Wednesday, June 04, 2008

Petrol Oh Petrol

Utusan Online 04/06/2008 5:56pm

Petrol naik 78 sen kepada RM2.70 seliter, diesel naik RM1 kepada RM2.58 seliter berkuat kuasa tengah malam ini


PUTRAJAYA 4 Jun - Harga petrol dinaikkan RM0.78 seliter kepada RM2.70 seliter berkuat kuasa mulai esok.

Ia merupakan kenaikan harga hampir 40 peratus daripada harga RM1.92 seliter sekarang.

Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengumumkan pada sidang akhbar di sini hari ini.

Harga diesel turut dinaikkan sebanyak RM1 kepada RM2.58 seliter daripada RM1.58 sekarang.

Bagaimanapun, untuk mengurangkan beban rakyat, Abdullah berkata, kerajaan akan memperkenalkan rebat tunai bahan api dibayar kepada pemilik kenderaan persendirian sebagai satu bentuk subsidi minyak.

Perdana Menteri juga mengumumkan tarif elektrik Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang ditentukan secara progresif berdasarkan kegunaan. - Utusan.


Utusan Malaysia Rabu 4 Jun 2008

Petrol harga pasaran? - Pengguna bagaimanapun akan terus nikmati subsidi

Oleh SUWARNI MOKHTAR
dan ARSHAD KHAN

KUALA LUMPUR 3 Jun – Kerajaan berharap dapat menghapuskan kawalan harga petrol dan diesel pada masa depan bagi membolehkan bahan bakar itu dijual di stesen-stesen minyak di negara ini mengikut harga pasaran.

Bagaimanapun, dalam melaksanakannya, kerajaan akan tetap memastikan para pengguna terus menerima subsidi tetapi bukan menggunakan mekanisme yang diamalkan sekarang.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Shahrir Abdul Samad menegaskan, di bawah mekanisme baru subsidi itu akan berlaku kenaikan harga minyak di negara ini selaras dengan harga di pasaran dunia sekarang.

“Tetapi semua pemilik kenderaan persendirian di negara ini masih lagi boleh menikmati subsidi,” kata Shahrir pada sidang akhbar selepas merasmikan Seminar Pembinaan Malaysia di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.

Beliau menambah: “Hanya mereka yang tidak mempunyai kenderaan tidak layak mendapat subsidi minyak.”

Bentuk pemberian subsidi itu, ujar beliau, mungkin berbeza mengikut individu.

“Sebagai contoh, mereka yang menggunakan kenderaan yang mahal mungkin akan mendapat subsidi yang lebih rendah berbanding yang menggunakan kereta kecil.

“Inilah yang kita cuba tentukan dalam mekanisme subsidi minyak yang akan diumumkan nanti,’’ kata beliau.

Harga pasaran petrol semasa ialah RM4 seliter tetapi di Malaysia ia dijual pada harga subsidi RM1.92 seliter melibatkan peruntukan subsidi yang dijangka mencecah RM56 bilion (meliputi subsidi petrol, diesel dan gas) pada tahun ini.

Sambil membayangkan kenaikan harga petrol dan diesel bagi mencerminkan realiti harga minyak dunia tidak dapat dielakkan, Shahrir menjelaskan, mekanisme pemberian subsidi bahan api yang akan dilaksanakan Ogos ini mungkin akan diberikan sama ada dalam bentuk kuota atau secara tunai.


Beliau memberitahu, pengumuman yang akan dibuat oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi esok mengenai subsidi minyak merupakan langkah pertama ke arah penstrukturan skim subsidi bahan bakar itu.

Bagaimanapun, Shahrir berkata, kenaikan harga minyak tidak akan berkuat kuasa serta-merta seperti yang dilaporkan sebelum ini.

Sementara itu, penetapan had bulanan tertentu penggunaan petrol dan diesel subsidi berdasarkan pendapatan dan jenis kenderaan pengguna adalah antara cadangan yang sedang dipertimbangkan oleh kerajaan.

Menurut Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Mohd. Zain Mohd. Dom, antara syor yang dipertimbangkan ialah memberikan subsidi minyak kepada pengguna hanya dalam jumlah tertentu.

Katanya, selepas melepasi had penggunaan minyak bersubsidi yang ditetapkan, jika seseorang ingin membeli minyak lagi, mereka perlu membayar petrol atau diesel yang dibeli pada harga pasaran iaitu harga tanpa subsidi.

“Sebagai contoh, jika seorang pengguna yang dibenarkan membeli 100 liter minyak bersubsidi setiap bulan telah melepasi had itu, dia perlu membayar harga normal bagi setiap liter tambahan petrol dan diesel yang dibelinya,” kata Mohd. Zain kepada Utusan Malaysia.

Beliau memberitahu, setakat ini syor itu masih di peringkat pertimbangan. “Jumlah minyak bersubsidi yang dirancang untuk diberikan kepada pengguna masih belum muktamad dan kadarnya tidak semestinya dinikmati oleh semua pihak,” katanya.

Mohd. Zain berkata, setiap pengguna berkemungkinan akan dibekalkan dengan sekeping kad khas yang menetapkan jumlah minyak bersubsidi yang layak dinikmatinya setiap bulan.

Kad itu boleh digunakan untuk membeli bahan api di stesen-stesen minyak tetapi harga minyak yang dijual dirancang ditetapkan mengikut harga pasaran peringkat global.

“Contohnya, jika harga petrol pada masa itu bernilai RM3 seliter, pemilik kenderaan dari luar Malaysia akan membelinya pada harga itu, tetapi rakyat tempatan yang layak boleh membeli jumlah tertentu petrol pada harga subsidi.

“Sekiranya mereka telah melebihi had penggunaan subsidi yang dibenarkan, mereka perlu membayar petrol dan diesel mengikut harga pasaran,” katanya.


Cadangan lain yang sedang diberikan pertimbangan oleh kerajaan adalah untuk menarik balik diesel bersubsidi kepada nelayan dan digantikan dengan baucer atau wang tunai untuk membeli minyak.

“Langkah ini difikirkan sesuai dilaksanakan memandangkan kerajaan menerima terlalu banyak aduan berkaitan penyalahgunaan diesel bersubsidi,” kata Mohd. Zain.

Mengikut perbincangan awal, terpulang kepada nelayan untuk menggunakan wang tunai subsidi diesel yang akan diberikan itu.

“Kalau nelayan tidak mahu menggunakan wang itu untuk membeli minyak, itu terpulanglah pada diri masing-masing, namun ini semua masih dalam peringkat perancangan,” ujar beliau.

Analisis

Memandangkan Malaysia merupakan antara negara pengeluar minyak, kenaikan drastik seperti ini tidak dialu-alukan oleh segenap lapisan rakyat. Pengenalan subsidi minyak sememangnya tidak sihat untuk iklim ekonomi yang kompetitif namun keseluruhannya, rakyat belum bersedia menghadapi kenaikan harga barang kesan dari kenaikan harga minyak di pasaran negara ini.

Walaupun dengan harga RM2.70 seliter masih merupakan harga subsidi, ianya merupakan beban kepada rakyat yang berpendapatan rendah. Mekanisme subsidi minyak mengikut 'cc' kenderaan adalah yang terbaik sebenarnya. Namun sebentar tadi, kabinet telah membuat keputusan yang tidak popular.

Kenaikan sebanyak 40 sen bagi tempoh setahun mungkin sepatutnya lebik baik untuk dilakukan. Kenaikan drastik seperti ini hanya mengundang kemarahan rakyat yang telah lama disogok dengan subsidi sehinggakan mereka rata-rata tidak lagi berdaya saing dalam memastikan survival mereka terjamin di saat dunia mengalami krisis minyak dan makanan.

Namun, timbul keraguan kepada golongan rakyat apabila Petronas yang mengaut untung besar akibat kenaikan minyak dunia, tidak dapat menzahirkan status syarikat tersebut yang dikira 'milik-negara' dalam menjustifikasikan pasaran minyak domestik dengan harga dunia. Apakah Petronas hari ini bertujuan melebarkan margin keuntungan mereka demi kepentingan tembolok-tembolok yang tidak pernah mengecil? Itulah persoalan yang perlu diperhalusi oleh kepimpinan Pak Lah dalam menjawab persoalan yang hari ini telah menjadi satu kemarahan.