Taiping merupakan bandar yang mencatat sejarah tersendirinya apabila landasan keretapi pertama di negara ini dibina menghubungkan bandar tersebut dengan Kuala Sepetang atau Port Weld pada tahun 1885.
Hari ini, Taiping masih lagi signifikan dengan keretapi apabila terowong landasan keretapi elektrik yang siap pada tahun 2014 lalu terletak berhampiran bandar ini.
Terowong yang merentasi Banjaran Bintang di Bukit Berapit sepanjang 3.3 km itu kini merupakan terowong keretapi terpanjang di Asia Tenggara.
Di Bukit Berapit ini juga terletaknya tiga terowong keretapi di atas laluan keretapi lama yang telah dibina pada tahun 1905 dan menjadi laluan utama nadi pengangkutan di Tanah Melayu selama lebih seratus tahun.
Pada tahun 2012 terdapat desas desus untuk membangunkan kawasan rel lama ini sebagai kawasan pelancongan. Namun sehingga hari ini, semak samun semakin meninggi. Laluan ini telah ditutupi belukar.
Tidak salah untuk menyebut bahawa sebahagian laluan yang ditinggalkan ini merupakan sebuah aset sejarah negara yang bernilai tinggi. Ini kerana selama beberapa generasi, ramai di antara kita pernah melalui laluan keretapi yang dipagar tebing batu dan gaung yang dalam ini.
Maka selayaknyalah laluan ini dibangunkan semula sebagai tarikan pelancongan dengan konsep yang dilakukan di Gangchon, Korea Selatan.
Di Gangchon Rail Park, laluan keretapi lama yang telah dipintas oleh laluan baru dibangunkan dengan menyediakan tarikan kepada pelancong menelusuri laluan keretapi lama tersebut dengan menaiki keretapi kayuh yang dikhususkan untuk laluan keretapi yang menuruni bukit.
Kemudian, pelancong diangkut dengan keretapi persiaran khas ke stesen terakhir sebelum diangkut dengan bas ke stesen permulaan. Keseluruhan aktiviti ini mengambil masa kira-kira dua jam.
Namun untuk kawasan ini bersesuaianlah dengan hanya menyediakan keretapi persiaran yang dapat membawa pelancong melihat suasana rimba berserta penceritaan sejarah jika mahu.
Jika dilihat, tarikan di Bukit Berapit tidak kalah menarik dengan di Korea Selatan. Malah, tarikan ini boleh dikunjungi sepanjang tahun tanpa kekangan musim dingin seperti di Gangchon ditambah pula laluannya yang membelah hutan yang semestinya unik dan tersendiri.