Ahad, Oktober 19, 2008

Presiden Toleran Timbalan Radikal

Mingguan Malaysia, 19 Oktober 2008

Timbalan Presiden MCA: Soi Lek buat kejutan

Oleh Nizam Yatim, Au Yeong How,Yang Chin Mee dan Liau Pei Wen

KUALA LUMPUR 18 Okt. – Datuk Ong Tee Keat menepati ramalan apabila dipilih sebagai Presiden MCA yang baru menewaskan Datuk Chua Jui Meng pada pemilihan parti itu hari ini dengan majoriti 512 undi.

Tee Keat yang juga Naib Presiden MCA memperoleh 1,429 undi manakala Jui Meng mendapat 917 undi dengan 22 undi rosak.

Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek pula mencipta kejutan apabila beliau yang terpaksa melepaskan jawatan dalam parti dan kerajaan ekoran skandal video seks berjaya menewaskan tiga calon lain untuk memenangi jawatan Timbalan Presiden MCA.

Bekas Naib Presiden MCA itu memperoleh 1,115 undi untuk mengatasi Datuk Seri Ong Ka Chuan (1,001 undi), Datuk Donald Lim Siang Chai (209) dan Lee Hack Teik (10 undi).

Kedua-dua jawatan Presiden dan Timbalan Presiden MCA ditandingi selepas penyandangnya, Datuk Seri Ong Ka Ting dan Tan Sri Chan Kong Choy membuat keputusan tidak mempertahankannya pada pemilihan kali ini.

Bagi jawatan Naib Presiden, bekas Ketua Wanita MCA, Datuk Dr. Ng Yen Yen mencatat sejarah apabila berjaya menduduki satu daripada empat kerusi tersebut bersama Datuk Kong Cho Ha, Datuk Liow Tiong Lai dan Tan Kok Hong.

Mereka menewaskan empat lagi calon iaitu penyandang jawatan Datuk Dr. Fong Chan Onn, Lim Teck Chong, Datuk Chor Chee Heung dan Datuk Yap Pian Hon.

Proses pemilihan parti yang diadakan di Wisma MCA di sini berjalan lancar selepas ia dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Seramai 2,378 perwakilan dari seluruh negara menghadiri Perhimpunan Agung Tahunan MCA Ke-55 itu.

Sementara itu, Presiden MCA yang baru, berjanji akan meneruskan reformasi parti seperti yang telah dijanjikan dan meminta ahli parti menghormati keputusan yang telah dibuat oleh para perwakilan pada pemilihan hari ini.

Menurutnya, beliau amat berterima kasih kepada para perwakilan yang telah memberi mandat kepadanya untuk memimpin parti.

‘‘Saya akan bekerjasama dengan Timbalan Presiden, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek untuk memimpin parti pada masa depan.

‘‘Sebenarnya tiada perbalahan antara saya dengan Soi Lek, cuma pandangan kami mungkin berbeza dalam sesetengah perkara sahaja,” katanya kepada pemberita selepas majlis pengumuman keputusan pemilihan parti di Wisma MCA di sini malam ini.

Soi Lek pula yang membuat kejutan apabila memenangi jawatan Timbalan Presiden berkata, beliau sangat berpuas hati dengan keputusan pemilihan kali ini dan menghargai sokongan dan galakan yang telah diberikan oleh para perwakilan.

‘‘Saya akan bekerjasama dengan Tee Keat dan ahli jawatan kuasa pusat yang baru dilantik untuk memperbaharui imej parti .

‘‘Kita mahu mengukuhkan parti untuk mengembalikan keyakinan masyarakat Cina terhadap MCA,” katanya.

Ulasan

Tahniah diucapkan kepada Ong Tee Keat kerana memenangi jawatan Presiden MCA dan penulis yang memang menyokongnya sejak cahaya karismanya di persada politik tanah air mula bersinar lebih sedekad yang lalu. Walaupun pernah dikatakan sebagai pemimpin Cina yang bersifat perkauman dan 'anti-Melayu', namun penjelasan beliau terhadap tuduhan yang dilemparkan memuaskan hati banyak pihak kerana kenyataan beliau berasas dan berlapik dalam isu berhubung pendidikan vernakular di negara ini dan juga beberapa isu lain. Berbeza dengan tokoh politik yang boleh dianggap 'expired' yakni Chua Jui Meng, tindakan difensif Ong Tee Keat dan sikap menyerang Chua Jui Meng telah menzahirkan apa yang diputuskan semalam di Wisma MCA. Ong Tee Keat merupakan seorang yang paling layak digelar seorang warga BERBANGSA MALAYSIA kerana kefasihan beliau dalam berbahasa kebangsaan tidak dapat diragui. INILAH YANG AMAT DITUNTUT dari seluruh umat Cina untuk membebaskan mereka dari belenggu tafsiran 'pendatang'. Di harapkan Ong Tee Keat akan membawa angin perubahan ke atas masyarakat Cina keseluruhannya tentang semangat untuk menguasai bahasa kebangsaan sehingga ke taraf yang boleh dibanggakan.

Chua Soi Lek pula menjadi pengimbang kepada fenomena ini. Chua Soi Lek boleh dianggap sebagai radikal Cina dan sering memainkan isu 'menyerang hendap' UMNO, PAS dan orang Melayu dalam blognya. Kemenangan beliau mungkin atas sebab rasa hormat para perwakilan atas tindakan terhormatnya meletak jawatan serta ketenangan beliau menghadapi musuh politiknya yang sentiasa berusaha menggunakan taktik kotor dalam menjatuhkan reputasinya. Kembalinya Chua Soi Lek ke persada pilitik tanah air sudah pastinya akan membawa perwatakan yang lebih lain dari apa yang pernah dilihat sebelum ini.

Apapun, tahniah kepada keduanya.

جمبن سنديري تاهي برسيڤه

بيلا كيت دڤرلاكوكن دڠن هينا، سڤرتي سبواه بڠسا يڠ تيدق لايق برڬاول دڠن ڬولوڠن يڠ مڠهينا ايت، مڠاڤ كيت ڤرلو ترهيڬيه-هيڬيه ملتقكن مرواه كيت دكاكي مريك؟

ايتله اڤ يڠ دليهت اوليه اورڠ چينا هاري اين. مريك هاڽ نمڤق، لالو ترجريت-جريت مروين اڤابيلا مليهت كڽاتأن اورڠ ملايو يڠ برصفة ڤرقومان

تتاڤي مريك سنديري تاهو بهاوا كڽاتأن ڤرقومان دري قوم مريك كڤد قوم ملايو مروڤاكن داره داڬيڠ مريك

مريك تله لاما مڠوتوق، مڠهينا دان منچرچا بڠسا ملايو ملالوءي ايديتوريال اخبار مريك يڠ مان مريك تاهو، مريك بيبس بربوات دمكين كران تياد اورڠ ملايو يڠ اكن تاهو اكن ڤركارا ترسبوت

ماله مريك جوڬ ترڠ-ترڠ مڠهنتم قوم ملايو سچارا ملولو د كداي-كداي كوڤي سرتا مشوارت-مشوارت ڤرتي

اينله عقيبة اڤابيلا كيت تيدق ممهمي بهاس مريك سداڠكن مريك تاهو اڤ يڠ كيت ڤركاتاكن

جك اورڠ چينا ماهوكن اورڠ ملايو ممبواڠ صفة ڤرقومان يڠ سڠاج دوجودكن، مريك هاروس مڠوبه ديري مريك ترلبيه دهولو

جاڠن سڤرتي مڠوتوق جمبن اورڠ، جمبن سنديري تاهي برسيڤه