Thursday, July 10, 2014

Prabowo Presiden Indonesia : Satu kebimbangan yang berasas?



Kiraan cepat yang oleh badan-badan pemantau yang memenangkan Jokowi dalam pemilihan presiden semalam ternyata tidak diterima oleh Prabowo. Dia bahkan mengumumkan bahawa dia telah memenangi pilihanraya Presiden Indonesia berdasarkan kiraan cepar oleh badan penyelidik yang pro kepadanya. Indonesia secara diamnya kini berada dalam keadaan dilema menanti keputusan rasmi pada 22 Julai.

Siapa Prabowo Subianto? Dia merupakan bekas pemimpin tinggi Tentera Nasional Indonesia yang dilahirkan dalam keluarga seorang tokoh usahawan berjaya. Prabowo pernah membesar di banyak negara mengikuti keluarganya termasuk di Malaysia.

Prabowo telah dituduh terbabit dalam penculikan aktivis pro-demokrasi pada rusuhan 1998 di Jakarta ketika dia menjawat Komander Kopassus selain isu menggempur rakyat Timor Timur semasa negara tersebut masih dibawah naungan Indonesia.  Namun kemahuannya untuk menjadi pemimpin Indonesia tetap tinggi.

Walaupun dikhabarkan  pernah lari ke Jordan dan memiliki dua kerakyatan, Prabowo disokong separuh rakyat Indonesia yang layak mengundi atas beberapa sebab yang dinilai pihak asing sebagai wacana nasionalis ekstrimis yang mengancam hubungan perdagangan antarabangsa di Indonesia.

Sentimen-sentimen kebangsaannya yang muncul tiba-tiba menjelang pemilihan presiden dianggap sinis sesetengah pihak namun dianggap sebagai pahlawan yang ditunggu-tunggu oleh setengah pihak yang lain pula.

Prabowo yang kaya raya hasil perniagaan yang kini diusahakannya terutamanya di bidang minyak dan gas sering melakukan kempen dengan meniru sosok presiden pertama Indonesia yang disanjung rakyatnya, Soekarno.

Prabowo dikatakan mahu mengembalikan pegangan-pegangan asing di negara tersebut kepada pelabur tempatan dan bersungguh-sungguh menonjolkan diri sebagai pengangkat maruah dan martabat Indonesia yang kononnya selama ini diinjak-injak oleh pihak asing.

Prabowo juga dilihat sebagai pejuang kepada pekerja-pekerja Indonesia di negara asing seperti contoh usahanya berulang alik ke Kelantan untuk membebaskan seorang amah Indonesia yang dihukum mati oleh mahkamah di Kota Bahru tahun lalu. Hasilnya, amah tersebut dibebaskan.

Turut disentuh ialah pelaburan asing yang dikatakan menjadikan rakyat Indonesia miskin dengan turut menyentuh pelaburan syarikat-syarikat Malaysia di bidang perladangan di bumi Indonesia yang menjadikan ia ditakuti oleh pelabur asing.

Menjelang pilihanraya presiden yang lalu, kaji selidik populariti menunjukkan kemahuan rakyat untuk mengundi Prabowo meningkat drastik dan serentak pada masa yang sama, nilai rupiah jatuh dan bursa saham merosot.

Selain itu, ciri elit yang ditonjolkan oleh Prabowo seperti kemewahannya, dan berkumpulnya para-para politikus yang dipandang serong oleh masyarakat di belakangnya dalam pilihanraya presiden itu jelas tidak disukai.

Ciri-ciri emosional seperti pernah membaling telefon bimbit ketika marah, mengugut memboikot media yang tidak melaporkan hal yang baik mengenainya dan menyeru pengundi menerima wang oleh pihak lawan jika diberi wang tetapi tetap mengundinya,  juga mendatangkan kesan kepada pengundi yang mahukan perubahan dan pemimpin yang dekat kepada rakyat.

Tambahan lagi, pasukan Prabowo yang terdiri dari ramai ahli politik yang bermasalah membuatkan ramai yang merasakan Prabowo adalah tokoh yang bagus tetapi mempunyai pasukan paling buruk untuk dipilih.

Paling jelas, kaitan Prabowo dengan insiden-insiden sebelum kejatuhan Suharto pada tahun 1998 menyebabkan ramai orang enggan memilihnya bimbangkan seorang Presiden yang kuku besi akan kembali menguasai, menindas dan memerintah dengan kejam.

Selain itu juga Prabowo dilihat tidak mesra rakyat, mudah emosi dan tidak tegas dalam memerangi rasuah.

Hakikatnya, Indonesia merupakan negara yang mempunyai ekonomi terbesar di ASEAN. Krisis ekonomi 1997 bermula di Indonesia dan memberi kesan kepada Malaysia sedangkan krisis ekonomi Malaysia pada tahun 2008 langsung tidak menjejaskan Indonesia.

Bukanlah bermakna memberi sokongan kepada Jokowi yang merupakan seorang anak tukang kayu yang membesar di setinggan pinggir sungai dan tidak gemarkan Prabowo bererti muslihat untuk menginjak-injak rakyat Indonesia dan merampas hasil buminya. 

Apa yang dimahukan ialah iklim ekonomi yang kondusif untuk setiap warga ASEAN dapat mempertingkatkan taraf hidup ke arah yang lebih baik dan kemiskinan dapat diperangi. Itulah konteks yang gagal difahami oleh penyokong Prabowo yang menuduh Jokowi adalah ejen asing kerana disokong oleh ramai pihak di luar Indonesia.

Lebih lagi, dunia memperlihatkan bahawa seorang negarawan ulung yang handal membina negara bukanlah seseorang yang lahir di atas talam perak, melainkan mereka yang lahir di kalangan marhaen yang pernah merasa hidup susah.

Apapun pilihan telah dibuat oleh rakyat Indonesia. Keputusan rasmi adalah pada 22 Julai dan sekiranya Prabowo yang dimenangkan oleh Suruhanjaya Pilihanraya (KPU) yang merupakan ejen pemerintah yang pro-Prabowo, bukan sahaja rakyat Indonesia harus menerimanya, komuniti ASEAN juga harus menerimanya. Kacau bilau bukan jalannya dan contoh terunggul wajar dipertontonkan kepada musibat-musibat haram jadah gila mengguling kerajaan di negara Malaysia ini.

Jokowi Presiden Indonesia : Satu fenomena yang luar biasa



Joko Widodo (53) atau lebih dikenali sebagai Jokowi merupakan individu yang tiba-tiba masyhur di persada politik Indonesia. Menerusi kiraan cepat, satu kaedah pengiraan awal yang dibuat sebelum kertas undi di hantar ke ibu pejabat Suruhanjaya Pilihanraya (Komisi Pemilihan Umum) di Jakarta, Joko Widodo mendahului dengan perbezaan sebanyak kira-kira 9 juta undi dari jumlah 137 juta undi dari pengundi yang keluar memilih Presiden baru mereka.

Ia merupakan pilihanraya presiden ketiga yang dilangsungkan di Indonesia bermula pada tahun 2004 di mana Susilo Bambang Yudhoyono memenanginya pada tahun 2004 dan 2009 dan tidak boleh lagi bertanding untuk tahun ini atas syarat hanya 2 penggal dibolehkan.

Jokowi menjadi ikon yang popular secara mendadak di dunia apabila ia dinamakan sebagai antara 50 Pemimpin Paling Berpengaruh Di Dunia pada awal tahun ini.

Sembilan tahun lalu, pada tahun 2005, Jokowi, seorang usahawan perabot, marmar dan hartanah kecil-kecilan memenangi jawatan Datuk Bandar Solo dan sepanjang 7 tahun menjawat jawatan tersebut, dia telah melakukan banyak sekali perubahan. 

Kehebatannya membuatkan dia dicalonkan oleh partinya PDI-P pimpinan Megawati Sukarnoputri untuk mencalonkan diri menjadi Gabenor Jakarta dan buat pertama kali dalam sejarah, dia memenanginya dan menjadi orang luar Jakarta yang pertama menjadi Gabenor Jakarta. Dia malah tidak mempunyai rumah di Jakarta dan hanya mendiami rumah jabatan.

Berbagai perubahan cuba di bawa oleh Jokowi seperti menyegerakan projek MRT dan Monorel termasuk cadangan membina terowong ala SMART di Kuala Lumpur untuk Jakarta tetapi masalah berlaku apabila karenah birokrasi di peringkat pusat menyukarkan pembangunan Jakarta yang lebih moden.

Akibat dari itu, dia yang pada mulanya enggan melayani saranan-saranan supaya popularitinya itu dimanfaatkan untuk dicalonkan menjadi Presiden Indonesia ke 7 pada pemilihan 2014, akhirnya maju ke hadapan untuk menjadi calon demi menyelesaikan berbagai masalah dan karenah birokrasi yang pernah dilaluinya semasa menjadi Gabenor Jakarta.

Hari ini, berdasarkan kiraan cepat yang mempunyai margin ralat kurang dari 1%, Jokowi mengungguli lawannya Prabowo Subianto dengan memperolehi kira-kira 52% undi.  Walaubagaimanapun keputusan rasmi hanya diketahui pada 22 Julai setelah semua kertas undi dikira semula di ibu pejabat KPU.

Selain mendapat sokongan rakyat yang berpendapatan rendah dan mengharapkan pembelaan, Jokowi banyak disokong oleh kelompok bukan Islam di Indonesia atas dasar-dasarnya yang sederhana, menjadi tokoh rakyat yang bergandingan dengan tokoh ketenteraan yang menyebabkan banyak undi diterima olehnya. 

Jokowi telah menjadi inspirasi banyak pihak atas dasar-dasarnya yang sederhana dan berhati santai dalam melayani karenah media. Lebih dari itu, dia dikagumi kerana dalam tempoh 9 tahun memasuki persada politik, dia kini hampir menjadi Presiden Indonesia.

Fenomenanya membuatkan Tun Mahathir menemuinya pada 14 April 2014 untuk mengucapkan selamat bertanding dan berharap semoga kemenangan berpihak kepada Jokowi sembari menghadiri seminar yang menjemput kehadirannya di sana.

Mengapakah penulis dan separuh lagi rakyat Indonesia tidak menggemari Prabowo Subianto? Akan dirungkaikan selepas ini dan jika pembaca tidak sabar untuk mengetahuinya, sila Google.


Jokowi melawat Monorel Bukit Bintang (2013)