku dibonekakan '. Tak siapa mampu mentafsir. Nizar dianggap Melayu liberal dalam PAS. Tetapi beliau boleh bersifat strategis dalam isu penyatuan Melayu-Islam. Maka terkontang-kantenglah pengikut fanatik PAS yang menyokong PAS bukan kerana sayangkan PAS dan Islam, tetapi semata-mata bencikan UMNO. Terlalu ramai makhluk durjana pemecah belah ummah sedemikian.

Sebenarnya, PAS tidak perlu takut untuk keluar Pakatan Rakyat dan menyertai Barisan Nasional. Ini kerana, dengan demikian, PAS dilihat mempu menarik lebih ramai keahlian dari kalangan ahli UMNO mahupun pihak atas pagar yang sayangkan PAS tetapi enggan melihat PAS bersama Pakatan Rakyat.

Secara amnya, kelompok Melayu-Islam Malaysia dilihat akan lebih bersatu padu seandainya PAS dan UMNO disatukan. Islamisasi politik orang Melayu akan meletakkan bangsa Melayu sebagai bangsa bersatu-padu atas nama Islam dan dengan demikian, Islam kembali dipandang tinggi.

Hanya dengan demikian, puak-puak oportunis dalam UMNO dapat dijauhkan dari memegang kuasa kerana kuasa endorsement ke atas kepala politik akar umbi telah turut diwakili oleh pihak-pihak dari PAS dan akhirnya menuntut satu persekitaran politik Melayu-Islam yang baru.

Penyatuan orang Melayu di bawah satu parti dapat mengurangkan gelora berpolitik orang Melayu Islam dan seterusnya membawa kepada penumpuan khusus ke atas usaha mencapai kejayaan ekonomi dengan lebih islamik dan efisien.

Fikirkanlah.