Tuesday, October 08, 2013

Lanun-Lanun Hartanah Sudah Goyang

Gesaan kerajaan agar SPNB membina rumah mampu milik untuk rakyat berpendapatan rendah dengan kerajaan memberi diskaun sehingga RM20,000 adalah langkah yang terbaik. 

Langkah ini dinilai dapat mendekam sifat lanun pemaju-pemaju hartanah yang kita ketahui dimonopoli oleh puak mana. 

Lanun-lanun hartanah ini menggunakan berbagai alasan bagi membolehkan mereka memastikan hanya golongan berada yang mampu memiliki rumah di Malaysia.



Bajet 2014: Kerajaan sedia subsidi rakyat beli rumah mampu milik

KUALA LUMPUR 8 Okt. - Kerajaan akan menyediakan subsidi antara RM15,000 dan RM20,000 bagi membolehkan rakyat membeli rumah mampu milik, kata Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah.

Beliau berkata, Syarikat Perumahan Negara Bhd (SPNB) akan membina tiga jenis rumah mampu milik dengan tiga bilik tidur berharga RM65,000, RM55,000 dan RM45,000.

"Bagi rumah berharga RM65,000, kerajaan akan memberikan subsidi RM20,000.

Bagi kediaman berharga RM45,000, subsidi yang disediakan sebanyak RM15,000," katanya kepada pemberita ketika ditemui di luar acara Simposium Zakat Perniagaan Nasional 2013 di sini.

Beliau juga berkata, Belanjawan 2014 yang akan dibentangkan di Parlimen 25 Okt ini merupakan bajet 'mesra rakyat' yang memberi tumpuan ke atas kediaman mampu milik dan pembangunan infrastruktur.

Ahmad Husni berkata, kerajaan juga mahukan SPNB menjadi pemaju rumah mampu milik berskala besar untuk rakyat, membina banglo dengan harga jualan kira-kira RM250,000, selain rumah berkembar dua dan rumah teres, masing-masing berharga RM100,000 dan RM80,000.

"Kerajaan juga akan menekankan pembangunan infrastruktur dalam bajet akan datang, terutama di kawasan yang kurang mendapat akses bekalan elektrik, air dan jalan," katanya.

Dalam ucaptamanya, Ahmad Husni berkata, simposium itu menunjukkan inisiatif yang semakin meningkat dalam usaha menyelaraskan amalan perniagaan moden yang berlandaskan prinsip Islam.

"Kerajaan membuat beberapa peruntukan untuk zakat individu, termasuk perakuan ke atas keseluruhan jumlah yang dibayar sebagai rebat cukai.

"Bagi zakat perniagaan, kerajaan mencadangkan zakat ke atas pendapatan perniagaan yang dibayar oleh syarikat, boleh ditolak cukai dalam pengiraan cukai pendapatan korporat, tidak melebihi 2.5 peratus daripada pendapatan agregat," katanya.

Simposium sehari itu dianjurkan oleh Institut Akauntan Malaysia dan Universiti Tenaga Nasional. Ia bermatlamat meningkatkan standard piawaian perakaunan dan amalan pelaporan untuk semua pemegang kepentingan dalam ekosistem zakat. - BERNAMA



Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20131008/dn_26/Bajet-2014-Kerajaan-sedia-subsidi-rakyat-beli-rumah-mampu-milik#ixzz2h6yPVS00 
© Utusan Melayu (M) Bhd