Kali ini mangsa bukanlah rakyat miskin yang rumahnya rosak dipukul angin. Kali ini, mangsa adalah golongan berada yang mampu makan 6 kali sehari.
6 Disember 2008, 9.30 pagi
6 Disember 2008, 9.30 pagi
6 Disember 2008, 9.30 pagi
Berikut adalah petikan dari surat saya yang disiarkan di Utusan Malaysia, 12 Jun 2006 bertajuk Padah tamak, bakhil terhadap pembangunan. Artikel ini ditulis bagi menggambarkan sesuatu yang tidak kena pada manusia yang membelakangkan sesebuah hakikat dalam mengejar keuntungan dan kenikmatan. Peringatan telah kerap diberikan namun tiada pencegahan dilakukan walaupun ia akan sentiasa menuntut korban.:
" KEJADIAN tanah runtuh di Hulu Klang, Selangor dan jambatan runtuh di Papar, Sabah baru-baru ini membuktikan faktor ekonomi telah mendorong manusia untuk menafikan hukum alam. Ini tidak dapat tidak meletakkan dua kejadian ini adalah kesilapan manusia pada peringkat perancangan awal, bukannya kehendak alam semata-mata, yang berlaku atas sesuatu yang direncanakan.
Jika dilihat rekod kejadian tanah runtuh di Hulu Klang sejak tragedi Highlands Tower 12 tahun lalu, seharusnya pihak berwajib sedia maklum akan hakikat bahawa tanah di kawasan Hulu Klang adalah berlainan.
Hal ini disebabkan muka bumi kawasan tersebut berbukit-bukit dan mempunyai tanah yang longgar serta mudah menggelongsor akibat dipengaruhi graviti apabila berlaku aliran air bawah tanah luar biasa berikutan taburan hujan yang tinggi bagi sesuatu tempoh tertentu. Perkara ini turut diakui oleh pakar geologi.
Maka sepatutnya, kawasan seperti ini tidak perlu dibangunkan langsung atas sebab-sebab keselamatan dan secara tidak langsung, warisan hijau di kawasan tersebut terpelihara. Namun, kerana nilai hartanah yang cukup tinggi di kawasan tersebut, termasuk tarikan pemandangan kota yang turut menjadi faktor tambah nilai hartanah kawasan tersebut, ia dibangunkan.
Kesannya, rentetan tanah runtuh di Hulu Klang tidak mungkin terhenti selagi hujan menyirami muka bumi Kuala Lumpur yang merupakan kawasan kedua terbasah di pantai barat Semenanjung selepas Taiping. Hanya penyaliran air bawah tanah yang efektif dapat mengurangkan risiko tanah runtuh di Hulu Klang.
Namun, ia tidak mungkin terlaksana dalam masa terdekat akibat faktor ekonomi, kerenah birokrasi serta pembangunan sedia ada."
Apapun, takziah diucapkan kepada keluarga mangsa dan pemilik-pemilik rumah di Bukit Antarabangsa yang menjadi mangsa pengabaian manusia terhadap alam sekitar ini.