Rabu, Mac 26, 2008

Bila Kaum Cina Paranoid

Keris adalah lambang senjata orang-orang Melayu. Lambang kepahlawanan dan lambang satupadu semua etnik yang dianggap sebagai orang Melayu. Keris mempunyai nyawa yang pada pandangan orang Melayu sangat mistik dan mempunyai semangat tertentu yang boleh diseru tatkala dipuja melalui ritual tertentu.

Tetapi, hari ini, keris menjadi momok kepada bangsa Cina. Bangsa Cina gerun melihat Ketua Pemuda UMno menghunus keris pada perhimpunan agong UMNO 2006. Polemik ini mencetuskan kegusaran apakah UMNO sebagai tunjang penaung mereka sedang mengugut mereka. Apakah UMNO akan menggunakan keris ke atas mereka. Apakah UMNO akan mencederakan mereka. Lalu mereka berpaling. Kenyataan DAP bahawa mengundi MCA dan Gerakan adalah umpama mengundi UMNO menyebabkan kaum Cina mengalih sokongan kepada DAP. MCA dan Gerakan dalam diam kini mempersalahkan UMNO atas kecundangnya mereka pada Pilihanraya Umum Ke 12.

Sejuta alasan sekalipun, masyarakat Cina yang tidak faham, takut dan paranoid telah menggugat kekuasaan Barisan Nasional. Walaupun hunusan keris ke udara yang melambangkan usaha memperkasakan survival Melayu itu sebenarnya adalah isu orang Melayu semata-mata, masyarakat Cina menganggapnya sebagai isu rakyat Malaysia.

Keris yang dihunus boleh melambangkan ugutan kepada kaum Melayu yang belot dalam memperjuangkan survival orang Melayu. Namun, akibat dari ini, pengundi Cina telah berpaling lalu memberikan kuasa kepada 'pembelot-pembelot' ini. Keris yang dijulang telah menikam UMNO sendiri.

Mengapakah survival Melayu begitu lantang disuarakan pada satu perhimpunan yang menjadi tumpuan bukan sahaja media dalam negara, malahan media luar negara. Apakah survival Melayu yang diperjuangkan itu benar-benar mewakili jerih perit hidup kaum Melayu yang hidup miskin di pendalaman, kaum melayu yang menjadi penghantar cepat bergaji rendah serta kaum Melayu peniaga tepian jalanan di ibu kota. Atau survival Melayu itu adalah survival poket-poket orang Melayu yang tinggal di mansion-mansion gadang dan berkereta besar becermin gelap yang tidak menang tangan menikmati anugerah tender-tender kerajaan?

Majoriti orang Melayu yang menangisi perit hidup di kota tidak bersama UMNO lagi. Mereka rela dipimpin pembelot bangsa. Salah siapa? Adakah salah mereka? Tepuk dada tanya selera. Sedang ramai orang Cina mentertawa, menghina dan mencemik muka pada Sang Saka Bangsa, haruskah para pemimpin UMNO berterus-terusan dalam keadaan penuh penafian? Mungkin formula khusus diperlukan dalam UMNO untuk menilai bagaimanakah bentuk keghairahan menjaguhi isu bangsa pada perhimpunan agong yang mendatang.

Selasa, Mac 18, 2008

Kebiadapan Kit Siang Ditentang

Lim Kit Siang dengan gah membelakangkan institusi beraja di negara ini dengan kebiadapannya menggesa 18 ADUN DAP memulaukan majlis angkat sumpah Ir. Mohammad Nizar, ADUN PAS Pasir Panjang yang dipilih sebagai Menteri Besar Perak oleh DAP Perak sendiri kononnya kerana mahukan wakil DAP menjadi Menteri Besar.

Namun, Lim Kit Siang memohon maaf selepas itu kepada Sultan Perak dan Raja Nazrin atas keterlanjurannya itu. Menurut Pengerusi Gerakan Perak, Datuk Chan Ko Youn, tindak-tanduk DAP itu semata-mata melepaskan diri dari mata masyarakat Cina bahawa DAP merestui calon PAS menjadi Menteri Besar Perak.

Tindak tanduk dolak-dalik DAP menimbulkan kemarahan masyarakat Melayu di Perak yang menganggap DAP menghina Sultan Perak dan institusi beraja khususnya. Bantahan telah diadakan. Berikut keratan Utusan Malaysia Isnin 17 Mac 2008 :

IPOH 16 Mac - Kira-kira 1,000 orang berhimpun secara aman bagi membantah tindakan Penasihat DAP, Lim Kit Siang menghina institusi kesultanan Perak di sini hari ini.

Kumpulan menamakan diri mereka Suara Rakyat Perak Darul Ridzuan yang turut disertai badan bukan kerajaan (NGO) itu mengadakan perhimpunan bermula pukul 8 pagi.
Pada mulanya mereka mengadakan perhimpunan di Taman Rekreasi Sultan Abdul Aziz atau lebih dikenali Padang Polo.

Satu lagi kumpulan menghantar memorandum bantahan terhadap kenyataan Kit Siang kepada Raja Dihilir, Raja Jaafar Raja Muda Musa di Istana Kinta di sini kira-kira pukul 9 pagi.

Bagaimanapun, kumpulan yang berhimpun di Padang Polo terpaksa mengubah lokasi ke Padang Ipoh selepas polis mengadakan sekatan jalan raya bagi menghalang lebih ramai orang menyertai perhimpunan haram itu.

Kumpulan yang menyerahkan memorandum kepada Raja Dihilir Perak itu kemudiannya menyertai kumpulan yang berhimpun di Padang Polo pada pukul 9.30 pagi ini.

Bagaimanapun, hanya lebih kurang 300 orang sempat berkumpul di Padang Ipoh kerana ramai terkandas di Padang Polo akibat sekatan jalan raya yang dibuat oleh polis.

Perhimpunan di Padang Ipoh berlangsung selama sejam sebelum disuraikan oleh sepasukan anggota polis yang diketuai Ketua Polis Ipoh, Asisten Komisioner Azisman Alias.

Semasa berhimpun di Padang Ipoh, kumpulan tersebut membawa kain rentang dan sepanduk yang tertera ‘Rakyat Menyokong Istana,’ ‘Rakyat Perak Mengutuk Tindakan Biadap Lim Kit Siang Terhadap Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Perak,’ dan ‘Kami Cintakan Kestabilan.’

Menurut jurucakap kumpulan itu, Elfi Mohd. Nor, tujuan perhimpunan itu diadakan adalah bagi menyatakan taat setia tidak berbelah-bagi kepada Sultan Perak.

‘‘Kami mewakili suara orang Melayu di negeri Perak dan tiada kena-mengena dengan mana-mana parti politik. Kami menghormati keputusan rakyat dalam pilihan raya lepas, tetapi kami sebagai orang Melayu merasa terhina dengan tindakan Kit Siang yang mempermainkan Sultan Perak demi kepentingan politik,” katanya di sini hari ini.

Elfi juga meminta mana-mana parti politik tidak mengambil kesempatan untuk kepentingan masing-masing daripada perhimpunan orang- orang Melayu itu.

‘‘Perhimpunan seumpama ini diadakan lagi pada masa akan datang bagi membangkitkan kesedaran orang Melayu tentang perlunya mereka bersatu-padu,” katanya.

Perhimpunan itu ekoran tindakan Kit Siang mengarahkan semua 18 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP di Perak memulaukan majlis angkat sumpah pelantikan Menteri Besar baru di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar pada Khamis lepas sebagai membantah pelantikan wakil rakyat Pas sebagai Menteri Besar negeri itu.

Kit Siang berkata, tindakan tersebut diambil kerana pelantikan Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin, 51, dari Pas yang merupakan wakil rakyat parti ketiga dan terkecil dalam kerajaan campuran itu tidak mendapat mandat daripada Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP.




Sehubungan itu, Lim Kit Siang seharusnya tidak mempermainkan institusi beraja Perak seolah-olah segalanya di tangan beliau. Sikap beginilah yang menyebabkan sentimen perkauman menjadi menebal. Yang paling hairan, apakah wajar parti yang gemar memprovokasi sensitiviti Melayu ini wajar diberi kuasa? Atau adakah rakyat Malaysia sudah jemu dengan keamanan dan ketenteraman.


Isnin, Mac 17, 2008

Parlimen Lembah Kinta 2008 - 2013

P.63-TAMBUN ( 67% Melayu )

MOHAMAD ASRI BIN OTHMAN - PKR
22,556 (32.71%)
AHMAD HUSNI BIN MOHAMAD HANADZLAH - BN
27,942 (40.52%) MNG


JUMLAH PEMILIH :68,966
KERTAS UNDI DITOLAK :927
KERTAS UNDI DIKELUARKAN :51,844
KERTAS UNDI TIDAK DIKEMBALIKAN :419
PERATUSAN PENGUNDIAN :75.17%
MAJORITI :5,386


P.64-IPOH TIMOR ( 10 % Melayu )

LIM KIT SIANG - DAP
37,364 (48.75%) MNG

LIEW MUN HON - BN
15,422 (20.12%)

JUMLAH PEMILIH :76,647
KERTAS UNDI DITOLAK :707
KERTAS UNDI DIKELUARKAN :53,994
KERTAS UNDI TIDAK DIKEMBALIKAN :501
PERATUSAN PENGUNDIAN :70.45%
MAJORITI :21,942


P.65-IPOH BARAT ( 18% Melayu )

YIK PHOOI HONG - BN
17,042 (24.42%)
M.KULASEGARAN A/L V.MURUGESON - DAP
32,576 (46.69%) MNG


JUMLAH PEMILIH :69,773
KERTAS UNDI DITOLAK :829
KERTAS UNDI DIKELUARKAN :50,641
KERTAS UNDI TIDAK DIKEMBALIKAN :194
PERATUSAN PENGUNDIAN :72.58%
MAJORITI :15,534


P.66-BATU GAJAH ( 13% Melayu )

CHEAH YOKE CAN - BN
15,295 (19.78%)
FONG PO KUAN - DAP
39,922 (51.64%) MNG


JUMLAH PEMILIH :77,313
KERTAS UNDI DITOLAK :911
KERTAS UNDI DIKELUARKAN :56,270
KERTAS UNDI TIDAK DIKEMBALIKAN :142
PERATUSAN PENGUNDIAN :72.78%
MAJORITI :24,627


P.71-GOPENG ( 33% Melayu )

LING HEE LEONG - BN
22,328 (30.03)
LEE BOON CHYE - PKR
29,696 (39.94%) MNG


JUMLAH PEMILIH :74,344
KERTAS UNDI DITOLAK :1,279
KERTAS UNDI DIKELUARKAN :53,303
KERTAS UNDI TIDAK DIKEMBALIKAN :0
PERATUSAN PENGUNDIAN :71.70%
MAJORITI :7,368

Husni Memikul Agenda Melayu Ipoh

PRU 12 menjadi sejarah pahit buat negeri PERAK. Lebih pahit buat penduduk Ipoh yang berbangsa Melayu. Melayu Ipoh kini ditadbir secara tempatan dan negeri oleh sebuah parti yang akan merubah legasi kepimpinan yang dikecapi selama ini.

Jatuhnya bandaraya Ipoh secara mutlak kepada DAP menjadikan era selepas ini menjurus kepada atmosfera berhati-hati buat Melayu Ipoh. Banyak agenda yang akan tersekat khususnya dalam bidang perniagaan makanan dan minuman.

Walaupun lebih 70% Melayu Ipoh dinaungi BN di dalam Parlimen Tambun, Ipoh merupakan nadi kehidupan mereka. Hanya Tambun memisahkah Empayar DAP-PKR daripada bergabung dengan Sungai Siput, tempat tumbangnya Samy Vellu yang telah 34 tahun menduduki kerusi Sungai Siput.

Empayar DAP-PKR meliputi seluruh Lembah Kinta di mana 3 kerusi parlimen diduduki DAP dan 1 oleh PKR. Kesemua kerusi di bawah parlimen-parlimen tersebut dikuasai pembangkang.

Tambun menjadi sactuary kepada kerajaan BN Perak di Lembah Kinta. 67% penduduknya adalah Melayu. Datuk Husni Hanadzlah perlu memikul tanggungjawab ini. Beliau yang memenangi kerusi Parlimen Tambun memperolehi 27,942 undi berbanding Mohamad Asri Othman, calon PKR yang memperoleh 22,556 undi. Majoriti beliau turun hampir 12,000 undi berbanding sebelumnya dan memperolehi hanya 5,386 undi majoriti kali ini. Ini memperlihatkan purata hampir separuh Melayu Ipoh adalah pro-pembangkang yang kini menjadi pemerintah negeri PERAK. Apakah nasib melayu Ipoh seterusnya?





Hilangnya Dua Pertiga Itu ..

Ramalan yang benar belaka. Merujuk kepada post Hilangkah Dua Pertiga itu? yang ditulis pada hari Khamis 28.2.2008 menunjukkan sentimen rakyat boleh dibaca oleh saya. Tetapi mengapakah pihak pemerintah tidak mampu untuk memahaminya. Sedangkan ianya merupakan petanda besar kepada pemerintah.

Keputusan Pilihanraya Umum Ke 12 telah menyatakan ramalan saya. Parlimen hanya dianggotai 140 wakil rakyat Barisan Nasional dengan 82 kerusi dirampas pembangkang yang sebelum itu hanya memiliki 20 kerusi. DUA PERTIGA ITU BENAR-BENAR HILANG.

Kedah jatuh kepada PAS, Pulau Pinang kepada DAP, Perak dan Selangor jatuh kepada pakatan DAP-PKR-PAS sementara PAS mengukuhkan cengkaman di Kelantan. Salah siapa? Analisis tidak terlalu sukar. Jawapan yang diberi oleh seorang perempuan Cina pengusaha dobi di Ampang ialah : ABDOLAH.

Mengapa ini terjadi? Tidak pernah dalam sejarah mana-mana Perdana Menteri yang berkhidmat di Malaysia, sentimen rakyat begitu membenci pemerintah. Dan apa pula pendapat Datuk Seri PM?

Beliau secara umumnya mahu bertanggungjawab sepenuhnya terhadap rampasan besar-besaran yang sangat dramatik ke atas naungan-naungan penting Barisan Nasional ini. Atas sebab itu, beliau menolak sebarang usul yang mendesak beliau meletak jawatan. Kabinet baru tetap akan dibentuk.

Punca kekalahan Barisan Nasional sebenarnya bukanlah kerana gahnya pembangkang. Kelantangan Tun Mahathir yang mempertikaikan salah cara tadbir di dalam pimpinan Pak Lah ditempelak dengan cara yang kurang sopan bagi rakyat umum yang masih menghargai Tun Mahathir.

Akibatnya rakyat merasakan sikap menunjuk gah dalam pimpinan Pak Lah agak dikesali. Dan Pak Lah menyuarakan tentang segala ketidakpuashatian bolehlah disuarakan melalui peti undi. Inilah akibatnya.

Walaubagaimanapun, dengan langkah-langkah pro aktif dan pre emptive, seharusnya pimpinan Pak Lah dapat menjauhkan tangan-tangan tersembunyi yang menghampirkan negara ke arah kekacauan di masa depan. Kemahiran mengendali perlulah bersifat justifikasi pemimpin tertinggi dan bukannya penyampai bagi agenda tersembunyi.

Kerana rakyat mahukan apa yang mereka kecapi di zaman Tun Mahathir. Kebebasan mutlak hanyalah perosak sesebuah institusi.