Utusan Online, 20/04/2009 3:48pm
DAP tidak mahu Ketua Menteri Sabah diganti
KOTA KINABALU 20 April — Jimmy Wong (DAP-Sri Tanjong) mahu Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman dikekalkan sebagai pemimpin negeri.
Beliau berkata ini berikutan pelbagai pembangunan yang berjaya dilaksanakan untuk rakyat di Sabah.
“Perdana Menteri sudah berubah. Saya berharap ketua menteri Sabah sekarang tidak akan diganti.
“Sabah kini banyak berubah dan semakin membangun.
“Ekonomi kebanyakan rakyat miskin juga semakin baik,” katanya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah di sini hari ini. Bagaimanapun, beliau juga berharap kerajaan negeri tidak putus membawa pembangunan kepada rakyat kerana masih terdapat golongan yang masih menunggu pembelaan.
“Saya berharap Datuk Seri Musa dan anggota kabinetnya bekerja lebih keras dan lebih tekun lagi kerana banyak lagi projek pembangunan yang perlu dilaksanakan,” tambahnya. — Bernama
Ulasan
Penulis yang baru pulang dari Sabah untuk makan angin awal bulan 3 telah difahamkan bahawa rakyat Sabah menyenangi Musa Aman.
Beliau telah memajukan Kota Kinabalu dan mementingkan kemajuan Sabah sebagai usaha mula setelah berpuluh tahun Sabah menyertai Malaysia.
Senitaman telah bertambah cantik dan demi dari Sabah untuk Sabah, beliau mengenepikan fahaman politik atas nama pembangunan kepada rakyat Sabah.
Usaha beliau menimbulkan kestabilan politik yang boleh dibanggakan. Lompatnya bekas Ketua Menteri Sabah, Yong Teck Lee ke kem Anwar langsung tidak menarik minat rakyat Sabah.
Terbaru, seorang ADUN DAP menyokong agar Musa Aman terus memerintah. Walaupun ada udang di sebalik mi, kestabilan politik amat penting bagi sesebuah pembangunan untuk bergerak maju.