Sabtu, September 04, 2010

Jangan Menari Rentak Segelintir Di Indonesia

Ketika saya ke Bandung bersendirian pada bulan Jun yang lalu, saya memilih untuk menjadikan pemandu teksi sebagai 'pemandu pelancong' dan dari pemandu teksilah, banyak perkara dapat diketahui.

Kebanyakan pemandu teksi yang memuji pelancong Malaysia kerana kemurahan hati dalam memberi tip dan mengeji tentang lokeknya pelancong Asia Barat. Syarikat teksi Koputra misalnya menggunakan khidmat Proton Wira dan setiap kali mengetahui saya datang dari Malaysia, mereka bangga menyebut Proton Wira ini lebih menjimatkan.

Tidak terlepas pula dengan pertanyaan oleh seorang pemandu teksi pro-pembangkang yang mencetus pertanyaan krisis Malaysia-Indonesia, perbincangan kami sangat mesra dan pemandu teksi tersebut bersetuju tentang teori adu-domba yang kami perkirakan telah berlaku akibat campurtangan asing.

Selain itu, pengusaha kedai di Pasar Baru Trade Center pula telah terbiasa dengan pelanggan Malaysia sehinggakan pertuturan mereka apabila berurusan dengan pelanggan dari Malaysia, berbunyi sedikit kemalaysiaan. Berapa ribu lagi peniaga yang senang hati malah memperoleh untung dalam berurusan dengan warga Malaysia sekitar Bandung dan Jakarta.

Itu belum dikirakan di Medan, Padang, Pekanbaru, Makasar, Pontianak dan Bali. Jumlah mereka jauh mengatasi kelompok BENDERA, Forum Betawi Rempug dan Laskar Merah Putih, yang merupakan organisasi-organisasi masyarakat yang mengambil kesempatan atas dasar terbuka Indonesia dalam mengetengahkan hak-hak bersuara dan penganjuran tunjuk perasaan.

Sentimen kebencian yang ditiup, dilihat telah dikuasakan oleh organisasi-organisasi ini yang katanya mempunyai kaitan dengan personaliti politik yang sinonim dengan tabiat ingin merampas tampuk pemerintahan dari parti yang memerintah negara kita Malaysia hari ini.

Sokongan ke atas Nurul Izzah oleh forumer anti-Malaysia berhubung isu ketenteraan kelihatan meningkat sehingga timbul jolokan buat Nurul Izzah sebagai Gabenor Malaysia dalam Indonesia Raya. Tetapi forumer ini bertegang jari menaip kebencian yang diselang-selikan dengan tertawaan yang pastinya jelas merupakan platform melepas tekanan seharian dengan cara yang kasar.

Bukan itu sahaja, mereka juga hairan dengan reaksi Malaysia yang dikatakan keterlaluan dalam menghadapi sebuah organsasi masyarakat selemah BENDERA yang pada mereka adalah pemain wayang retorik. Sebilangan forumer Indonesia lain sentiasa mengingatkan tentang permusuhan sesama Islam adalah adu-domba golongan bukan Islam yang perlu diketahui oleh rakyat Malaysia dan Indonesia.

Kepelbagaian wakil rakyat peringkat pusat yang berjumlah dua kali ganda ahli dewan rakyat di Malaysia memang pastinya mencetus pelbagai reaksi yang bertentangan dengan kaedah diplomasi kedua-dua negara. Di laman interaktif akhbar Tempo, bukan sedikit pihak yang mengutuk sentimen yang ada pada wakil Ketua DPR, Taufik Kurniawan, yang menyarankan Upin & Ipin diharamkan dari ditayang di TV Pendidikan Indonesia kerana membawa budaya Malaysia.

Jika dilihat di dalam negara kita sendiri, bukan tiada ahli politik yang mengeluarkan kenyataan yang bukan-bukan semata-mata menyesuaikan sesuatu tafsiran hukum mengikut kemahuan politik sendiri. Kebencian ke atas kaum ini dan kaum itu akibat kenyataan-kenyataan dangkal ahli politik masih sahaja berlaku. Perkauman kenegerian di Malaysia yang terlihat, masih belum pernah reda.

Namun, penzahiran terhadap kemuncak kebencian tersebut tidak berlaku kerana rasional sekeliling dan penguatkuasaan undang-undang yang cemerlang. Tetapi apakah ia akan kekal terpendam sekiranya jumlah golongan yang subur ditanam kebencian ini sangat ramai?

Indonesia dengan 246 juta penduduk itu sendiri pastinya mempunyai berbagai karenah yang sukar untuk difahami berbanding Malaysia dengan 29 juta penduduk. Dari jumlah itu, sekiranya Malaysia mempunyai 0.1% penduduk yang membenci Indonesia, jumlah ini hakikatnya sebesar 29,000 orang yang masih tidak mencetuskan apa-apa mudarat ke atas warga Indonesia di Malaysia sehingga kini.

Sebaliknya, jika peratus yang sama ada pada rakyat Indonesia, mengapa angka 246,000 itu hanya membawa kepada kes baling batu di Ketapang, yang terletak di luar Pulau Jawa, lokasi tempat bertenggeknya BENDERA. Itupun belum diketahui sama ada punca sebenar serangan itu adalah berdasarkan alasan peribadi.

Sensasi yang diburu oleh media Indonesia yang terdiri dari berbelas-belas saluran TV yang bersaing sesama mereka sudah tentulah menganggap kata-kata damai dan tidak setuju oleh 99.9% lagi rakyat Indonesia yang rasional sebagai tidak bernilai.

Apa yang hendak ditekankan ialah, pihak-pihak di Malaysia contohnya pihak pemimpin Majlis Belia Malaysia tidak perlulah bertindak seperti kanak-kanak dengan melihat isu ini dengan konteks kefahaman tentang maruah negara dari sudut yang terbatas. Ini lebih mencela maruah negara di persada antarabangsa. Seolah-olah tiada kematangan berfikir dalam membuat tindakan yang bersifat populis. Lebih sinis, mengibarkan Jalur Gemilang di atas bonet kereta mewah anda lebih mulia dari mencetuskan idea-idea sempit dalam menangani isu ini. Pernahkah tuan lakukan?

Maruah negara ada pada kematangan berfikir pemimpin, rasional dalam isu antarabangsa, pengertian maksud serumpun, tolak ansur yang menguntungkan kedua belah pihak dan ketinggian diplomasi yang telah menjadi reputasi negara ini selama ini dan bukannya pada boneka, bendera tiru-tiruan dan alat-alat tunjuk perasaan buatan sendiri yang dilihat sebagai kobaran simbolik di jalanan.

Biarlah pemerintah Indonesia menangani segelintir penunjuk perasaan, yang jika dinisbahkan dalam kadar penduduk Malaysia, berjumlah berpuluh orang sahaja agaknya. Jika dilihat sentimen tunjuk perasaan anti korupsi yang pernah berlaku seketika dulu di Jakarta, penunjuk perasaan anti-Malaysia itu sangatlah kecil. Memalukan sekiranya Malaysia ikut menari dalam gendang yang dipalu oleh sekelumit manusia yang mahu bermain tahi atau apa jua. Tambahan pula, pemerintah Indonesia telah memberi jaminan keselamatan buat rakyat Malaysia di Indonesia.

Kita tidak boleh menyarankan apa yang patut dan apa yang tidak untuk pemerintah Indonesia lakukan ke atas rakyatnya kerana segalanya melibatkan undang-undang yang sedia ada di sana. Kita juga mungkin marah jika negara lain menyuarakan apa yang patut dan apa yang tidak dalam kita melaksanakan undang-undang di negara kita.

Kita patut melihat bahawa untungnya pembakar Jalur Gemilang telah ditangkap walaupun akhirnya dibebaskan sedangkan kita sendiri dapat melihat pembakaran bendera Amerika Syarikat dan Israel saat berlaku demonstrasi di Kedutaan Amerika Syarikat di Malaysia mahupun Indonesia jarang ada yang ditangkap atas tuduhan membakar bendera negara lain.

Maka seharusnya, rakyat Malaysia jangan mula meniru sikap dan sentimen sebuah negara bermacam ragam seperti di Indonesia kerana pada nisbah penduduk sahaja telah tergambar jawapan bahawa kita patut terus untuk tidak melayani emosi kita pada tindakan beberapa kerat warga Indonesia ultra-nasionalis yang mungkin dipacu oleh dendam peribadi yang dijerang hatinya oleh media pengejar sensasi.

Ini dapat memurnikan status bangsa Malaysia itu sebagai ultra-rasionalis berbanding ultra-nasionalis yang padanya tidak membawa untung yang memanfaatkan dalam dunia perdagangan hari ini.



Boneka Upin & Ipin bergantungan di Cibaduyut, Bandung.