Kejadian tanah runtuh di Kampung Babagon yang terletak kira-kira 45 minit perjalanan dari bandaraya Kota Kinabalu itu mengakibatkan jalan itu ditutup sementara kepada lalu lintas.
Ketua Polis Penampang DSP Ratan Kumar Singh berkata tiada mangsa terlibat dalam kejadian itu.
"Justeru, orang ramai diminta menggunakan jalan alternatif seperti Jalan Kimanis-Keningau," katanya kepada Bernama di sini hari ini.
Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Sabah Mohd Affendi K. Ramin dalam satu kenyataan berkata bomba menerima panggilan mengenai kejadian itu pada pukul 5.04 pagi dan sepasukan anggota dengan sebuah jentera dari Balai Bomba Penampang tiba di lokasi kira-kira 15 minit kemudian.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Kerja Raya Sabah Datuk John Anthony berkata pihaknya telah menutup keseluruhan jalan dan polis peronda berada di lokasi bagi membantu mengawal lalu lintas.
"Kerja membaiki jalan Penampang-Tambunan sedang dijalankan dan jalan itu dijangka boleh dilalui semula kira-kira 7 malam ini," katanya menerusi khidmat pesanan ringkas.
Mengenai kejadian tanah runtuh membabitkan Jalan Merakau, Ranau, dekat sini malam semalam, John berkata jalan itu telah siap dibaiki dan kini boleh dilalui pengguna.
Kejadian itu dipercayai berlaku antara pukul 8 dan 11 malam membabitkan bahagian jalan yang dalam pembinaan. (Bernama)