KUALA LUMPUR 21 Feb. - Sikap pembangkang khususnya DAP yang sering mempertikaikan kedudukan kekayaan Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary termasuk beberapa bilionair Melayu dan bumiputera lain dilihat sebagai berat sebelah apabila 'limpahan' kekayaan yang dikecapi kaum lain seakan 'dilindungi'.
Persoalan itu ditimbulkan penulis blog, sematan ke lawas (http://www.sematankelawas.com) yang merujuk reaksi tidak puas hati pembangkang termasuk kaum lain terhadap kekayaan yang dimiliki orang Melayu dan bumiputera.
Malah apa yang menghairankan, jelas penulis blog itu, pertikaian berhubung kekayaan yang dimiliki Syed Mokhtar dikaitkan pula dengan rasuah terhadap kerajaan Barisan Nasional (BN).
"Rasa tidak puas hati ini sering kali disuarakan (oleh pembangkang). Tan Sri (Syed Mokhtar) menjadi sasaran utama dan akan sentiasa dicemuh dalam bentuk hasutan politik.
"Namun apa yang ingin dipersoalkan adalah mengapa kekayaan beliau (Syed Mokhtar) dipertikaikan sedangkan beliau cuma orang keenam terkaya di negara ini?
''Mengapa orang paling kaya seperti Tan Sri Robert Kuok, Tan Sri T. Ananda Krishnan, Tan Sri Teh Hong Piow, Tan Sri Lee Shin Cheng dan lain-lain tidak pernah disebut dan dipertikaikan hasil atau punca kekayaannya?," soal penulis blog itu seperti dipetik dalam blognya hari ini.
Baru-baru ini, majalah perniagaan utama, Malaysian Business melaporkan senarai 10 orang terkaya di Malaysia yang didahului Robert Kuok dengan kekayaan RM54.48 bilion diikuti Ananda (RM33.19 bilion).
Syed Mokhtar berada pada kedudukan keenam dengan kekayaan berjumlah RM11.07 bilion, jatuh satu anak tangga berbanding kedudukan kelima sebelum ini.
Penulis blog itu menambah, dalam ceramah politik pembangkang terutama DAP, mereka sering mengatakan kerajaan BN sebagai berat sebelah dalam memberi projek-projek besar kerajaan.
"Tetapi fakta dan hakikat yang sengaja disembunyikan adalah jumlah orang Cina yang kaya hasilnya daripada kontrak projek kerajaan.
"Kenapa tidak pernah dipersoalkan dari mana hasil kekayaan mereka di negara ini?. Kenapa tidak dipersoal aset-aset yang dimiliki mereka?," soalnya lagi.
© Utusan Melayu (M) Bhd