Selamat Ulangtahun ke 65 buat UMNO, parti bersejarah yang tertubuh saat keperitan mencengkam umat Islam British Malaya di tahun 1946.
Saat itu, penyatuan umat Islam negara ini membelakangkan sifat kenegerian dalam mewujudkan Melayu yang bersatu telah menjadi titik tolak kepada kemuafakatan orang Melayu yang kekal bersentimen kenegaraan hingga ke hari ini mengatasi sentimen kenegerian sebelum tertubuhnya UMNO.
Beratus-ratus orang Melayu yang mengusahakan penyatuan ini mati dibunuh oleh pemberontak bukan Melayu yang bertopengkan perjuangan komunisme di jalanan saat mereka bergerak ke bandar-bandar untuk berhimpun bagi melahirkan UMNO.
Tetapi, Melayu mudah lupa. Hari ini, sebelah pihak Melayu menyokong saki baki pengganas yang pernah membunuh tok imam, guru, pegawai kerajaan dan ketua-ketua kampung Melayu pada satu ketika dahulu, malah menyokong Chin Peng, kepala pengganas pada ketika itu, untuk pulang ke tanahair.
Ketika kepayahan bersarang di setiap sudut tanah air tercinta, Melayu bersatu dan meneguh. Malang sekali, di saat Melayu hari ini menerima sedikit kesenangan, mereka lebih berminat untuk berpecah belah.
Contohilah kaum Cina yang sentiasa bersatu walaupun sebahagiannya menyokong kerajaan dan sebahagian lagi menyokong pembangkang. Isu-isu melibatkan kaum Cina sentiasa diperjuangkan dan perjuangan mereka memberi awan mendung kepada survival Melayu yang berpecah-belah hari ini.
Apa yang diperlukan ialah pemimpin akar umbi yang pragmatik, keluar dari kepompong elitism (dah berbuih cakap pasal benda ni) dan yang disenangi semua peringkat rakyat agar terlahirlah UMNO yang bernafas baharu dan berjiwa pejuang tanpa mahu didendang jasa dan bakti.