Rombakan kabinet baru-baru ini menyaksikan pengguguran kontroversi Timbalan Presiden UMNO dari jawatan Timbalan Perdana Menteri dan digantikan dengan salah seorang Naib Presiden UMNO.
Jentera pentadbiran kerajaan sebelum ini telah menghabiskan 2 tahun mandat yang terakhir diberikan dengan berbagai isu terutamanya yang melibatkan syarikat pelaburan atas nama negara, 1 Malaysia Development Board.
Sebahagian besar orang ramai termasuk ahli parti tersebut tidak tahu apakah yang dibuat oleh syarikat yang jika ia benar-benar berjaya, negara mempunyai sesuatu yang boleh dibanggakan sekembang hidungnya.
Manakan tidak, rakyat akan memiliki rumah dengan harga patut (seperti terwawar) serta segala-galanya teratur bak Singapura. Negara banyak wang. Lalu kita mempunyai sebuah ala Temasek Holdings yang lebih besar dari Temasek Holdings itu sendiri. Tetapi pada kaedah bagaimanakah ia perlu dilaksana? Disembunyikan, atau dipaparkan kepada umum.
Mengikuti kemajuan Singapura tidak menjadi kesalahan. Tetapi Singapura mengikuti jalan tidak demokratis , membungkam suara, tertutup, jumud dan memiliki ranking antara paling rendah dalam kebebasan media, tentu sekali Singapura mampu berjaya. Kita mendapat KLCC , KLIA dan KL Tower juga melalui kaedah tersebut. Namun itu akan menjadi nilai yang bercanggah dengan apa yang telah dibuka dengan kehadiran internet terutamanya media sosial.
Dengan memberi gambaran kepada umum projek pelaburan ini juga mengapa harus ia? Sedangkan 1MDB adalah syarikat yang tidak ada kena mengena dengan kocek bendahara negara, ia didana sedikit untuk dihidupkan dan menjalani proses pembikinan wang melalui pinjaman dan pelaburan, pembelian dan penjualan.
Tetapi pada mata rakyat tentu sekali ini memerlukan jaminan. Kerana kecundangnya ekonomi sekiranya negara menjadi miskin bakal memberi seksa kepada mereka. Jaminan tersebut tentulah bahawasanya wang negara tidak akan tersentuh, di tambah dengan kejatuhan matawang yang memberi impak besar kepada pelaburan 1MDB.
Untuk menjamin ini, kerajaan tidak boleh hanya bermain kata-kata tetapi haruslah menjadikan pelaburan 1MDB itu didokumentasikan dan disiar kepada awam mengikut progresnya. Boleh jadi melalui jurnal mahupun pembentangan kira-kira untuk semua mata. Yang mengundi kerajaan bukanlah orang yang terbabit faham dengan pelaburan ini semata-mata. Itu harus disedari.
Tentu sekali jika pelaburannya menampakkan kejayaan, rakyat akan menyertai pelaburan tersebut melalui saham-saham dan tiada lagi yang miskin di negara ini dengan izin Ilahi.
Tetapi kita tahu, bukan itu isu utama. Maka kabinet baru perlu selesaikan kesemua isu hingga tuntas.